Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Al-Quran jadi pedoman, al-Fatihah doa terhebat

Posted by epondok di Januari 25, 2016


Oleh Norhayati Paradi
“TUNJUKILAH kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang yang sesat. Inilah doa yang wajib diminta daripada Allah SWT sekurang-kurangnya 17 kali sehari.
Kekuatan ayat surah al-Fatihah (juga dinamakan mufassir sebagai surah solat) itu dibincangkan Ustaz Zul Ramli M Razali menerusi Usrah Nurani yang bersiaran jam 5.15 petang, Jumaat lalu, bersama rakan di konti iaitu Heliza Helmi dan Rosli Mohd Nordin.
Ulama’ menjelaskan, hidayah mendapat petunjuk jalan yang lurus adalah hidayah memeluk agama Islam dan meninggalkan agama selain Islam. Adapun hidayah dalam meniti shiratal mustaqim mencakup seluruh ilmu dan pelaksanaan ajaran agama Islam secara terperinci.
Kepentingan doa dalam setiap rakaat solat Katanya, doa untuk mendapat hidayah ini termasuk doa yang paling lengkap dan paling bermanfaat bagi hamba. Oleh itu wajib bagi setiap orang untuk memanjatkan doa ini dalam setiap rakaat solat kerana kepentingan doa ini. Saat melafazkan doa supaya ditunjukkan jalan yang lurus pasti akan ada getar di hati kecil kerana tidak mungkin akan tercapai permintaan itu jika tidak dikabulkan oleh Yang Maha Kuasa.
Perkataan ‘kami’ dalam ayat menunjukkan jika seorang tidak melafazkannya pasti ia akan diungkap sejumlah besar yang lain. ‘Kami’ juga memberi tamsilan kepada keseluruhan anggota tubuh yang serentak meminta dikurniakan jalan yang lurus saat lidah melafazkan. Seolah-olah setiap pancaindera, organ malah setiap helaian rerambut di tubuh berdoa untuk meraih petunjuk jalan yang lurus yang termasuk dalam ‘kami’ itu.
Tiada siapa yang mampu memberi petunjuk melainkan Allah SWT. Ketika doa permohonan dipinta, individu itu sudah punya matlamat yang jelas dalam jalan hidupnya. Sesungguhnya, telah wujud fitrah pada setiap manusia perasaan mahu kepada Penciptanya tanpa mengira keadaan dirinya.

Firaun yang saat tenggelam di Lautan Merah, ketika tercungap berjuang sebelum kelemasan berkata, “Aku beriman kepada Tuhan sekalian alam”.
Terbukti, kompas dalaman dirinya telah diset oleh Allah SWT bahawa dia berkehendak dan mahu kepada Allah SWT. Justeru, destinasi hidup manusia sangat jelas iaitu menuju Allah SWT iaitu matlamat yang menjanjikan kepuasan seperti mufassir juga menterjemahkan Allah sebagai ‘kepuasan’.
Ia membayangkan betapa puasnya manusia saat dapat menyebut kalimah Allah dan tiada kepuasan lebih tinggi melainkan waktu seseorang itu kembali kepada Allah SWT. Contohnya, saudara baharu yang kembali kepada agama fitrah ini, ketika syahadah dilafazkan, maka Allah memenuhi setiap sudut rongga hatinya.
Buya Hamka pernah mengungkapkan, “Istananya telah kulihat, tetapi di manakah jalannya?” Sekadar melihat istana, belum menjanjikan untuk sampai ke sana. Oleh itu, perlu kepada tahu dan mahu untuk menjejak setiap jalan menuju Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah az-Zukhruf, ayat 9)
Semua manusia dalam dirinya mengakui berkehendak kepada Allah SWT, namun bukan rezeki mereka untuk bertemu jalan hidayah yang akan membawanya kepada Allah SWT. Oleh itu, penting untuk meminta kepada Allah SWT supaya diberikan hidayah petunjuk jalan yang akan membawa kepada-Nya. Imam Abu Ja’far bin Juraih berkata, ahli tafsir telah sepakat seluruhnya bahawa shiratal mustaqim adalah jalan yang jelas yang tidak ada penyimpangan di dalamnya. Petunjuk menuju agama Penggunaan perkataan shirat (jalan) dari sudut bahasa bermaksud menelan. Ia menggambarkan jalan yang dilalui semestinya jalan yang menempatkan diri keseluruhannya di atas jalan itu, bukan jalan ‘iwaja (bengkok), tetapi mustakima (lurus).
Ulama’ menjelaskan, ada empat perkataan ulama mengenai makna shiratal mustaqim. Pertama, ia bermaksud kitabullah. Pada pendapat Ibnu Mas’ud, ia memberi makna agama Islam. Selain itu, Abu Shalih daripada sahabat Ibnu ‘Abbas dan Mujahid memberi maksud jalan petunjuk menuju agama Allah SWT. Dinukilkan daripada Ibnu ‘Abbas ia membawa maksud jalan (menuju) syurga.
Mustaqim pula berasal daripada perkataan yang membawa maksud menegakkan atau mendirikan dengan lurus. Suatu ketika Rasulullah SAW pernah membuat satu garis lurus, kemudian beliau bersabda: Ini adalah jalan Allah. Kemudian beliau membuat garis-garis yang banyak di samping kiri dan kanan garis yang lurus itu. Selepas itu beliau bersabda: Ini adalah jalan-jalan (menyimpang). Di setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan (yang menyimpang) itu.” (Riwayat Ahmad)
Justeru, sentiasa semak dan amati setiap langkah yang dilalui ketika meniti jalan kehidupan supaya tidak terkeluar daripada garis yang telah ditetapkan. Panduan terbaik adalah al-Quran, doa terhebat adalah surah al-Fatihah yang dimohon menerusi solat yang didirikan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: