Dalam konteks Malaysia, banyak pekerjaan yang boleh memberi sumber rezeki yang halal kepada masyarakat seperti sektor pembinaan, pertanian dan penternakan. GAMBAR HIASAN

Gabungan waktu sembahyang dengan tugas seharian adalah latihan diri dalam mengimbangi kepentingan kehidupan di dunia dan di akhirat. Di samping sibuk melaksanakan pekerjaan untuk kehidupan di dunia umat Islam juga tidak lupa untuk menyembah Allah. Jika umat Islam menghayati waktu sembahyang seiringan dengan pekerjaan maka kehidupan mereka adalah sempurna di dunia.

Umat Islam mempunyai objektif kehidupan yang mantap dan kukuh jika setiap aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan itu adalah berdasarkan kepada keredaan dan keberkatan dari Allah. Aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan itu perlu berlandaskan kepada hukum hakam yang digariskan Allah dan Rasul.

Umat Islam yang beriman sering mempersoalkan aktiviti dan pekerjaan yang ingin dilakukan olehnya sama ada halal atau haram. Persoalan ini disemat dalam minda dan hati nuraninya kerana ingin mencari rezeki halal dan diberkati Allah.

Jika umat Islam sentiasa mengingati tentang hukum hakam Allah dalam aspek mencari rezeki dan nafkah kehidupan maka mereka akan melibatkan diri dalam sebarang pekerjaan yang halal walaupun tubuh badan dan pakaian mereka kotor dan disaluti lumpur. Mereka tidak akan menganggur dan mengeluh lantaran ketandusan pekerjaan yang mempunyai status.

Ukuran status dan kedudukan individu dalam Islam bukan berdasarkan kepada kehebatan dan penonjolan diri sebagai seorang yang bertarafkan golongan bangsawan atau atasan tetapi ia berdasarkan kepada bagaimana seseorang individu itu mengendalikan hal ehwal kehidupannya secara diredai Allah.

Jika seorang individu mempunyai kedudukan yang tinggi dan kaya hasil daripada punca rezeki yang haram maka taraf dan kedudukannya adalah terlalu rendah dan hina pada pandangan Allah. Rezeki yang diperoleh secara haram tidak akan diberkati Allah dan setiap ahli keluarga yang menikmati rezeki itu tidak akan terlepas daripada seksaan Allah.

Masyarakat Islam sepatutnya lebih memahami konsep kehidupan manusia dalam aspek ekonomi dan rezeki. Pekerjaan para Rasul dan Nabi sepatutnya dijadikan sebagai panduan bagaimana hendak mendapat rezeki halal dan diberkati. Nabi Adam bekerja sebagai petani. Nabi Nuh ialah tukang kayu dan mahir dalam pembinaan. Baginda diarahkan Allah membuat bahtera untuk menyelamatkan orang beriman dan haiwan ketika dunia dilanda banjir.

Nabi Zakariyya ialah seorang tukang kayu. Nabi Ayyub ialah seorang peladang dan penternak. Nabi Musa dan Nabi Shuib adalah penggembala. Nabi Ibrahim dan Nabi Luth adalah peladang. Nabi Idris ialah tukang jahit mengambil upah membuat baju tanpa meletakkan harga upahan. Nabi Soleh seorang peniaga. Nabi Muhammad pernah menjadi penggembala kambing milik penduduk Mekah dengan upah beberapa qirath.

Nabi Daud walaupun seorang raja, baginda ialah tukang besi yang mahir. Baginda menjadikan hasil titik peluhnya membuat baju besi sebagai nafkah hidupnya. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari memakan hasil titik peluhnya sendiri, dan sesungguhnya Nabi Daud makan dari hasil pekerjaan tangannya”.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa kehidupan di dunia ini memerlukan usaha yang gigih untuk memajukan diri dan mendapat rezeki halal. Banyak pekerjaan yang boleh dilakukan yang dianggap sebagai mulia oleh Islam. Sebarang pekerjaan yang memerlukan tenaga seperti membina bangunan, pertanian, penternakan, pertukangan dan perniagaan adalah di antara kerja mulia di sisi Allah.

Seorang Islam bertanya kepada Rasulullah SAW katanya, “ Wahai Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Maka baginda menjawab, “Pekerjaan seorang lelaki dengan tenaga dan titik peluhnya sendiri dan setiap jual beli yang mabrur (diberkati).’’

Dalam konteks Malaysia, banyak pekerjaan yang boleh memberi sumber rezeki yang halal kepada masyarakat seperti sektor pembinaan, pertanian dan penternakan. Malangnya, rakyat dan generasi muda dalam negara ini kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang itu. Mereka beranggapan pekerjaan itu adalah kotor dan tidak mempunyai status. Sikap begini adalah faktor utama menyebabkan ramai remaja Islam menganggur walaupun mereka mempunyai ijazah dan seumpamanya. Persepsi begini sepatutnya tidak wujud dalam minda dan hati nurani umat Islam kerana agama Islam menganjurkan umatnya supaya gigih mencari rezeki bagi membina kehidupan diri dan keluarga.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki di menara gading bukan sekadar untuk menjawat jawatan yang dianggap mempunyai status tetapi adalah alat untuk memahirkan akal fikiran bagaimana untuk memajukan kehidupan secara berdikari dan dedikasi. Orang yang memiliki ilmu mempunyai keupayaan berfikir secara rasional dan bernas. Jika pekerjaan buruh pembinaan adalah sumber rezeki yang halal kenapa remaja Islam tidak melibatkan diri dalam pekerjaan itu? Allah menganugerahi remaja dengan tenaga yang kuat dan kehebatan lelaki sering dikaitkan dengan sifat yang kuat dan gagah.

Jika orang dari luar beranggapan negara ini adalah lubuk emas kepada mereka, kenapa remaja dalam negara ini masih beranggapan mereka tidak mempunyai pekerjaan? Kenapa takut dan jijik untuk melakukan pekerjaan yang memerlukan tenaga dan boleh memberi rezeki halal? Akal fikiran jika tidak diasuh untuk berfikir secara rasional sering mendorong seseorang individu menjadi pasif dan tidak berupaya menghadapi cabaran hidup.

Oleh itu, sistem pendidikan dan persepsi masyarakat perlu berubah supaya pekerjaan seperti sektor pembinaan, pertanian, penternakan dan pertukangan dianggap sebagai pekerjaan yang mulia dan ini adalah pekerjaan para Nabi dan Rasul.