Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Fitnah alam maya cetus permusuhan, kehancuran

Posted by epondok di Februari 25, 2016


Internet sering disalah guna sebagai medium menyebarkan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab. –
MELIHAT perkembangan sekarang merungkai persoalan masyarakat hari ini berkomunikasi. Gejala fitnah siber melalui penghantaran gambar separuh bogel, hasutan, penipuan, komen menghina dan penyuntingan fakta serta banyak lagi kontroversi disebarkan menerusi internet dan laman sosial, dilakukan dengan niat buruk mengaib dan menjatuhkan kerjaya. Pencerobohan privasi ini memberi kesan mendalam. Ada mangsa yang mengambil pil tidur dan terpaksa dikejarkan ke hospital, mengurung diri tanpa tampil di khalayak dalam jangka masa yang lama, mengambil tindakan mahkamah dan sebagainya.
Hari ini di negara kita, pemimpin negara, artis malahan ulama pun menjadi mangsa fitnah. Golongan ini hanya akan berpuas hati sekiranya orang yang difitnah menanggung malu. Ini semua adalah dorongan hawa nafsu dan syaitan. Manusia adalah makhluk yang sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dan memerlukan antara mereka. Masyarakat primitif dan haiwan turut mempunyai cara tersendiri berkomunikasi untuk kelangsungan hidup. Pendekatan tanpa komunikasi tidak wujud kehidupan yang bermakna. Komunikasi antara individu dan kelompok sosial melahirkan perkembangan peradaban manusia. Kecuaian mewujudkan komunikasi yang baik antara sesama manusia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Allah SWT berfirman bermaksud: “Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.” (Surah al-Imran, ayat 112).
Fitnah mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Fitnah menjadi punca pergeseran di dalam masyarakat malahan berupaya meruntuhkan sesebuah negara. Al-Quran merakamkan Nabi Yusuf pernah menjadi mangsa fitnah, sirah merakamkan peristiwa fitnah hadis al-Ifki (berita bohong) terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW. Fitnah menjadi faktor kejatuhan Khalifah Uthmaniah, empayar Islam yang unggul satu ketika dulu. Khalifah Uthman Ibn Affan dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah, juga kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kerana fitnah dan permusuhan dalaman.
Teknologi pemangkin tamadun manusia hari ini, tanpa disedari masyarakat bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Teknologi membantu memudahkan kehidupan. Namun tidak semua teknologi diguna sebaiknya. Terpulang pada kebijaksanaan untuk menilai dan menggunakannya sebaik mungkin. Melalui talian internet, jarak dan masa bukan lagi penghalang dalam perhubungan. Internet menjadi platform maklumat berjuta-juta pengguna di seluruh dunia dan turut membenarkan maklumat dan gosip disebarkan secara bebas.
Salah guna kemudahan
Ramai dalam kalangan kita yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan fitnah. Inilah fitnah siber di mana teknologi memudahkan kita memuat naik, menghebahkan (share) dan mudahnya memilih suka (like) mahupun tidak suka (dislike) perkara yang belum pasti kesahihannya, secara berperingkat ia tersebar ke saluran rasmi sehingga dilaporkan secara sensasi dan viral di serata daerah. Lebih ramai berkomunikasi, lebih besarlah kemungkinan fitnah itu tersebar secara meluas. Islam mengisyaratkan umatnya menyelidik (tabayyun) kesahihan setiap sumber agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain. Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah SWT mencela tindakan orang beriman yang terikut-ikut mempercayai, bahkan menyebarluaskan sesuatu desas-desus tersebut. Seharusnya apabila mendengar sesuatu pertuduhan, kenapa secara spontan tidak mendahulukan prasangka baik kepada sesama Muslim dan menyatakan bahawa itu adalah tuduhan semata-mata. Allah SWT berfirman maksudnya: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (Surah al-Nur , ayat 12).
Jika sememangnya ia benar, pihak yang menuduh harus mendatangkan empat orang saksi. Jika tidak, ia adalah tuduhan semata-mata, apatah lagi jika orang yang didakwa itu sama sekali tidak melakukannya. Allah SWT merakamkan perkara ini dalam firman-Nya yang berikut: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka di sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta.” (Surah al-Nur, ayat 13).
Rasulullah SAW mengisyaratkan pembohongan dan ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) adalah satu kesalahan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya, wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda: Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian Baginda ditanya lagi: Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab Baginda: Jika sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar). (Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi)
Maruah seseorang Islam amat tinggi dan mulia. Rasulullah SAW menerangkan balasan baik individu yang menjaga diri daripada mendedahkan keaiban Muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah SWT menutup keaibannya di dunia dan di akhirat, Allah SWT menolong hamba-Nya selagi ia menolong saudaranya. (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menggambarkan senario hari akhirat dalam hadis Baginda mafhumnya: “Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu mengetahui orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang yang muflis adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan (pahala) solat, puasa, zakat dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah (bukan dengan jalan syarak), memukul orang dan sebagainya. Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, lalu diambil dosa-dosa mereka (iaitu mereka yang diperlakukan perbuatan buruk), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, lalu dia dihumban ke neraka.” (Riwayat Muslim).
Fitnah akhir zaman
Senario hari ini boleh dikategorikan sebagai fitnah akhir zaman yang adalah sebesar-besar ujian yang berlaku sebagaimana dinyatakan Nabi SAW mafhumnya: “Hai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah meramaikan keturunan Adam, tiada di muka bumi ini fitnah yang lebih besar dari fitnah dajal. Allah Azza wa Jalla tidak mengutus seorang Nabi kecuali ia memperingatkan kaumnya dari (bahaya) dajal. Aku adalah Nabi terakhir dan kalian umat terakhir. dajal pasti muncul di tengah-tengah kalian.” (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim).
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bergegaslah kamu melakukan amal salih sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita.” (Riwayat Muslim).
Fitnah yang dimaksudkan ialah manusia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita. Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: