Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hidup jangan jadi pencemar agama

Posted by epondok di Januari 20, 2016


MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Mereka yang beriman atau percaya kepada sabda Baginda SAW pasti tidak akan mengambil rasuah kerana ini dosa besar. Sebabnya dalam hadis tersebut: “Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan pene­rima rasuah.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Rasuah bukan sahaja merosakkan negara dan masyarakat, lebih daripada itu perbuatan ini mencemar kesucian agama Islam. Apabila yang ditangkap dan didakwa atas rasuah itu melibatkan orang Islam maka agama suci itu turut tercemar. Mengapa orang Islam boleh terlibat dalam perbuatan yang jelas dilarang oleh agama?

Dalam situasi kita di Malaysia, perbuatan rasuah lebih memalukan. Sebabnya, dalam kita mencanangkan di seluruh dunia bahawa kita adalah negara Islam, pelbagai isu membabitkan salah laku manusia termasuk rasuah masih berlaku.

Jangan sampai negara tercinta ini rosak binasa akibat perbuatan sesetengah manusia yang rakus, mementingkan diri sendiri dan tidak yakin dengan pembalasan azab Allah di akhirat kelak.

Lebih malang, yang didakwa terlibat rasuah itu ialah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Kepada siapa lagi kita mahu menaruh kepercayaan jika orang begini tidak lagi amanah?

Perbuatan seumpama ini juga menyebabkan masyarakat memandang rendah kepada sesetengah organisasi penguatkuasaan. Walaupun diakui bukan semua ‘penguat kuasa’ terlibat tetapi disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Betapa ramai anggota pasukan kese­lamatan dan agensi penguatkuasaan yang melaksanakan tanggungjawab de­ngan amanah dan jujur tetapi hakikatnya masyarakat prasangka kepada mereka.

Barangkali sudah tiba masanya untuk menggunakan mesin poligraf dalam sesi temu duga calon yang bakal menganggotai pasukan kese­lamatan dan agensi penguatkuasaan. Sekurang-kurangnya tapisan awal begini dapat menghasilkan pegawai-pegawai yang ‘bersih’ walaupun tidak ada jaminan mereka ini tidak terlibat dengan rasuah pada masa depan.

Islam tidak pernah melarang umatnya mengumpul kekayaan. Sebabnya, hasil kekayaan itu membolehkan kita membantu saudara seagama yang lain melalui zakat, sedekah dan sebagainya. Namun, Islam memberi peringatan yang keras kepada mereka yang mengumpul kekayaan melalui jalan yang batil termasuk rasuah.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu menge­tahui (salahnya).” (al-Baqarah: 188)

Harta yang diperoleh melalui jalan batil dilihat macam banyak, tetapi tidak berkat. Ada saja jalan keluar dari poket kita melalui pelbagai cara. Antaranya kesihatan kita, isteri atau keluarga kita sering terganggu, rumah tangga yang tidak aman dan lebih dibimbangi anak-anak yang akhlaknya rosak.

Ingatlah kita bukan hidup menongkat dunia. Segala amal perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: