Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ikatan kekeluargaan tak bermakna tanpa iman

Posted by epondok di Mac 14, 2016


Oleh Mohd Faiz Othman

Didikan agama yang sempurna ketika di dunia membantu ahli keluarga kembali berkumpul di syurga kelak.

Syurga dan neraka adalah janji Allah SWT yang pasti buat hamba-Nya. Amalan kita di dunia bakal menentukan destinasi terakhir di akhirat kelak. Bukan urusan kita untuk menentukan siapa yang bakal ke syurga dan neraka kerana urusan syurga dan neraka adalah milik Allah SWT.

Menerusi segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, jam 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi menjawab persoalan adakah ahli syurga boleh mendoakan keluarga mereka yang berada di neraka? Jika kita sayangkan seseorang di dunia dan inginkan dia berada di syurga kelak, maka didiklah dia ketika di dunia supaya mendapat pengakhiran yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan hamba-Nya kerana rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya.

Bahkan keberadaan kita kelak ketika di syurga adalah dengan rahmat Allah SWT. Bukan amalan kita yang menjadikan syurga milik kita, bahkan amalan kita adalah asbab untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Perlu bersangka baik Maka, hanya dengan kasih sayang Allah SWT yang akan membuat kita masuk ke syurga. Urusan syurga dan neraka adalah perkara yang menjadi misteri dan kita tidak mengetahui ketentuan-Nya. Jangan mudah bersangka seseorang itu akan masuk ke neraka. Perlu ada sangka baik kepada Allah SWT. Apabila membaca ayat Allah SWT dalam al-Quran, kita akan sentiasa mendapati Allah SWT sedaya upaya mahukan hamba-Nya yang beriman masuk ke dalam syurga. Jika seseorang itu pengakhirannya tidak sebaik yang kita lihat, tetapi kita tidak akan mengetahui hakikatnya dan rahmat Allah SWT kepadanya.

Muhammad Syaari turut berkongsi sifat ahli syurga adalah taat kepada Allah SWT dan mereka reda dengan ketentuan Allah SWT. Ketika di dunia, mereka telah susah dengan pelbagai amalan salih dan amalan kebaikan. Di syurga mereka akan berseronok namun tidak sekali-kali lupa taat akan perintah Allah SWT. Kata-kata mereka penuh dengan kebaikan. Mereka tidak mengejek, mengata bahkan mengumpat ketika di syurga. Ahli syurga sangat memahami Allah SWT Maha Adil, telah memberi pilihan kepada manusia ketika di dunia untuk memilih antara iman atau kekufuran. Allah SWT memberikan masa yang secukupnya kepada manusia memilih jalan takwa atau sebaliknya. Jika seorang hamba memilih jalan kekufuran, maka di akhirat kelak Allah SWT menjalankan tugas-Nya dengan Maha Adil untuk memberi balasan setimpal dengan amalan mereka ketika di dunia.

Pembalasan akhirat setimpal

Ahli syurga sangat memahami hakikat itu dan tidak mengatakan Allah SWT sebagai tidak adil sekalipun yang dihukum itu adalah dalam kalangan ahli keluarga mereka. Pembalasan di akhirat adalah setimpal dengan amalan ketika di dunia. Ahli syurga sibuk menikmati dan merasai segala nikmat yang ada di syurga. Mereka sibuk dan tiada masa mengenang mereka pernah ada di dunia. Mereka tidak akan terkenang ahli keluarga ketika di syurga. Allah SWT juga menghapuskan rasa gelisah dan penyesalan terhadap ahli syurga. Mereka tidak akan bimbang walaupun sedikit terhadap ketentuan Allah SWT. Ketika di syurga, ahli syurga memahami Allah SWT menentukan sama ada hamba itu menikmati syurga atau diazab di dalam neraka.

Allah SWT mencampakkan kasih sayang kepada kita ketika di dunia. Apabila wujud rasa kasih sayang itu maka kita akan bersungguh-sungguh mempertahankan insan disayangi daripada sebarang ancaman. Fitrah kasih sayang berubah Bagaimanapun, ketika di akhirat kelak, peraturan dan fitrah kasih sayang ini akan berubah. Allah SWT mencampakkan rasa kasih dan sayang bukan lagi atas dasar keluarga bahkan atas dasar keimanan serta ketakwaan. Definisi keluarga akan berubah ketika di syurga. Setiap ahli syurga bagaikan keluarga dan wujud kasih sayang antara mereka. Jika ada di antara ahli keluarga dan orang yang kita sayang itu beriman, maka Allah SWT akan mengekalkan rasa kasih dan sayang sesama kita ketika di syurga. Allah SWT mencabut perasaan kasih sayang kita ketika di syurga kepada orang yang tidak beriman meskipun ahli keluarga sendiri. Allah SWT mencabut setiap perasaan tidak baik dalam kalangan ahli syurga. Tidak akan wujud rasa simpati dalam kalangan ahli syurga terhadap ahli keluarga mereka yang melakukan maksiat kepada Allah SWT ketika di dunia dan menerima balasan atas setiap perbuatan mereka. Ketika Perang Badar, kita dapat melihat fenomena ahli syurga. Ketika perang itu, Abu Ubaidah bin Jarrah membunuh ayahnya sendiri ketika ayahnya bersungguh-sungguh menentangnya. Inilah peperangan membabitkan ahli syurga yang mana melihatkan ikatan kekeluargaan tidak lagi bermakna sekiranya tiada iman. Tiada lagi rasa simpati ahli syurga terhadap ahli neraka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: