Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

8 nilai bentuk akhlak mulia

Posted by epondok di Februari 29, 2016


Oleh Burhanuddin Jalal
Mukmin beriman sentiasa memastikan ibadahnya dilaksanakan dengan sempurna.
PELAKSANAAN ibadah yang betul adalah bukti tunduknya seseorang hamba selepas mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadah yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadah khusus yang menyentuh fardu ain dan juga fardu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia. Sehubungan itu, bagi individu yang berperibadi unggul seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta atau masyarakat adalah dianggap ibadah, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”
Hasil daripada pelaksanaan ibadah yang betul, sempurna dan ikhlas, akan terbentuk akhlak yang mulia. Akhlak mulia dan peribadi unggul boleh dihasilkan daripada keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah adalah contoh utama pembentukan akhlak sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Antara nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:

1. Amanah.
Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh keadilan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 283, yang bermaksud: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepada-Nya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah kamu (wahai orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah SWT sentiasa mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
2. Ikhlas.
Ikhlas adalah inti pati setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.”
Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang menampakkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayah. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim.”
3. Tekun.
Islam menggalakkan umatnya supaya tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun.” (Riwayat Abu Dawud)
4. Berdisiplin.
Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu pekerjaan akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi kerana dengan disiplin seseorang itu dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
5. Bersyukur.
Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan:
Pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit ataupun banyak.
Kedua, bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah SWT supaya kebajikan sentiasa di balas dengan kebajikan. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
6. Sabar.
Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah Al ‘Imran, ayat 200 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah SWT supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.”
7. Adil.
Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara yang menyelamatkan seseorang itu daripada kemurkaan Allah SWT iaitu takut kepada Allah SWT ketika bersendirian dan di khalayak ramai; berlaku adil ketika suka dan marah; serta berjimat cermat ketika susah dan senang. Tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
8. Patuh dan Taat.
Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul daripada segi matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya. Prinsip ini boleh dirumuskan dari pelaksanaan solat berjemaah, di mana makmum (pengikut) tidak perlu mengikuti imam (pemimpin) yang tidak mengikut rukun solat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wajib ke atas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi (perintah ketua/pemimpin) di dalam perkara yang disukai atau dibencinya, selagi tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat tidak lagi ia diwajibkan mendengar dan taat.”
Dalam pada itu, ulama menggariskan tiga keadaan mewajibkan pengikut patuh dan taat kepada pemimpinnya iaitu:
1. Pemimpin yang melaksanakan ajaran Islam.
2. Pemimpin yang adil dalam pengurusan dan tindakan terhadap semua orang.
3. Pemimpin yang tidak menyuruh melakukan perkara jahat atau maksiat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak ada hak untuk mentaati orang yang tidak taat kepada Allah.”
Sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan, menghormati pemimpin yang akan membawa kepada kehebatan dan keagungan yang sepatutnya. Sifat ini akan membawa kepada kecemerlangan sesebuah organisasi dan keamanan serta kedamaian sesebuah negara. Perlu juga ditekankan bahawa dalam usaha kita untuk menjadi insan atau individu yang terbaik khususnya mencapai kesempurnaan dalam aspek ibadah, kesediaan berkorban dalam erti kata bersedia menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat juga penting. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: