Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tiada siapa terlepas daripada himpitan kubur

Posted by epondok di Februari 28, 2016


Oleh Fairuz Noordin
Kubur rumah terakhir manusia sebelum diadili di padang Masyar.
Selepas tiba saat kita kembali menghadap Allah SWT, perkara yang perlu diingat ialah jasad sudah tiada lagi nilainya, walaupun semasa hayat banyak masa dan wang ringgit dihabiskan demi menjaga jasad. Hakikatnya, walaupun jasad sudah tidak mampu bergerak roh akan terus melalui perjalanan. Sekiranya berjaya melalui alam barzakh dengan berada di dalam taman syurga, maka ia satu kenikmatan kepada kita. Tetapi sebaliknya jika kematian penuh dengan fitnah dan azab, maka kita akan menjadi manusia yang penuh kekecewaan.
Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui segmen Mau’izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, jasad akan mulai busuk dan bahagian badan yang pertama mengalaminya ialah perut serta kemaluan. Kemudian jasad akan mula berubah warna hijau dan cenderung menjadi lebih gelap. Malam berikutnya, seluruh organ dalaman seperti paru-paru, hati dan limpa mula menjadi busuk. Pada malam ketiga di alam barzakh, segala lendiran dan cecair mula keluar dari mata, telinga, malah jasad semakin berbau busuk. Sehinggalah tiba hari ketujuh hingga ke -10, tubuh membengkak dan sangat busuk serta mula didatangi ulat. Selepas dua minggu, jasad dipenuhi ulat serta dimakan cacing.
Dalam tempoh enam bulan, sudah tiada lagi isi dan daging, yang tinggal hanyalah tulang serta rangka. Tetapi Nabi, syuhada dan orang salih termasuk dalam kalangan mereka yang menghafaz al-Quran diberi keistimewaan oleh Allah SWT. Selepas 25 tahun meninggal dunia, nama kita sudah tidak lagi disebut-sebut dan apa yang tinggal hanyalah tulang kecil daripada bahagian punggung. Kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak daripada tulang sekecil itu.
Bermula sejak diturunkan jasad ke liang lahad, setiap roh akan melalui suasana yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada amalannya ketika hidup di dunia. Sebagai orang Mukmin, perkara pertama yang akan dilalui ialah himpitan kubur yang tidak akan ada sesiapa terlepas daripada mengalaminya. Kemudian melihat malaikat yang berwarna hitam kebiru-biruan iaitu Mungkar dan Nakir berada di hujung kaki. Jasad mula diletakkan sama dengan tanah dan akan kedengaran suara yang menyebut: “Selamat datang wahai hamba Allah, kamu akan lihat bagaimana akan aku lakukan kepada kamu sebentar lagi.”
Kalimah itu benar-benar mengejutkan sehingga menyebabkan kita tercari-cari dari manakah datangnya suara itu, sedangkan ia sebenarnya datang daripada tanah tempat kita disemadikan. Apabila jenazah mula ditutup, datang pula malaikat Roman meminta si mati menulis semua amalan baik dan buruk yang sudah dilakukan ketika hidup di dunia dengan menggunakan cebisan kain kapan, lalu segala catatan itu akan digantung pada leher si mati. Selepas itu, datang pula malaikat Mungkar dan Nakir yang mula menghalau segala amalan solat, puasa dan zakat yang berada di sekitar si mati untuk menghalang kedua-dua malaikat daripada memulakan sesi soal jawab kepada si mati. Hanya al-Quran sahaja yang mampu menjadi pelindung kepada kita pada saat itu.
Soal jawab Mungkar Nakir berbeza
Berdasarkan kitab karangan Imam Qurtubi dan Imam Jalaluddin al-Suyuti, soal jawab oleh malaikat Mungkar dan Nakir berbeza kepada setiap manusia berdasarkan amalan di dunia. Ada yang disoal mengenai Rasulullah SAW sahaja dan apabila mampu menjawabnya dia akan terlepas daripada soalan lain. Oleh itu berusahalah untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW dan beriman dengan apa yang dibawa Baginda. Selepas berjaya menjawab mengenai Rasulullah SAW, malaikat akan terus menunjukkan tempatnya di dalam neraka Allah SWT. Oleh kerana Allah SWT tetapkan hati orang beriman dengan kata-kata yang tegas di dalam dirinya dan mampu menjawab pertanyaan daripada malaikat, lalu diperlihatkan di sebelah kirinya syurga Allah SWT dan ditukarkan tempatnya untuk berada di dalam syurga. Ada juga dalam kalangan manusia akan disoal: “Siapakah Tuhan kamu?” Apabila dijawab: “Allah Tuhanku.” Keadaan kuburnya akan terus berubah.
Malah ada diajukan soalan yang panjang, siapakah Tuhan kamu, siapa nabimu, apakah agamamu, di manakah kiblatmu dan soalan lain yang menyebabkan dia akhirnya gagal. Didakwa di alam kubur Rasulullah SAW berpesan, mereka yang banyak diajukan soalan oleh malaikat nanti, pasti dia akan diazab dan didakwa di dalam kubur sebelum diadili di Padang Mahsyar kelak. Walaupun ketika hidup si mati adalah orang yang sentiasa mengerjakan amalan salih tetapi diajukan banyak soalan oleh malaikat Mungkar dan Nakir, kerana ada perkara tertentu yang pernah dilakukan.
Perkara pertama ialah cuai terhadap solat, menangguhkan waktu untuk mendirikan solat atau tidak menjaga solat dengan sempurna.
Kedua, golongan boleh membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkannya.
Ketiga, tidak memastikan diri suci daripada hadas kecil.
Golongan keempat ialah mereka yang sentiasa berbohong,
kelima, tidak membayar zakat, seterusnya ialah golongan yang suka membazir, memakan riba, terbabit rasuah, memfitnah sesama Muslim dan tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan.
Bayangkan jika kita kembali menghadap Allah SWT dalam keadaan sentiasa melakukan kemaksiatan, sudah tentunya pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, kita sudah tiada kekuatan dan kelebihan, roh berada di awang-awangan sehinggalah selesai urusan soal jawab kubur. Beruntunglah jika kita mampu menjawab dengan lancar segala soalan diajukan, pada ketika itulah kubur akan dilapangkan dan sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW, Allah SWT akan memperlihatkan kepada kita keadaan terbenamnya mentari pada hari itu dan kita terpaku melihat suasana ketika itu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: