Cerita pelajar saya yang berasal dari sebuah negara kecil jajahan komunis ini sangat menginsafkan jiwa. Setelah menyambung pelajarannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau sangat komited belajar al-Quran. Setiap minggu beliau datang ke bilik saya mengusung al-Quran. Beliau juga komited solat berjemaah dalam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM. Seakan mahu dilepaskan giannya untuk solat berjemaah setelah sekian lama dihalang oleh pemerintah negaranya. Saya pun malu dengan kegigihannya.

SETIAP MASA

Solat berjemaah di surau atau masjid bukan perkara enteng. Ia sangat ditekankan oleh agama. Usahkan zaman tenang tanpa gelora, suasana gawat ketika diancam musuh sekalipun tidak menggugurkan kewajipan solat berjemaah. Lihat sahaja kisah Bani Israil, walau gawat diburu Firaun, Allah tetap mengarahkan mereka bersolat secara berjemaah: “Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa dan saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah kamu tempat sembahyang serta dirikanlah sembahyang (secara berjemaah) di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman (bahawa meraka akan diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan kaumnya,” (Yunus [10:87]).

Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, setelah Bani Israil dihalang solat berjemaah secara terbuka dan diancam bunuh oleh Firaun, Allah tetap mengarahkan mereka solat berjemaah secara tertutup dalam rumah mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Bukan setakat itu, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap diarahkan solat berjemaah ketika gawat berhadapan dengan pihak musuh: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada bersama mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersamamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersamamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing…,” (al-Nisa’ [4:102]).

WAJIB BERJEMAAH?

Jika semasa gawat berhadapan musuh pun, Allah mengarahkan baginda solat berjemaah, maka bayangkan bagaimanakah hukum solat berjemaah ketika aman sentosa? Oleh kerana itu, sebahagian ulama mengatakan “solat berjemaah itu wajib” berdasarkan arahan Allah dalam ayat ini.

Dalam sebuah hadis disebut permintaan seorang sahabat nabi yang buta agar tidak perlu ke masjid berjemaah: Ertinya: Abu Hurairah menceritakan seorang lelaki buta datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tiada siapa yang boleh membawaku ke masjid (untuk solat berjemaah).” Beliau kemudiannya meminta agar diberi kelonggaran untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Rasulullah SAW membenarkannya, namun setelah beliau berpaling mahu pulang Rasulullah memanggilnya dan bertanya: “Adakah kamu mendengar laungan azan?” Beliau menjawab: “Ya!” Rasulullah kemudiannya berkata: “Maka hendaklah kamu menyahut seruan itu (dan datang solat berjemaah)” (Sahih Muslim).

Hadis ini dibincangkan oleh para ulama dengan kesimpulan orang uzur seperti si buta dalam hadis ini diberikan kelonggaran untuk tidak berjemaah di masjid. Pun begitu, Rasulullah masih memintanya datang berjemaah. Alhamdulillah! Kita belum buta.

Mari pula kita ikuti kisah seorang remaja yang buta dari United Kingdom. Namanya Mahomed Khatri. Walaupun buta, beliau tetap datang solat berjemaah di masjid dengan ditemani anjingnya yang bernama Vargo. Kesungguhannya datang solat berjemaah mendorong pihak masjid untuk menyediakan sangkar khusus untuk anjingnya. Kisahnya boleh ditonton di sini: https://www.youtube.com/watch?v=GPX-74-KRdc

Maha Suci Allah! Alangkah malunya sesetengah kita yang celik mata zahir, tapi rabun mata hati kerana malas datang solat berjemaah ke masjid.

Solat berjemaah adalah syiar atau lambang kemuliaan Islam. Kalau bukan kita yang menegakkan syiar ini, siapa lagi? Saya pasti negara kita belum berperang. Kita juga tidak diancam bunuh seperti Bani Israil. Kita juga belum buta mata sehingga perlu dipimpin si anjing ke masjid. Oleh itu, ambillah peluang ketika aman dan sihat segar bugar ini untuk menjayakan Sunnah Rasulullah SAW ini. Semoga Allah merahmati kita semua.