Persoalan mengenai sama ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka melihat undang-undang daripada lensa Barat semata-mata dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan sulaman agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Undang-undang tidak boleh mengawal salahlaku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan sahaja yang layak menghukum mereka.

Menelusuri undang-undang Islam, pandangan ini jelas tidak mengambil kira perspektif Islam apabila meletakkan hak asasi manusia di atas agama itu sendiri. Sebenarnya budi pekerti dan moral mulia adalah asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah.

JUSTIFIKASI MORAL

Apa yang dimaksudkan dengan moral individu oleh NGO berkenaan juga tidak jelas. Apakah ia secara keseluruhannya atau sekadar merujuk kepada akhlak Islam? Jika merujuk kepada moral secara keseluruhannya maka ia adalah amat berbahaya kerana semua undang-undang digubal bagi menegakkan sistem moral yang jitu. Pembunuhan secara tidak sah, umpamanya adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral, oleh itu ada undang-undang menangani kesalahan ini. Adakah kesalahan jenis ini juga hendak ditiadakan di dalam perundangan kita?

Sekiranya yang dimaksudkan itu hanya merujuk kepada kesalahan akhlak dan ibadat sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Islam. Hal demikian amatlah berbahaya kerana bersikap prejudis terhadap hikmah agama Islam itu sendiri dan agama-agama lain. Tiada agama yang berkompromi terhadap isu-isu moral. Sebagai contoh, sami-sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak secara berleluasa dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda.

Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral adalah bersandarkan kepada agama. Walaupun antara intipati Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini.

KEMBALILAH
KEPADA ISLAM

Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam. Sebagaimana yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah “Apakah akhlak Rasullulah SAW, Aishah menjawab: Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.”

Oleh itu apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila terdapat di dalam al-Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan penzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkordinasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah renggang daripada Islam. Kalau dulu apabila turunnya ayat al-Quran tentang pengharaman arak maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang setelah 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran adalah amat rendah.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang wujud sekalipun, akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan?

BAHANA MORAL RUNTUH

Sekiranya undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Jika kita meneliti kaedah-kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian bahawa suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguatkuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah-kaedah fikah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar r.a. yang terkenal dengan kegarangannya pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.

Sebenarnya pendekatan yang lebih baik kita lakukan ialah membuktikan bahawa undang-undang seperti itu sudah tidak lagi diperlukan dan lapuk. Sama-samalah kita menjauhi kesalahan-kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu tidak relevan lagi kerana masyarakat telah terdidik dan tidak memerlukan perundangan moral ini. Ketika itulah masa yang sesuai untuk menghapuskan perundangan itu dan bukan sekarang.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.