Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tuntutan hak asasi abai batas agama bawa kehancuran

Posted by epondok di Februari 23, 2016


Oleh Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
LGBT diamalkan Barat bertentangan Islam dan perundangan di Malaysia menolak budaya songsang.
SERUAN kepada hak asasi manusia yang tidak terbatas sedang menular di Barat. Salah satu daripada tuntutan hak asasi manusia yang bertunjangkan kepada hak asasi manusia semata-mata tanpa garis panduan agama ialah tuntutan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
LGBT merujuk kepada satu kumpulan yang mempunyai orientasi seks sesama jenis. Lesbian ialah golongan wanita yang tertarik dengan wanita lain dari segi kecenderungan seks, manakala gay pula ialah mereka yang tertarik seks sesama lelaki. Biseksual pula ialah mereka mempunyai kecenderungan seks kepada lelaki dan wanita. Transgender mempunyai perwatakan dan menyerupai gender yang berbeza dari asal-usul. Contohnya, seorang lelaki berperwatakan serta berpakaian seperti wanita.
Terdapat sesetengah transgender melakukan pembedahan pertukaran jantina. Asalnya, hubungan sesama jenis tidak diterima langsung oleh masyarakat, tetapi atas desakan dan tuntutan hak asasi manusia, Barat melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menerima serta mengiktiraf golongan itu. Negara Islam bantah tuntutan SOGI Artikel 1 Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948) telah ditafsir begitu longgar oleh Barat di mana ia meliputi segenap hubungan manusia. Desakan itu dilihat dalam kebebasan manusia meliputi hak asasi manusia, orientasi seks dan identiti gender (SOGI) yang didasarkan oleh satu deklarasi tajaan Perancis-Belanda yang dikemukakan oleh Argentina pada perhimpunan PBB pada 19 Disember 2008.
Tuntutan supaya manusia dapat menikmati kehidupan tanpa perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, politik, pandangan, asal usul, harta, kelahiran dan status lain seperti yang dijamin dalam Artikel 2 Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR) 1966 dan Artikel 26 Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966. Desakan mereka termasuk memastikan supaya prinsip tiada diskriminasi terpakai secara saksama kepada setiap insan tanpa mengira latar belakang orientasi seks dan identiti gender. Tuntutan SOGI ini telah dibantah oleh negara Islam di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Satu kenyataan alternatif yang dibaca oleh Syria mewakili 57 negara Islam mempersoalkan tuntutan itu yang dianggap tidak mempunyai asas undang-undang dalam mana-mana instrumen hak asasi manusia antarabangsa.
Tuntutan SOGI ini juga ditolak oleh Malaysia bersama negara Islam lain yang membabitkan hak LGBT di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 14 Februari 2012. Malaysia mengambil pendekatan sama apabila ada tuntutan LGBT dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 17-18 November 2012 kerana sepuluh negara ASEAN mempunyai perlembagaan berbeza dan kebebasan mutlak tidak boleh tercapai mengambil kira latar belakang agama serta etnik berbeza.
Walaupun tidak semua negara Barat menghalalkan perkahwinan sejenis, tetapi amalan seks sejenis tanpa mengira antara lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita tanpa unsur paksaan dengan umur minimum 16 tahun adalah tidak menjadi kesalahan, malah dianggap perkara biasa. Disebabkan terlalu melayan desakan hak asasi manusia tanpa batasan agama, negara dan masyarakat, Barat telah mengiktiraf golongan jantina ketiga dikenali sebagai LGBT.
Pengajaran kisah kaum Lut
Tuntutan hak asasi manusia secara mutlak tanpa ikatan agama akan membawa kepada kehancuran kerana sebagai manusia yang bersifat makhluk kejadian Allah SWT, hak asasi manusia tidak bersifat mutlak.
Dalam Islam hak terbahagi kepada tiga bahagian: hak Allah; hak manusia dan hak Allah dan manusia. Justeru, jika hak diberi secara mutlak kepada manusia, ia akan disalahgunakan dan lari daripada landasan yang betul. Hanya manusia yang tiada pegangan agama sahaja melaungkan hak asasi manusia secara mutlak tanpa mengaitkan dengan pencipta-Nya Allah SWT. Kisah kaum Lut yang suka kepada aktiviti songsang diceritakan dalam al-Quran: “Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika ia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu mengetahui kekejiannya?” (Surah al-Naml, ayat 54)
Dalam konteks perundangan Malaysia, kesalahan liwat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan persetubuhan bertentangan aturan tabi’i sama ada melalui mulut atau dubur akan dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Bagi kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksimum 20 tahun, termasuk sebatan.
Hukuman bagi kesalahan liwat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri yang terpakai ke atas orang Islam sahaja boleh didenda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, enam sebatan atau kombinasi hukuman itu. Bagi kesalahan mushaqah (perempuan dengan perempuan) seksyen 26 Akta sama turut memperuntukkan hukuman serupa. Golongan transgender yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam atas tujuan tidak bermoral jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Hukuman elak keburukan Tujuan sebenar hukuman dikenakan ke atas golongan LGT supaya gejala buruk yang tidak bermoral ini dapat dijauhi oleh orang Islam khususnya dan manusia amnya. Ini bagi mengelak keburukan akibat daripada perbuatan tidak elok itu.
Memandangkan amalan LGBT menyimpang jauh daripada ajaran agama Islam dan agama lain serta tidak sesuai dengan budaya hidup ketimuran, Barat tidak wajar memaksa kita menerima budaya songsang itu. Keutamaan dalam konsep maqasid syariah untuk memelihara agama dan keturunan dengan penekanan kepada maslahah ummah hendaklah menjadi tunjang dalam melaungkan hak asasi manusia yang bersifat kolektif berbanding tuntutan bersifat individu yang boleh mengancam akidah Islam.
Al-QURAN:
“Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika ia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu mengetahui kekejiannya?” – Surah al-Naml, ayat 54

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: