Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Didik generasi muda peraturan, cara hidup Islam lengkap

Posted by epondok di Februari 12, 2016


KAEDAH pendidikan yang dinamik dan praktikal, mementingkan isi dari kulit bagi melahirkan generasi muda berakhlak.
MEMBICARAKAN isu pendidikan Islam di negara Islam kini, sebagai pengkaji sastera dan bahasa Arab, saya teringat kepada karya pujangga Arab ternama mengenai hal ini antaranya ialah penyair Syria, Nizar Qabbani, yang lahir pada 21 Mac 1923 dan meninggal pada 30 April 1998. Ketika hayatnya, beliau telah dapat rasakan situasi masyarakat Syria, semasa dan selepas kematiannya iaitu ketika menulis puisi ‘futuristic’nya bertajuk Hal Tasmahuna Li yang bererti Sudikah Anda Mengizinkan saya? yang bermotifkan kritikan dari segi politik, agama dan tamadunnya.
Saya berasakan sungguh pun saya tidak sefahaman dengan perspektifnya secara keseluruhan, namun pada umumnya, mesej disampaikan melalui puisinya itu adalah refleksi idea dan pemikirannya kepada masyarakat Islam seluruhnya. Karya Nizar Qabbani boleh dijadikan pengajaran Masyarakat dipenuhi dengan konflik jiwa, agama, peradaban dan politik yang mengkucar-kacirkan negara serta umat Islam seperti disaksikan pada masa kini. Saya menganggap karyanya adalah pandangan sejagat Islam dari seorang pencatat tamadun umatnya, baik untuk dijadikan pengajaran termasuk masyarakat kita.
Penyair Nizar Qabbani dapat melihat pergolakan politik negaranya terutama dari sudut pertentangan perspektif antara pemikir dan pemimpin yang berkuasa, antara ulama dan ibu bapa atau pendidik ketika beliau mengungkapkan syairnya: “Di negara yang para pemikirnya di bunuh, para penulis di katakan murtad dan buku-buku di bakar, Di dalam masyarakat yang ‘orang lain’ di singkir, di paksa menutup mulut dan mindanya, malah menyoal adalah satu dosa. Sudikah anda mengizinkan saya untuk membesarkan anak-anak saya menurut cara saya tanpa di ganggu gugat dengan corak dan perintah anda? Sudikah anda mengizinkan saya untuk mengajar bahawa agama itu yang terutamanya ialah untuk Tuhan, bukan untuk ketua agama, ulama dan orang lain?”
Bahagian pertama ungkapan puisi itu adalah gambaran tajam mengenai sejarah konfrontasi, polarisasi dan konflik antara ilmuwan dengan pemikir agama di satu pihak, tekanan ahli politik di satu pihak lain, juga konflik pentafsiran agama antara ahli agama dan orang awam. Di samping itu, beliau melihat sesetengah ulama Islam amat terasing pemikiran dan pendiriannya daripada arus perdana kehidupan biasa dengan memberikan penumpuan sepenuhnya hanya kepada aspek kehidupan peribadi, mengabaikan kehidupan umum dan kemasyarakatan, sistem pemerintahan negara, pengurusan politik, ekonomi, etika, sivik, konsep syura, keadilan sosial, perpaduan dan sebagainya.
Malah dalam rangkapan di atas beliau cuba melihat kewujudan pertentangan antara ahli politik dengan pemikir, penulis dan tentunya ahli akademik sehingga berlaku tekanan seolah-olah hasil pemikiran serta karya mereka tidak seharusnya sampai kepada orang awam, yang digambarkan dengan perbuatan membakar hasil karangan, penyelidikan ilmuwan dan pemikir itu.
Dari satu sudut yang lain, seperti dijelaskan, pertentangan juga berlaku antara ulama Islam umum yang sering bertindak tanpa hikmah dan ilmu, menjadikan Islam hanya satu ritual serta tanggungjawab keperibadian Muslim. Dengan melupakan ajaran etika, moral serta nilai kemasyarakatan, perundangan, ekonomi, pemerintahan, juga melupakan sistem penting dalam Islam seperti kesatuan, perpaduan, keadilan Islam sebagai satu agama holistik, universal dan peraturan hidup yang lengkap.
Amat menarik sekali penyair ini juga menggambarkan kefahaman dan penafsirannya yang dalam mengenai proses pendidikan agama bagi anak, umpamanya ketika beliau berpuisi: “Sudikah anda mengizinkan saya mendidik anak kecil saya bahawa agama itu adalah untuk kebaikan, adab, akhlak mulia, jujur dan ikhlas sebelum saya mengajarnya: kaki manakah yang memulakan langkah masuk ke dalam tandas, dan tangan manakah menyuapkan makanan ke dalam mulut” ”
Sudikah anda mengizinkan saya mengajar anak-anak lelaki saya bahawa mencontohi Nabi Besar haruslah di mulai dengan kebenaran, ketaatan dan keikhlasan baginda sebelum mempelajari tentang janggut, dan panjang pendeknya pakaian baginda?”
Jelas sekali penyair menekankan kaedah pendidikan agama kepada kanak-kanak secara lebih berkesan iaitu metodologi pendidikan seharusnya dimulai dengan pengajaran adab, etika dan akhlak yang dapat dicontohi daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW. Bukan menekankan bentuk pakaian dan janggut Baginda terutama ketika anak ini masih terlalu kecil untuk memahaminya. Seterusnya penyair ini menambah: “Sudikah anda mengizinkan saya untuk bersuara bahawa Tuhan melarang manusia membunuh sesama sendiri dan sesiapa yang membunuh seorang lain secara salah seolah-olah dia membunuh keseluruhan umat manusia”
Kembalikan tamadun peradaban umat Islam Kesimpulan yang ingin saya kemukakan di sini, pada zaman moden ini ketika umat Islam sedang berhadapan krisis identiti besar untuk mengembalikan tamadun dan peradaban, kesejahteraan, kemakmuran hidupnya, maka generasi muda haruslah dididik dalam sistem memberikan keutamaan kepada Islam sebagai satu peraturan serta cara hidup yang lengkap.
Agama yang dapat diterjemahkan dalam kaedah pendidikan yang dinamik dan praktikal, mementingkan isi dari kulit, memberikan keutamaan mengikut metodologi pendidikan betul, latihan guru sempurna serta susunan buku teks terkini. Aspek pendidikan beginilah yang seharusnya dijadikan pendekatan untuk kita memerangi salah faham anak muda kita yang terpengaruh dengan kaedah mudah agama seperti jalan pintas ke syurga iaitu jihad, mati syahid dan sebagainya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: