Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hasad dengki bukan sifat penghuni syurga

Posted by epondok di Februari 26, 2016


Oleh Mohd Faiz Othman
Solat amalan penting yang akan dihisab pada Hari Akhirat.
Pernahkah kita bayangkan kisah perjalanan kehidupan kita di dunia. Pejamkan mata dan bayangkan kisah hidup di dunia. Pasti bayangan kita hanya sementara kerana memori kita terhad untuk merakam segala apa yang terjadi di dunia. Begitulah apabila manusia berada di zon masa ketika di Mahsyar, luar dan jauh daripada zon masa di dunia. Ketika di alam Mahsyar, barulah kita percaya dan merasakan hidup di dunia adalah singkat, sekalipun putaran siang dan malam sudah lama kita lalui di dunia ini.
Allah SWT memperincikan kisah syurga agar kita sentiasa merasakan segala cubaan yang ada di dunia ini hanya sementara untuk kita meraih syurga yang kekal selamanya. Menerusi siaran Ibrah pada minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm setiap Selasa, jam 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah perjalanan menuju ke syurga.
Saat berada di pintu gerbang. Lalu apa ucapan ahli syurga yang dirakamkan oleh Allah SWT. Pintu syurga sentiasa terbuka Sifat pintu syurga, ia sedia terbuka bagi menanti kehadiran ahli syurga berbanding pintu neraka yang tertutup rapat dan hanya terbuka sehingga saat pendosa datang menghampirinya kerana bahangnya yang terlalu dahsyat yang tidak tertanggung oleh manusia. Sebaik sahaja orang beriman berada di pintu gerbang syurga, mereka melihat sesuatu yang sangat indah dan istimewa menanti mereka. Mereka terus berdoa kepada Allah SWT dengan lafaz doa yang pertama adalah bersyukur kepada Allah SWT. Doa ini dikongsikan beliau berpandukan sebahagian ayat al-Quran Surah al-A’raaf ayat 43 yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah SWT yang memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, pada hal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah SWT tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya datang rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu kerjakan.”
Tidak ada lafaz lain yang keluar daripada mulut penghuni syurga melainkan ucapan Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT. Maka ketika di dunia, kita disarankan agar sering melafazkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT. Baik ketika diberi kesenangan mahupun ketika ujian datang bertandang supaya saat kita kembali bertemu Allah SWT nanti, Allah SWT permudahkan urusan kita untuk masuk ke syurga. Kemudian, Allah SWT memperincikan apa yang bakal dilakukan oleh penghuni syurga saat berada di gerbang syurga yang sangat indah, menerusi Surah al-Hijr, ayat 45 hingga 48 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman. Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berdepan di atas pelamin masing-masing. Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam syurga itu dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.”
Menurut ayat ini jelas gambaran bagaimana ahli syurga boleh duduk bersama dengan saling tidak mengenali antara satu dengan yang lainnya. Allah SWT sudah mencabut daripada hati mereka sifat hasad dengki yang ketika di dunia menjadi punca sengketa dan perbalahan sesama mereka. Kemudian mereka menjadi seperti adik-beradik dan saudara-mara ketika di syurga. Ini antara perkara pertama yang dilakukan oleh Allah SWT saat penghuni syurga melangkah masuk ke syurga, Allah SWT bersihkan hati mereka. Menurut sesetengah ulama, mengapa Allah SWT sering menggambarkan sungai dan pancutan air yang mengindahkan taman syurga? Sungai apabila diminum airnya oleh ahli syurga, akan membersihkan segala jenis penyakit fizikal termasuk juga penyakit hati. Pengajarannya, sekiranya sifat di dunia kita penuh dengan hasad dengki, maka menjadi petanda itu bukanlah sifat penghuni syurga dan tidak layak untuk kita mendapatkan syurga Allah dengan membawa watak hasad dengki sesama manusia. Hargai nikmat Pastikan lafaz Alhamdulillah sentiasa meniti di bibir kita sebagai tanda penghargaan kita atas apa juga kurniaan Allah SWT kepada saudara kita yang lain. Agar kita dapat menjauhkan hati kita daripada sifat hasad dengki.
Beliau turut berkongsi dalam hadis Baginda Nabi SAW, menurut riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda Nabi SAW memperincikan ada tujuh ciri ahli syurga antaranya tidak kencing, tidak membuang air besar, tidak akan meludah, tidak akan ada hingus, sikatnya daripada emas dan peluhnya harum seperti kasturi serta mereka dijadikan seperti fizikal Nabi Adam AS. Tujuan Allah SWT menceritakan segala nikmat yang ada di syurga, agar ia menjadi cita-cita setiap Mukmin supaya syurga menjadi destinasi terakhir kita semua. Fitrah manusia menginginkan yang indah hadir dalam kehidupan mereka. Maka, tidak hairanlah syurga juga dicipta indah untuk menjadi impian dan harapan kita untuk berada di dalamnya. Namun untuk mendapatkan nikmat yang indah, pasti ada cabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh di dunia. Pasti ada suruhan dan larangan Allah SWT yang wajib kita turuti bagi meraih syurga Allah SWT.
Pada akhir pertemuan, Muhammad Syaari turut berkongsi satu hadis Baginda Nabi SAW mengenai perihal syurga yang bermaksud: “Tidak pernah mata melihat, tidak pernah telinga mendengar bunyinya dan tidak pernah ada perasaan merasakannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhirnya, semoga kita sentiasa menjadikan dunia tempat menyemai benih syurga.

Tinggalkan komen