Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2016

Himpunan kitab selawat Nabi SAW

Posted by epondok di Mac 31, 2016

HASHNAN ABDULLAH

 

Usaha suburkan cinta kepada baginda

 

CARTA keturunan Rasulullah SAW bermula dari nabi Adam a.s.

BERSELAWAT kepada Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah mulia dan terpuji. Ia mengandungi banyak kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.

Antaranya, mampu memperoleh ganjaran besar daripada Allah SWT di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya,” (Surah Al-Ahzab: 56)

Dengan kelebihan tersebut, ramai para sahabat dan ulama zaman dahulu mengambil inisiatif untuk membukukan bacaan selawat, doa dan puji-pujian kepada baginda SAW.

Usaha itu bukan hanya untuk manfaat diri mereka sahaja tetapi bagi memudahkan umat Islam membaca dan mengingati bacaan tersebut walau berada di mana sahaja. Antara mereka adalah ulama sufi tersohor, Imam al-Jazuli.

Ulama berketurunan Imam Hassan Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW itu telah mengarang kitab Dala`il al-Khayrat yang dianggap karya seni agung dan digunakan sehingga ke hari ini.

Gubahan selawat ini telah menjadi sebuah kitab doa yang penting di tanah airnya, Maghribi dan tersebar di seluruh pelosok dunia Islam serta dianggap sebagai sumber utama kepada selawat ke atas Rasulullah SAW.

SUMBER INSPIRASI

Tradisi mengalunkan selawat daripada kitab Dala`il al-Khayrat sama ada dalam majlis keraian atau persendirian masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini. Malah, kitab hebat itu turut menjadi inspirasi kepada penulis khat, juru hias dan pelukis di bengkel-bengkel Diraja untuk menghasilkan manuskrip doa yang dihias indah serta menonjolkan kepelbagaian rekaan dinasti-dinasti Islam yang tersendiri.

Bagi memastikan legasi kitab tersebut terus subur dan tersebar ke seluruh pelosok muka bumi Allah SWT ini, sebilangan ulama tersohor selepas daripada beliau telah menyalin isi kandungan kitab berkenaan.

Sebagai menyambung usaha tersebut, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur mengambil langkah untuk mempamerkan kepada umum kitab-kitab ulama yang menyalin isi kandungan kitab Dala’il al-Khayrat bermula 11 Mac sehingga 31 Ogos ini.

Menurut Kurator Muda MKIM, Izuan Fadzil Mohammad, pameran tersebut menampilkan 27 buah koleksi kitab sedemikian yang ditulis oleh ulama dari Maghribi, Asia Tenggara, China, Turki, Afrika Utara dan India.

“Himpunan kitab-kitab berkenaan bermula dari abad ke-16 hingga abad ke-19,” katanya ketika ditemui semasa sesi pra tonton media mengenai pameran itu di MKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pameran tersebut turut menampilkan sebuah manuskrip berbentuk sehelai kertas panjang yang menghimpunkan semua kandungan kitab Dala`il al-Khayrat dan ia dihasilkan oleh al-Hafiz Mahbub Muhammad dari Loharu, India pada tahun 1879.

“Para pengunjung juga akan dapat mengetahui kandungan Dala’il al-Khayrat dan memahami isi, lapan ahzab (selawat harian) serta elemen-elemen penting yang terdapat di dalam manuskrip selawat ini.

“Pameran ini turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan kepelbagaian ciri-ciri Dala’il al-Khayrat dari rantau yang berbeza seperti Afrika Utara, Asia Tengah, Turki, Benua Kecil India, China dan Asia Tenggara,” katanya.

BAHAGIAN MENARIK

Bahagian menarik di dalam manuskrip ini adalah halaman berilustrasi dengan imej raudah, mimbar, Mekah dan Madinah. Pada bahagian permulaan manuskrip itu, Imam Al–Jazuli menulis:

“Ini merupakan penerangan tentang al-Rawdah al-Mubarakah (Taman Indah dan Barakah), tempat di mana Nabi Muhammad SAW dimakamkan bersama-sama dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a.”

Selain itu, bahagian khas mengenai Nabi Muhammad SAW dan tradisi berselawat ke atas baginda SAW akan membantu para pengunjung terutamanya yang bukan beragama Islam untuk memahami tentang kehidupan baginda.

“Inilah tujuan kenapa Dala’il al-Khayrat menekankan perihal kecintaan mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW dan menjadi inspirasi dalam tradisi selawat yang masih di amalkan sehingga ke hari ini,” kata Izuan Fadzil

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

3 jenis mimpi

Posted by epondok di Mac 30, 2016

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

 

UMAT Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan UMAT Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia. – GAMBAR HIASAN

“APA maksud mimpiku malam tadi? Nak dibiarkan berlalu sayang rasanya sebab nampak macam menarik. Nak ditafsir terlalu rumit, macam tiada punca dan hujung pangkalnya,”

Soalan ini lazimnya selalu berlegar dalam minda sejurus pagi menjengah. Apa yang dilihat malam tadi nampak kabur, bercampur baur dengan bayangan yang seakan jelas. Hati cuba mencari jawapannya kerana manusia tidak mampu menanggung misteri yang terkunci dalam minda. Indah sekali Islam yang dibawa Rasulullah SAW iaitu ketika manusia meraba-raba mencari maksud mimpinya, baginda SAW selaku wakil Allah yang bertauliah merungkaikan misteri berkaitan mimpi dengan sabdanya:

“Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian. Mimpi itu tiga jenis: mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira daripada Allah, mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia,” -Sahih Muslim.

Jenis-jenis mimpi:

Mimpi mainan tidur – banyak dipengaruhi oleh emosi dan psikologi. Anda boleh cuba eksperimen mudah bagi menghadiahkan mimpi jenis ini kepada teman anda. Bagaimana? Siram air kepada teman anda yang sedang nyenyak tidur, besar kemungkinan mimpinya berkisar dalam lingkungan air.

Saya pernah menonton dokumentari berkaitan ular tedung ganas dari Mesir. Sejurus selepas itu, saya bermimpi sang ular menyeringai ganas ke arah saya. Kuat sekali memori sang ular terpahat dalam minda saya sehingga bayangannya menjengah masuk ke dalam mimpi. Ketika paginya saya pasti sang ular yang muncul dalam mimpi itu adalah imbasan memori ular yang ditonton dan bukannya “petanda saya didengki atau disihir sesiapa.”

Mimpi jenis ini dipanggil “Adghathu Ahlam” atau mimpi mainan tidur sebagaimana jawapan mudah para menteri Mesir menyimpulkan mimpi yang berterusan menghantui sang raja:

“Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”. Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi yang bercampur aduk dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu,” (Yusuf[12:43-44]).

Ayat di atas menyebut ia adalah mimpi yang bercampur aduk kerana sukar dilihat hujung atau pangkalnya. Orang yang mendapat mimpi ini ketika sedar pada awal paginya pasti kebingungan kerana mimpinya berserabut dan bercampur aduk. Bahkan perkataan “Adghath” sendiri merujuk kepada himpunan rumput jerami yang berserabut susun aturnya sama seperti serabutnya mimpi jenis ini (Tafsir al-Razi). Hatta jika anda bermimpi dihadiahkan keris Taming Sari oleh Hang Tuah sekalipun, itu mungkin boleh berlaku kerana minat mendalam terhadap hikayatnya.

Mimpi gangguan syaitan iaitu makhluk yang sudah mengikat janji untuk merosakkan manusia sehingga kiamat. Misinya ini berlaku secara rohani, mental dan fizikal. Serangan mental dan emosi paling mudah dijalankan kerana syaitan adalah makhluk yang lain jisimnya. Laluan perjalanan mereka merentas tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Pernah pada suatu pagi, saya menerima panggilan telefon daripada seorang pelajar, suaranya cemas seakan sesuatu yang buruk baharu sahaja berlaku. Dia bertanya:

“Ustaz pandai tafsir mimpi? Saya mendapat mimpi yang sangat ngeri, rumah kami terbakar dan habis semua ahli keluarga hangus dijilat api,”

Saya bertanya suatu soalan mudah bagi mengesan “jenis mimpi ini”: “Bila awak bermimpi?”

Beliau menjawab: “Baru sekejap, lebih kurang pukul 9 pagi.”

Saya memotong tuntas: “Sebenarnya kebenaran mimpi bersangkut juga dengan masa tidur. Sefaham saya, waktu Dhuha adalah waktu manusia keluar bekerja dan bukannya waktu tidur. Syaitan suka manusia pasif tidur pada waktu ini kerana ia tambah melemah dan memalaskan manusia. Awak anggaplah ia sekadar mimpi gangguan syaitan yang mahu menakutkan awak. Berdoa kepada Allah agar perkara tersebut dihindari.”

Mimpi yang benar atau perkhabaran gembira untuk orang soleh. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak tinggal lagi kenabian melainkan al-Mubasysyirat (perkhabaran gembira). Para sahabat bertanya apakah perkhabaran gembira itu? Baginda menjelaskan: Ia adalah mimpi yang benar,” – Sahih Bukhari

Menurut para ulama Tafsir (Tafsir Ibn Kathir), mimpi yang benar juga tergolong dalam perkhabaran gembira yang diperlihatkan kepada para wali Allah sebagaimana firman-Nya:

Maha Suci Allah! Umat Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia.

Ketika orang bukan Islam kebingungan mencari erti di sebalik mimpi mereka, Islam sudah lama menyelesaikan pencarian itu melalui medium wahyu.

Sungguh masih banyak isu mimpi yang boleh dijelaskan seperti waktu mimpi yang benar, kisah mimpi dari al-Quran dan hadis, pensyariatan beberapa hukum pada zaman Rasulullah melalui mimpi, persoalan mimpi orang bukan Islam dan sebagainya. Bicara ini saya hentikan seketika bagi memberi laluan kepada anda semua untuk bermimpi.

TAKTIK JAHAT SYAITAN

Syaitan sebagai makhluk pembelit nombor satu boleh merosakkan keharmonian masyarakat dengan menimbulkan berbagai mimpi yang menimbulkan bibit curiga. Contohnya si fulan bermimpi jatuh tersungkur ditolak temannya dari tempat tinggi. Temannya pula memang sudah ada sedikit perselisihan faham dengannya. Mimpi ini pula diulang tayang oleh syaitan berkali-kali sehingga mangsa sering tersedar di tengah malam dalam ketakutan. Akhirnya, wajah temannya “yang tidak bersalah itu” dipahat sebagai bersalah oleh syaitan yang mencipta mimpi. Akibatnya, mangsa mulai memandang serong temannya itu. Sebarang tingkah temannya dicurigai. Bantuan temannya direnung dalam bacaan buruk sangka yang maha dahsyat.

Dalam situasi begini, ilmu memainkan peranan besar dalam membantu seseorang menangkis serangan mental dari syaitan. Rasulullah SAW mengajar kita cara mudah menangani mimpi ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, ketahuilah ia daripada Allah maka pujilah Allah atas mimpi tersebut dan berbicaralah tentangnya. Akan tetapi apabila seseorang itu bermimpi yang lain iaitu sesuatu yang tidak disukai, ketahuilah ia daripada syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatannya. Jangan juga diceritakan mimpi itu kepada sesiapapun kerana mimpi itu tidak akan memudaratkannya,” – Sahih Bukhari.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus 31 Mac ini di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Mac 29, 2016

Poster Azhar Idrus

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Al-Quran dan ilmu hisab

Posted by epondok di Mac 29, 2016

KONSEP hisab, hasabah dan muhasabah amat berkait rapat dengan al-Quran. Ia mempunyai konotasi dan makna yang unik dan tidak sama dengan konsep matematik yang kita gunakan selama ini. Konsep matematik mengajar manusia bagaimana angka itu dimanipulasikan untuk keperluan lapangan kerja dan juga penyelidikan di samping memberi kemahiran menghitung dan mengira.

Hisab, hasabah dan muhasabah mengambil dimensi menegak (hablumminallah) dan dimensi merentas (hablumminnas). Paksi ini menjadi asas kepada epistemologi (ilmu) Islam yang menemukan titik keseimbangan hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan manusia/sistem. Paksi ini menyebabkan ilmu hisab jauh lebih holistik maksud dan natijahnya.

Tasawwur Islami (Islamic world-view) terbina di atas paksi hubungan menegak (vertical relation) dan hubungan merentas (horizontal relation) dan menghubungkan pandangan semesta dengan ALLAH dan manusia/sistem.

Asas neutraliti (berkecuali) dari nilai menegak tidak terdapat. Nilai Qurani sentiasa menjadi pedoman bila melakukan penghisaban, hasabah dan muhasabah, Pertimbangan kira-mengira selamanya terhubung dengan pertimbangan terhadap ALLAH.

Melakukan penghisaban terhadap diri umpamanya sering dirujuk kepada ALLAH. Manusia mempunyai keterbatasan dalam memikir dan melakukan sesuatu. Pertimbangan bahawa ALLAH Maha Mengetahui akan sesuatu menyebabkan kecermatan terjadi supaya bila kesilapan yang terjadi kita kembali kepada ALLAH dan mohon keampunan dan petunjuk daripada-Nya.

Bila kita melaksanakan amanah di pejabat, kita melakukan yang terbaik dan amanah terhadap butiran yang kita hasilkan supaya ia tepat dan seimbang lantaran penghisaban di depan ALLAH tetap menjadi pertimbangan. Ini menyebabkan kita berada dalam keadaan jujur, tidak melakukan penyelewengan kerana ALLAH Maha Tahu apa yang kita lakukan. Jika ini terjadi ketelusan dan keadilan akan terjadi. Dan organisasi yang kita dukung berada dalam keadaan baik.

Konsep hisab, hasabah dan muhasabah merintis asas ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti. Ketepatan memang menjadi matlamat dalam pengurusan sesuatu. Dengan ketepatan ia mampu menjawab persoalan yang berbangkit kerana ketepatan dalam menguruskan sesuatu adalah suatu amanah.

Hal yang sama terhubung dengan keseimbangan dalam mengatur sesuatu supaya sifatnya saling menyempurnakan dan merintis jalan keadilan. Kehidupan manusia sering didepani dengan upaya keseimbangan supaya sesuatu itu menjadi saksama. Jiwa hasabah sentiasa memandu manusia dalam melakukan sesuatu pertimbangan ALLAH sentiasa dijadikan pedoman.

Apa lagi dengan konsep muhasabah menjadi penghubung langsung antara manusia dengan ALLAH menginsafi kekurangan dan kelemahan yang ada dan mohon hidayah dan keampunan supaya kesilapan dapat diperbetulkan dan faedahnya kepada orang lain bertambah.

Ada beza yang nyata antara falsafah matematik yang sifatnya mekanistik dengan konsep hisab, hasabah dan muhasabah yang sifatnya holistik dan menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Pertimbangan ini penting disuburkan ke dalam diri insan kerana asas matematikal semata-mata tidak dapat menghubungkan kita dengan ALLAH sedangkan asas hisab, hasabah dan muhasabah sentiasa menjadikan pertimbangan ALLAH sebagai sesuatu yang paling utama.

Harta dalam alam ini adalah sebagai suatu amanah. Bila ia disalahgunakan akibat ketidaktepatan menggunakannya, hilang keseimbangan dan akauntabiliti lantaran tanggungjawab kita hanya kepada manusia dan sistem dan menyebabkan ketidakadilan terjadi.

Tetapi sekiranya amanah ini terhubung dengan ALLAH dan memahami maksud ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti yang terhubung dengan ALLAH, amanah dari ALLAH akan diuruskan sebaik mungkin kerana ketidaktepatan, ketidakseimbangan dan tanpa akauntabiliti akan membawa kepada kemudaratan.

Justeru konsep hisab, hasaba dan muhasabah harus dijadikan asas pengiraan dan penghitungan kerana ia mendukung dimensi menegak dengan ALLAH sedangkan matematik secara merentasnya menghubungkan diri dengan manusia dan sistem semata-mata. Hubungan manusia dengan ALLAH menjadi asas ubudiyyah yang tinggi dan memberi pedoman yang telus dan tulus supaya kira-kira dan penghitungan dilakukan dalam kerangka dilakukan kerana ALLAH dan hikmahnya untuk manusia.

*  Sidek Baba,

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bahaya wabak penyakit wahan

Posted by epondok di Mac 28, 2016

TARMIZI ABDUL RAHIM

ALKISAHNYA, para asatizah dalam ceramah membicarakan mengenai kesempurnaan sistem ekonomi Islam termasuk pengkongsian kekayaan melalui pembayaran zakat – masalahnya, orang Islam masih kekal antara yang termiskin di negara ini dan seluruh dunia.

Kemudiannya dalam kelas tafsir, dikupas pula mengenai ayat al-Quran pertama diwahyukan iaitu Iqra’ atau Bacalah yang bermaksud Islam menekankan kepada kepentingan menuntut ilmu – hakikatnya, umat Islam serba ketinggalan dalam segenap segi.

Selepas itu, antara hadis yang lazimnya disebut oleh kebanyakan daripada kita sejak kecil sehingga dewasa ialah “Kebersihan itu separuh daripada iman,” – cuba-cubalah jenguk di kebanyakan tandas masjid atau surau, daripada jauh semerbak bau hancing dan tahi terapung dalam mangkuk tandas, umat Islam juga menjuarai carta pengotor tegar yang dengan sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai dan melalui cermin tingkap kereta.

Para asatizah juga selalu menyebut tentang hadis bahawa tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah – masalahnya umat Islam masih selesa untuk sentiasa terus berada “di bawah” dan kekal meminta-minta.

Apa silapnya, adakah kerana ajaran Islam itu mempunyai kecacatan dan kelemahan? Jawapannya ialah tidak benar sama sekali. Islam itu amat syumul yang mencakupi setiap sesuatu bermula seawal janin di dalam rahim hingga ke liang lahad dan seterusnya membawa kepada akhirat.

Jawapannya amat mudah iaitu kerana tidak mengikuti dan mematuhi ‘manual’ yang dibekalkan. Sama seperti memiliki kereta termahal di dunia, contohnya seperti jentera Koenigsegg CCXR Trevita, pemiliknya boleh sahaja memandunya dengan sesuka hati, tetapi perlu diingatkan jika berterusan melenjannya tanpa mengikuti manual dibekalkan, adakah ia mampu bertahan lama? Silap-silap dalam masa dua tiga hari sahaja jentera canggih itu boleh musnah jahanam.

Begitulah juga dengan manusia sekiranya tidak mematuhi manual iaitu al-Quran dan Sunnah yang dibekalkan. Manual itu boleh juga diumpamakan seperti brek – jika kereta yang dipandu tiada brek pasti akan terjun ke dalam gaung, begitu juga dengan manusia yang breknya tidak ‘makan’.

Sebenarnya keengganan mematuhi manual itu berpunca daripada wabak penyakit berbahaya yang kini begitu teruk melanda umat Islam, iaitu penyakit wahan!. Apa itu wahan?

Rasulullah SAW telah mengingatkan tentangnya sejak lebih 1,400 tahun lalu. Sabda baginda seperti diriwayatkan oleh Abu Daud : “Hampir pasti kalian akan dikerumuni seperti sekumpulan pemangsa merebut makanan’’. Maka seseorang bertanya: apakah kerana sedikitnya jumlah kita? Sabda nabi: bahkan kalian ramai namun kalian seperti buih yang terapung dan Allah telah mencabut rasa gentar daripada dada musuh terhadap kalian dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit wahan. Seseorang bertanya: Ya Rasulullah apakah penyakit wahan itu? Nabi bersabda: cinta dunia dan benci kepada kematian,”

Apa yang menjadi masalah, umat Islam lazimnya enggan mengakui kelemahan diri dan memberikan satu alasan popular yang selalu diulang-ulang bahawa punca utama masalah ini ialah kerana kelicikan pencatur iaitu – Yahudi. Mungkin ada betulnya tetapi ia juga bertitik tolak daripada perangai umat Islam sendiri yang enggan berubah.

Jika kita sendiri enggan ‘bergerak’ maka semestinya orang lain pasti akan menggerakkan kita. Martabat Yahudi naik kerana mereka amat mengutamakan ilmu pengetahuan, iaitu memaksimumkan apa yang tersirat daripada kalimah suci pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah.

Di negara ini khususnya, umat Islam terlalu sibuk dengan pelbagai program hiburan dan segelintir pula amat bersungguh-sungguh apabila membicarakan perkara ranting hinggakan sesama asatizah pun sanggup melabelkan kumpulan tidak sehaluan dengan pelbagai tagline buruk yang tidak sanggup didengari.

Sedangkan, setiap hari saudara seagama di Palestin, Syria dan beberapa negara lain terus disembelih, malah bagi yang keluar rumah pada waktu pagi tidak semestinya dapat kembali ke rumah pada petang dalam keadaan bernyawa. Cukup-cukuplah umat Islam membiarkan diri untuk terus dihina, ubatilah penyakit wahan itu.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bila pudarnya budi bahasa

Posted by epondok di Mac 27, 2016

AMAT ketara sekali budi bahasa dan nilai-nilai murni di Malaysia telah merosot. Ketika ekonomi negara maju dan masyarakat kita semakin mewah, budi bahasa, nilai-nilai murni dan etika seolah-olah diabaikan.

Apabila sesebuah negara maju, institusi keluarga mungkin menjadi mangsa pertama di mana kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan bimbingan secukupnya daripada ibu bapa mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ini boleh menimbulkan pelbagai gejala sosial dalam kalangan remaja.

Tidak ada nilai kemajuan ekonomi yang boleh memperkukuhkan fabrik sosial kita kecuali kita berjaya meningkatkan modal sosial di negara ini. Itulah sebabnya penting bagi Malaysia untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan nilai-nilai komuniti, moral dan etika. Nilai-nilai tersebut adalah asas kepada masyarakat bertamadun.

Penerapan nilai-nilai moral dan murni dalam kalangan rakyat Malaysia di tengah arus pemodenan yang pesat serta perubahan gaya hidup adalah cabaran utama di masa kini. Satu usaha kolektif daripada segenap lapisan masyarakat adalah diperlukan untuk mencapai matlamat ini.

Melihat kepada tingkah laku dan sikap sebilangan besar masyarakat sekarang, saya merasa ragu tentang keberkesanan kempen kita untuk menggalakkan budi bahasa dalam kalangan rakyat dan menjadikannya sebahagian daripada cara hidup. Walaupun kita mencapai kemajuan teknologi, kita berhadapan dengan isu kemerosotan moral dalam kehidupan seharian.

Kuala Lumpur berada di tangga ke-34 daripada senarai 36 ‘Bandar yang paling kurang sopan’ di dunia, yang disediakan oleh majalah Readers Digest lebih daripada tiga tahun lalu. Walaupun kita tidak pasti asas yang digunakan untuk senarai tersebut, hakikatnya masih terdapat ramai rakyat yang bersikap kurang sopan yang membuatkan Malaysia mendapat respon yang negatif.

Tingkah laku negatif seperti pembuli jalan raya, melanggar peraturan lalu lintas, membuang sampah me­rata-rata, tidak menghormati warga emas dan lain-lain membuktikan dengan jelas bahawa kita masih tidak mempunyai budi bahasa serta kesopanan yang sewajarnya.

Masanya telah tiba bagi semua rakyat Malaysia untuk bertanya sama ada apa yang mereka lakukan adalah cukup untuk memastikan kejayaan kempen kebangsaan dalam menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai mulia dalam kalangan masyarakat kita.

Berdasarkan pemerhatian saya, budi bahasa, kesopanan, kesabaran, rendah hati, bertoleransi dan saling menghormati masih belum menjadi sebahagian daripada cara hidup kita.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda hari ini.

Penekanan terhadap kempen memupuk budi bahasa dan nilai murni adalah sangat penting memandangkan kemerosotan nilai-nilai tersebut, terutamanya dalam kalangan gene­rasi muda Malaysia. Ramai pelajar sekolah masa kini tidak mengucapkan ‘terima kasih’ apabila mereka diberi ganjaran sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka. Ramai yang seolah-olah tidak mengamalkan budi bahasa walaupun mempelajarinya di sekolah.

Sebagai contoh, saya telah beberapa kali menyampaikan sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik mereka, kecuali beberapa orang pelajar, kebanyakan mereka hanya beredar tanpa menyatakan terima kasih. Mereka seolah-olah mengambil mudah perkara ini.

Sudah menjadi kebiasaan di negara kira untuk melihat pemandu kenderaan tidak bertimbang rasa, kenderaan berada di petak kuning di jalan raya, meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) atau berhampiran dengan pili bomba, membuang sampah di merata-rata tempat, merosakkan harta benda awam, memotong barisan dan tidak mengucapkan ‘maaf’ walaupun membuat kesilapan.

Tingkah laku kurang sopan lain termasuk bercakap kasar kepada pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di khalayak ramai dan tidak memberi tempat duduk kepada warga emas, OKU dan wanita mengandung semasa berada dalam pengangkutan awam. Banyak lagi contoh jika hendak disenaraikan.

Dengan integrasi teknologi digital dalam kehidupan seharian, ramai orang menjadi terlalu asyik dengan diri sendiri hinggakan tidak menghiraukan orang di sekeliling. Ahli keluarga yang asyik membelek tele­fon bimbit masing-masing semasa makan bersama keluarga kini menjadi lumrah di restoran dan rumah. Menghabiskan masa berkualiti de­ngan keluarga telah diganti dengan sentiasa memeriksa peranti mudah alih. Ini adalah sikap kurang sopan.

Media sosial menggalakkan tingkah laku yang baik seperti merapatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta menggalakkan sikap murah hati apabila pengguna media sosial menyambut baik kempen mengutip derma. Namun, budi bahasa dan sikap menghormati orang lain dilupakan apabila sesetengah rakyat menggunakan komputer dan menyebarkan kenya­taan berniat jahat, menghina, memfitnah dan mencela melalui media sosial.

Sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk menangani isu ini dan bertanya kepada diri sendiri sejauh mana kita berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Menjalankan kempen untuk menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah penting tetapi apa yang lebih mustahak adalah mempraktikkan amalan tersebut dalam kehidupan harian. Kepimpinan melalui teladan adalah penting untuk menjayakan kempen. Dalam hal ini, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan mereka.

Kejayaan kempen berbudi bahasa mesti bermula dari peringkat sekolah, di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni diajar kepada murid sekolah. Dalam hal ini, Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan untuk menekankan pentingnya mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni di sekolah. Adalah tidak wajar jika murid sekolah menghafal 36 nilai murni semata-mata untuk lulus subjek tersebut. Apa yang kita mahu capai adalah pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Saya percaya bahawa memupuk akhlak yang baik, nilai-nilai moral dan murni harus bermula dari usia muda seperti di rumah dan di tadika dan seterusnya diperkukuhkan semasa di sekolah rendah. Ini kerana apabila masuk ke sekolah mene­ngah, nilai-nilai yang dipelajari sebelum itu sudah lekat dalam fikiran mereka dan sukar bagi mereka untuk berubah.

Matlamat Wawasan 2020 bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya dari segi ekonomi tetapi juga untuk memastikan ia dibangunkan sepenuhnya dari semua dimensi, terutamanya dari aspek moral, etika dan penyayang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hati penentu baik, buruk kehidupan

Posted by epondok di Mac 24, 2016

Oleh Nik Hasnah Ismail

Solat, zikir bantu Mukmin membersihkan hati dan sentiasa bersangka baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya (oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Umpama sebiji epal yang diperah sudah pasti mengeluarkan pati jus epal atau sebiji oren yang diperah akan menghasilkan jus oren. Begitu juga perumpamaan hati manusia, hati yang bersih akan mengeluarkan kata-kata yang baik dan menyenangkan, manakala hati yang tidak baik dengan pelbagai prasangka serta pandangan negatif akan diterbitkan daripada bibir orang yang hatinya penuh prasangka buruk.

Menerusi program Islam Itu Indah yang disiarkan di IKIMfm setiap Rabu, jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berkata, selain sedar pentingnya mempunyai sangkaan baik yang membawa Mukmin menghuni syurga Allah SWT, mereka juga perlu tahu kesan sangkaan buruk adalah di neraka.

Miliki nilai hikmah tinggi

Seorang yang bersangka baik akan memiliki nilai hikmah tinggi dalam dirinya sementara orang yang bersangka buruk pula mempunyai hati kecil dan tidak ada kejujuran dalam setiap kata-kata serta perlakuannya. Bersangka buruk kepada manusia dan Allah SWT kerana hati tidak bersih. Hati menjadi kotor kerana tidak dibersihkan melalui solat, tidak ditenangkan dengan zikir, tidak disucikan oleh puasa bahkan tidak dekat dengan amal ibadah yang akan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hakikatnya, dalam setiap apa yang terjadi di dunia ini adalah mengikut aturan dan kehendak Allah SWT. Bagi manusia yang bersangka baik dengan Allah SWT, mereka menerima ujian dan kesulitan dengan sabar serta solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Namun, bagi mereka bersangka buruk dengan janji Allah SWT, setiap ujian dan ketentuan-Nya disambut dengan hati yang sempit, fikiran serabut, kata nista, bahkan tidak reda takdir yang disusun oleh Allah SWT kepadanya. Aturan cukup sempurna Sedangkan Allah SWT adalah Tuhan selayaknya menentukan perjalanan hidup manusia yang lebih baik kerana Allah Yang Maha Besar lebih tahu apa yang sebaiknya buat setiap hamba-Nya. Allah SWT menyusun hidup manusia dengan aturan cukup sempurna sebagaimana dicipta kedudukan langit dan bumi. Putaran perjalanan bumi dan matahari, susunan penciptaan alam ini menurut aturan yang menjadikan segala-galanya sempurna dan saling memberi kebaikan antara satu sama lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan.” (Surah an-Najm, ayat 42-44)

Manusia yang hatinya tidak bersih sering melihat setiap berlaku yang tidak kena dengan kehendaknya sebagai sesuatu yang menyusahkan, tidak baik dan tidak elok. Sedangkan, jika hatinya bersih, dia akan melihat perkara menyulitkan sebagai sesuatu yang paling baik menurut takdir Allah SWT. Justeru, jika seorang itu selalu berusaha membersihkan hatinya daripada sifat mazmumah nescaya akan selamat daripada kepanasan api neraka. Tetapi jika dibiarkan hati jauh daripada suruhan Allah SWT, menuruti bisikan syaitan yang sentiasa menguasai nafsu menyebabkan dirinya akan tersesat ke jalan neraka. Jauhi sifat mazmumah Seorang Mukmin hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki, marah, suka mengumpat, fitnah dan sebagainya yang akan menjurus mereka melakukan perkara akan merosakkan hati. Sifat dengki datang daripada perasaan iri hati melihat hidup orang lain lebih senang, kaya raya, berharta, mewah dan tiada sebarang kesusahan, sedangkan nikmat kepada manusia itu juga satu bentuk ujian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Begitu juga rasa cemburu terhadap kejayaan seseorang yang dapat kenaikan pangkat sedangkan kedudukan dan pangkat bukan anugerah, tetapi amanah perlu dilaksanakan. Malah, jika amanah itu tidak dilaksanakan seseorang itu akan menerima hukuman dan pembalasan Allah SWT. Oleh itu, jangan hanya meletakkan material sahaja sebagai sebab musabab untuk menjadi lebih baik dan jangan sesekali mengukur kebaikan serta kebahagiaan pada saat mendapat kesenangan sahaja. Oleh itu ubahlah pandangan mata hati dan berdoalah mendapat pengakhiran yang baik.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Islam tuntut dasar toleransi tanpa mengira batas agama

Posted by epondok di Mac 23, 2016

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

UMAT Islam wajar bersyukur kerana terpilih menjadi insan beriman.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah Al-Baqarah, ayat 272).

Al-Nasa’i dan Al-Tabarani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, orang-orang Islam merasa berat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan mereka kepada keluarga mereka yang belum memeluk Islam, lalu mereka bertanya Nabi SAW sama ada boleh diberi bantuan kepada orang Musyrikin atau tidak. Lalu Baginda mengharuskan bantuan itu diberi kepada keluarga mereka sekalipun mereka belum memeluk Islam. Sehubungan itu, ayat ke-272 ini diturunkan.

Sebahagian ulama menyatakan ayat ini diturunkan mengenai Asma’ Abu Bakar yang keberatan untuk melayani ibu dan neneknya yang masih musyrik pada tahun ‘umrah al-qada’. Mereka selalu datang menemui Asma’ kerana meminta sesuatu daripadanya. Lalu, beliau bertanya kepada Nabi SAW sama ada dia harus melayani mereka atau tidak lalu ayat ke-272 ini diturunkan.

Dari sinilah kita dapat melihat beberapa kemuncak toleransi yang diajar kepada pencinta al-Quran. Kemuncak inilah Islam mengangkat hati orang beriman dan melatih mereka supaya mencapainya. Dasar toleransi insaniah Islam bukan saja menegakkan dasar kebebasan beragama dan melarang paksaan memeluk agama malah Islam menegakkan dasar yang lebih jauh dari itu iaitu ia menegakkan dasar toleransi insaniah yang diambil dari arahan Allah SWT yang menetapkan bahawa seluruh manusia itu berhak mendapat pertolongan dan bantuan. Adapun urusan hati, hidayahnya dan kesesatannya, maka ia bukan urusan seseorang manusia walaupun dia itu Rasulullah SAW sendiri. Ia adalah urusan Allah SWT kerana hati itu adalah dari ciptaan Allah dan tiada siapa selain Allah SWT yang boleh menguasai dan mengendalikannya. Tiada siapa yang mempunyai kuasa di atas hati-hati itu selain dari Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia yang sekadar dapat memberi peringatan dan khabar gembira. Baginda hanya berkewajipan memberi bimbingan dan menganjurkan perbuatan baik dan pada waktu yang sama, melarang perbuatan keji seperti mengungkit-ungkit, menyakiti perasaan dan mendermakan barang-barang yang buruk. Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira untuk orang mukmin dan berita amaran untuk orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan agar kaumnya mendapat hidayah. Baginda berasa amat sedih kepada sesiapa saja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.” (Surah al-Kahfi, ayat 6)

Seperti diketahui Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah saja manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT. Oleh kerana terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah menegur Baginda kerana itu akan membebankan dirinya sendiri. Teguran di sini bukan kerana kesilapan yang dilakukan tetapi kerana kebaikan yang dimiliki oleh Baginda. Ia umpamanya teguran seorang bapa kepada anaknya yang terlalu kuat belajar tanpa mengira siang dan malam, tanpa ada waktu rehat, justeru si bapa itu menegur anaknya. Teguran itu bukan kerana kelemahannya ataupun kesilapannya tetapi kerana perbuatan tersebut mengatasi kemampuannya.

Sering kali hidayah dalam al-Quran dinafikan daripada Nabi SAW, maka penafian itu bermakna nabi tidak dipertanggungjawab sekiranya mereka tidak beroleh hidayah kerana Allah SWT yang menentukan semuanya. Hanya Tuhan beri hidayah Penafian itu bukan hanya ditujukan kepada Nabi SAW tetapi termasuk juga bukan nabi. Dengan kata lain, Nabi SAW hanya menunjuk jalan, tetapi tidak menentukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah al-Qasas, ayat 56)

Hidayah dalam ayat ini dinafikan daripada Nabi SAW kerana Baginda hanya mampu menyeru mereka saja, tetapi pilihan terakhirnya terserah kepada Allah SWT tetapi tidak wajib ke atasnya menyampaikan kepada manusia hidayahnya secara nyata. Orang yang beroleh hidayah ialah orang yang berjalan menuju matlamat yang jelas dan mengikuti petanda yang juga jelas menuju kepadanya. Orang yang sesat jalan adalah orang yang mengikuti jalan yang tidak membawanya kepada matlamat yang ditujuinya. Ayat di atas menyatakan bukan tanggungjawab Nabi SAW memberi hidayah kepada manusia, tetapi Allah SWT yang memberinya kepada mereka. Tugas umat Islam ialah terus berdakwah sama ada secara langsung atau tidak termasuklah dengan menunjukkan akhlak yang baik dan indah. Memberi petunjuk kepada semua manusia adalah hak Allah SWT kerana Allah telah melakarkan garis berfikir yang dapat dijangkau oleh akal dan hati mereka. Dialah yang berkuasa memberi taufik dan petunjuk kepada mereka untuk mencapai pemikiran yang benar, yang akhirnya membuahkan perbuatan yang menjurus kepada kebahagiaan mereka.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Islam kunci hidup bahagia

Posted by epondok di Mac 22, 2016

ASMA’ AHMAD ZAHARUDDIN

POLIS memeriksa mayat bayi perempuan baru lahir yang dipercayai dicampak dari tingkat 18 Blok C, Flat Danau Kota dalam kejadian 29 Februari lalu.

Baru-baru ini rakyat Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita pembunuhan anak. Kali ini dengan cara yang lebih kejam iaitu melepaskan anak jatuh dari tingkat yang tinggi. Siapa sangka orang yang melakukan perbuatan kejam itu ibunya sendiri.

Bukan sahaja dianggap tidak berperikemanusiaan malah seakan-akan membakar nilai kasih sayang seorang yang bergelar ibu.

Di manakah kisah-kisah murni tentang pengorbanan ibu untuk anaknya yang selalu didendangkan ketika kita kecil dahulu? Atau sudah menjadi retorik bagi generasi kini? Generasi yang kononnya lebih pintar dalam mengira, lebih cekap dalam berhujah, atau lebih terbuka dalam berfikir.

Malangnya dalam suasana manusia yang dikatakan lebih berilmu mereka tidak pula menggunakannya sebagai panduan hidup.

Sekiranya kita tidak mahu kotoran itu terus terpalit kepada generasi anak-anak kita, tidak boleh tidak kita mesti segera mencari penyelesaian yang konkrit bagi memadam sejarah hitam ini atau paling tidak menjernihkan sedikit keadaan yang telah menimpa kita.

Pertama, kita mesti kembali kepada ajaran Islam. Walaupun saranan itu agak klise, hakikatnya itulah hukum alam yang tidak dapat dinafikan. Cubalah mengingkarinya nescaya kita akan kecewa pada akhirnya.

Sesungguhnya kehidupan yang baik telah dijanjikan kepada golongan yang sentiasa menjadikan Islam sebagai panduan dalam kehidupan.

Memetik al-Quran surah an-Nahl ayat ke-97 yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”

Jelas melalui ayat di atas, Islam adalah segala-galanya. Adakah kita masih mahu menolak bahawa tanpa ajaran Islam kita boleh menemui kebahagiaan? Atau masihkah kita percaya bahawa kita dapat hidup aman bahagia dengan kekayaan harta dan hiburan semata-mata?

Oleh itu jadikanlah al-Quran sebagai pedoman hidup dan pasti kita akan bertemu ketenangan yang dicari.

Kedua, perlu perkukuhkan lagi sistem sokongan jiran tetangga yang sentiasa mengambil tahu tentang jirannya yang lain. Begitu juga usaha mengukuhkan lagi sistem kekeluargaan terutama bagi memelihara kestabilan sosial.

Persoalannya, bagaimana kita mahu mendidik keluarga menjadi keluarga yang berkualiti?

Berbalik semula kepada jawapan pertama tadi iaitu kembali kepada ajaran Islam. Kedua-duanya saling berkait rapat demi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan bermasyarakat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Elak jadi ‘muflis’ akhirat

Posted by epondok di Mac 21, 2016

Jauhi sikap suka keji mengeji orang lain

SETELAH hampir setiap hari bertungkus lumus bekerja melakukan pelbagai tugas bagi menambah pendapatan, namun secara tiba-tiba diisytiharkan muflis atau jatuh bankrap. Apa perasaan anda? Pasti ia merupakan perkara paling digeruni oleh setiap individu.

Ini kerana, segala usaha yang dilakukan bagi mengejar impian dan memperoleh kesenangan hidup di dunia itu akhirnya hilang begitu sahaja kerana kecuaian atau kesilapan diri sendiri dalam menguruskan kewangan.

Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan selagi masih bernyawa, pelbagai langkah boleh dilakukan bagi memperbaiki kekhilafan tersebut demi masa depan diri sendiri dan juga tanggungan masing-masing.

Jika muflis dunia dianggap membimbangkan, hakikatnya muflis di akhirat lebih berbahaya kerana tidak mempunyai peluang kedua untuk mengubah hala tuju kehidupan akhirat sama ada syurga atau neraka.

Begitulah ditekankan oleh ulama terkemuka, Habib Umar Muhammad al-Hafiz ketika menyampaikan ceramah dalam program Kembara Dakwah di pekarangan Jakel Mall, Kuala Lumpur yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam daripada seluruh negara.

Beliau berkata, ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” – Riwayat Muslim

Mengulas lanjut hadis Rasulullah SAW tersebut, pemegang ranking ke-28 bagi tokoh Muslim berpengaruh oleh buku 500 Most Influential Muslim itu berkata, umat Islam perlu menjauhi diri daripada sikap suka memburuk dan melabelkan orang lain dengan panggilan negatif.

“Sebagai Muslim, kita adalah bersaudara. Sifat suka memburuk-burukkan orang lain adalah satu daripada punca sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah SAW menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Segala pahala yang dilakukan sebanyak-banyaknya akan diberikan kepada orang dikejinya itu dan jika masih kurang, dosa orang itu pula perlu ditanggung,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya umat Islam digalakkan untuk bersifat berlapang dada dalam berdepan dengan sesuatu perbezaan sama ada pandangan, pegangan atau cara hidup.

Ia tambahnya kerana, orang yang sering didakwa salah tidak semestinya salah, begitu juga mereka yang gemar melabelkan orang lain salah tidak semestinya sentiasa betul dan tepat di sisi Allah SWT.

“Jika kita tidak bersetuju dengan seseorang itu maka abaikanlah apa yang mereka lakukan. Jika benar salah, maka tegur dengan berhikmah, jangan pula diburuk-burukkan, sebaliknya tinggalkan amalan yang mereka lakukan dan lakukanlah amalan kamu sendiri.

“Lebih-lebih lagi bagi golongan sahabat Rasulullah SAW dan juga ahli keluarga baginda, kerana merekalah yang membawa ajaran Islam daripada Rasulullah SAW kepada kita sehingga kini,” jelasnya.

Program Kembara Dakwah ke seluruh negara itu dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah sebelum diikuti solat hajat memohon perlindungan dan kesejahteraan Malaysia dan zikir sebelum diakhiri solat Isyak berjemaah.

Sementara itu, baru-baru ini lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia membanjiri Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat bagi menghadiri jelajah Kembara Dakwah Habib Umar di Johor Bahru, Johor.

JAUHI GOLONGAN TAGHUT

Dalam pada itu, Habib Umar berkata, umat Islam turut dinasihatkan agar tidak mengikut jejak sifat golongan yang kufur terhadap perintah Allah SWT atau dikenali sebagai Taghut.

“Kita perlu membersihkan diri daripada dosa dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya jangan sesekali mengingkari Allah SWT dengan mengikuti jejak golongan Thagut.

“Peliharalah mata daripada melihat perkara-perkara yang dibenci oleh Allah SWT, elak daripada melayari laman web yang bertentangan dengan syariah yang menjadi medium penyebaran fahaman golongan Thagut ini,” jelasnya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »