Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Malaikat Roman selidiki keburukan ahli kubur

Posted by epondok di Februari 19, 2016


Oleh Fairuz Noordin

AHLI kubur dibahagikan kepada dua kelompok iaitu mereka yang beriman dan sebaliknya. Bagi mereka yang beriman, Allah SWT akan menyediakan tempat yang tenang, tetapi sebaliknya bagi orang yang tidak beriman akan berada dalam kesengsaraan, sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Ibn Mas’ud meriwayatkan apabila dia berjumpa dengan Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda apakah perkara pertama yang ditemui oleh penghuni kubur sejurus mereka dikebumikan. Baginda menjawab: “Wahai Ibn Mas’ud, tidak ada seorang pun yang bertanyakan soalan ini kepadaku kecuali kamu. Pertama sekali dia akan dipanggil oleh malaikat Roman yang bertugas menyelidiki keburukan ahli kubur. Malaikat akan memintanya menulis segala amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu. Lalu apabila mayat memberitahu bahawa dia tidak memiliki kertas mahupun pen untuk menulis amalannya, kemudian disuruh oleh malaikat untuk menggunakan kain kapannya bagi menggantikan kertas, air liur sebagai dakwat, manakala jari sebagai alat untuk menulis. Menulis amalan baik ketika hidup Setelah malaikat mengoyak sebahagian daripada kain kapan, si mati akan mula menulis segala amalannya walaupun ketika hidup di dunia dahulu, dia adalah seorang yang tidak tahu menulis dan mengingati semua amalan baik mahupun yang buruk yang telah dilakukannya. Kemudian malaikat akan mengambil dan melipat potongan kain kapan itu, lalu digantung pada leher si mati.” Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra’, ayat 13: “Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada Hari Kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya)”.

Selepas dikunjungi malaikat Roman, seterusnya si mati akan didatangi malaikat Mungkar dan Nakir. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang ini, apabila jenazah mula diletakkan dalam kuburnya yang menyebabkan semua orang yang menghantarnya itu pulang, ketika itu dia mula mendengar bunyi tapak-tapak kaki mereka mula bergerak meninggalkan kuburnya. Datanglah dua malaikat lalu diletakkannya bersandar pada kubur itu. Masing-masing akan mula bercakap dan berkata, “Apa yang ingin kamu sebutkan tentang lelaki ini (sambil menunjuk ke arah Rasulullah SAW)”.

Lalu jenazah Mukmin itu menyebut, “Bersaksilah sesungguhnya dia hamba Allah dan juga Rasul-Nya.” Kemudian kedua-dua malaikat berkata: “Cuba kamu lihat tempatmu yang asalnya dalam neraka, sekarang Allah tukarkan tempat kamu ke dalam syurga Allah SWT”. Masing-masing akan memandang tempat yang akan diduduki bila berada dalam kubur nanti. Tetapi bagi mayat orang kafir apabila ditujukan soalan yang sama iaitu siapakah lelaki ini dalam hidupmu?, dia akan menjawab: “Aku tidak tahu”. Malaikat pula berkata: “Memang kamu tidak tahu, walaupun orang lain memberitahu, tetapi tiba-tiba kamu tidak pernah mengambil tahu mengenai Nabi Muhammad SAW.” Kemudian mayat itu dipukul kuat dengan besi di antara dua telinganya, sehingga jeritannya didengari oleh seluruh makhluk yang berada di sekitarnya kecuali jin dan manusia.

Menerusi hadis riwayat oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah menggambarkan dua malaikat itu berwarna hitam, taringnya mencecah ke bumi, rambutnya panjang sampai ke tanah, manakala suaranya ibarat bunyi petir yang dahsyat dan matanya bersinar ibarat kilat yang menyambar. Nafasnya bagaikan angin taufan. Kedua-dua malaikat itu memegang palu besi yang seandainya dikumpulkan seluruh jin dan manusia pun tidak mampu mengangkatnya dan jika dipukul dengan palu itu ke arah gunung yang besar, nescaya gunung itu menjadi rata. Jika ada orang yang memandang malaikat itu, mereka akan rasa gementar dan akan melarikan diri. Malaikat akan memasuki mayat melalui hidungnya sampai ke bahagian dada dan pada ketika itu jenazah seolah-olah berada dalam keadaan nazak semula, tidak mampu bergerak dan berkata-kata sedangkan pada ketika itu sudah mampu mendengar dan melihat. Kemudian malaikat akan meletakkan si mati dalam keadaan duduk sambil membentak dengan suara yang keras dan kasar sehinggakan tanah kubur bergerak bagaikan air mengalir masuk ke lubang. Kemudian Baginda menceritakan, malaikat akan bertanya, siapa Tuhan kamu, apa agamamu, siapa Nabi kamu dan di mana kiblat kamu. Mayat orang yang beriman dan terdiri daripada ulama pilihan akan bertanya semula kepada malaikat, “Siapakah kamu berdua dan siapakah yang telah mengutuskan kamu?”. Sehinggakan malaikat berkata, “Dia benar, sudah cukuplah kita melakukan kekasaran terhadapnya, kerana dia sudah bersedia untuk kembali menghadap Allah.”

Kubur diterangi cahaya

Setelah itu malaikat akan mula memasang sesuatu seperti sebuah kubah besar di atas kuburnya dan dibukakan baginya pintu syurga daripada arah kanan, diberi hamparan tempat tidur daripada syurga dan berbau sangat harum. Lalu datang amalan kepadanya menyerupai wajah orang yang sangat disayanginya dan berbual-bual dengannya. Kuburnya akan sentiasa diterangi cahaya dan berada dalam keadaan yang penuh ketenangan dan kegembiraan sehingga tibanya Hari Kiamat. Ini adalah gambaran keadaan yang dihadapi oleh mayat orang Mukmin yang diberi kelebihan oleh Allah SWT dan darjatnya ditentukan oleh banyaknya amalan yang telah dilakukan ketika hidup di dunia. Rasulullah menjelaskan mereka ini melakukan amalan salih tanpa mempedulikan pandangan dan celaan orang lain terhadap perlakuan mereka itu sedangkan mereka tidak banyak menimba ilmu, tetapi banyak mengerjakan amalan. Kepada mereka yang teragak-agak menjawab persoalan daripada malaikat Mungkar dan Nakir, dia akan mula dipukul dengan pukulan yang menyebabkan menyala api dari kuburnya. Kadang-kadang api itu akan terpadam setelah beberapa hari dan ada kalanya terus menyala sehingga Hari Kiamat kelak. Menurut Imam Qurtubi, antara punca tidak dapat menjawab soalan dalam kubur kerana timbulnya sifat ragu-ragu dalam dirinya terhadap agama Allah. Oleh itu apabila dikurniakan nikmat agama, kita seharusnya memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: