Ketika si jahil mabuk dengan kemilau dunia sehingga menyangka ia adalah kilauan berlian, si alim sudah tahu bahawa itu hanyalah kilauan kaca.

Kisah pengkagum harta dan manusia berilmu dalam cerita Qarun sangat bagus dijadikan pedoman setiap orang yang beriman dengan al-Quran:

“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula “orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang yang sabar,” (al-Qasas[28:79-80]).

Semua sedia maklum Qarun adalah manusia kaya yang sangat angkuh. Ketika dia keluar menayang segala kekayaannya, manusia jahil yang rabun akhirat lekas terpukau. Untung rugi pada mata mereka hanyalah pada timbunan harta dan pengaruh.

Lain pula mata hati orang berilmu. Mereka tahu mana kaca dan berlian. Ketika si jahil hanya melihat apa yang terhidang di hadapan mata, mata orang berilmu sudah nampak beberapa langkah ke hadapan sehingga mencecah alam akhirat.

PIALA KEBENARAN

Soalnya, siapakah yang betul antara dua kelompok pada ayat di atas? Biar ayat ini memberikan piala kebenaran kepada yang berhak:

“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah” dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. Dan orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata:

“Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dialah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!” (al-Qasas[28:81-82]).

Maha Suci Allah! Ayat ini bukan sekadar cerita antara dua kelompok manusia tetapi ia adalah penganugerahan ‘piala kebenaran’ kepada orang berilmu.

Manusia jahil hanya sedar kebodohan dan kejahilan mereka setelah melihat kemusnahan Qarun yang ditelan bumi. Jauh bezanya dengan orang berilmu yang sudah lama melihat betapa kekayaan Qarun hanyalah pinjaman yang boleh ditarik Allah pada bila-bila masa sahaja.

Jika Qarun musnah ditelan puluhan tahun selepas dia keluar menayang kekayaannya, bermakna orang jahil begitu jauh ketinggalan dalam melihat hakikat kebenaran berbanding orang berilmu yang sudah sedar lama sebelum ia terjadi.

Inilah caranya al-Quran mendidik kita agar menjadi manusia berilmu. Rugi sekali jika kita masih terpaku kagum melihat timbunan harta tetapi culas dan liat untuk menghadiri majlis ilmu. Ketahuilah, harta adalah lambang kesombongan Qarun, manakala ilmu pula lambang kemuliaan para Rasul.

Qarun ditelan bumi kerana hartanya, manakala Nabi Musa a.s. ditinggikan darjatnya kerana ilmu. Pilihlah mana satu idaman hati. Jika mahu kagum dengan si kaya atau si alim, ikutlah panduan sabda Rasulullah ini. Insya-Allah kita semua akan selamat:

“Tidak boleh berhasad dengki, kecuali iri hati pada dua keadaan, iaitu; seorang lelaki yang dikurniai Allah (kemahiran dan kefahaman) al-Quran, lalu dia menegakkannya (mengamal, mengajar, menghayati) sepanjang malam dan sepanjang siang, juga seorang lelaki yang dikurniai Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya (pada jalan kebaikan) sepanjang siang dan malam,” – Sahih Bukhari dan Muslim