Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Memahami dan menerima Takdir Allah

Posted by epondok di Januari 13, 2016


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusoff
Kita kini berada pada 2016. Adakah azam 2015 sudah tercapai? Jika ya, tahniah! Namun sekiranya tidak, jangan sesekali kecewa dan bukalah lembaran baharu. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata, takdir seseorang dicatatkan di Lauhul Mahfuzh. Allah SWT mencatat takdir segala sesuatu hingga Hari Kiamat.
Takdir ini umum bagi seluruh makhluk. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya yang pertama kali diciptakan Allah adalah qalam (pena). Allah berfirman kepada kalam tersebut, ‘Tulislah’. Kemudian kalam berkata, “Wahai Rabbku, apa yang akan aku tulis?” Allah berfirman, “Tulislah takdir segala sesuatu yang terjadi hingga Hari Kiamat.” (HR. Abu Daud)
Pastinya setiap tahun ramai kalangan kita membuat azam, sama ada azam tahun baharu atau pun azam diperbaharui. Namun, sebilangan sahaja azam dirangka menjadi kenyataan, selebihnya tinggal impian. Malah, ada pula antara azam dirangka akan terus dilupakan.
Azam tahun baharu
Kajian berkenaan azam tahun baharu rakyat Amerika Syarikat dijalankan Norcross, Mrykalo, & Blagys (2002) mendapati bahawa sebanyak 75 peratus subjek kajian mengekalkan azam mereka hanya dalam minggu pertama Januari dan bilangannya menurun ke 64 peratus selepas sebulan. Selepas enam bulan, sebanyak 46 peratus sahaja subjek kajian masih kekal dengan azam masing-masing.
Menurut kajian berkenaan lagi, antara azam paling popular adalah menguruskan badan (31 peratus), menjaga kesihatan (15 peratus) dan berhenti merokok (12 peratus). Menjaga kesihatan termasuk berhenti merokok, menguruskan badan, menjaga pemakanan, selain kerap bersenam dan ke gimnasium.
Kebanyakan kita juga berazam menguruskan kewangan seperti melangsaikan segala hutang piutang serta menabung dengan lebih konsisten. Sebenarnya kalau difikirkan, walaupun resolusi itu pelbagai, kebanyakan kita mempunyai azam tahun baharu hampir serupa. Bagi membantu mencapai azam tahun baharu anda, tip berikut mungkin sedikit sebanyak dapat membantu.
Pakar sains kefahaman psikologi University Hertfordshire United Kingdom, Professor Richard Wiseman, berkata antara masalah utama resolusi tidak tercapai kerana azam itu tidak realistik.
Perlu kita ketahui bahawa keimanan terhadap takdir harus mencakupi empat prinsip. Keempat-empat prinsip ini harus diimani setiap Muslim.
Pertama, mengimani bahawa Allah SWT mengetahui dengan ilmunya yang azali dan abadi mengenai segala sesuatu yang terjadi baik perkara kecil mahupun yang besar, yang nyata mahupun yang tersembunyi, sama ada sesuatu perbuatan itu oleh Allah SWT mahupun perbuatan makhluknya. Semuanya terjadi dalam pengilmuan Allah SWT.
Kedua, mengimani bahawa Allah SWT mencatatkan dalam Lauhul Mahfudz, takdir segala sesuatu sehingga Hari Kiamat. Tidak ada sesuatu pun yang sudah terjadi mahupun yang akan terjadi kecuali sudah dicatat. Dalil kedua prinsip ini terdapat dalam al-Quran dan Hadis. Allah SWT berfirman: “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi? bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Lauhul Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah” (Surah Al Hajj, ayat 70).
Dalil bersumberkan hadis pula, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “… Allah telah menetapkan takdir untuk setiap makhluk sejak lima puluh ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.”
Ketiga, mengimani bahawa kehendak Allah SWT meliputi segala sesuatu, baik yang terjadi mahupun yang tidak terjadi, baik perkara besar mahupun kecil, baik yang tampak mahupun yang tersembunyi, baik yang terjadi di langit mahupun di bumi.
Keempat, mengimani Allah SWT menciptakan segala sesuatu sama ada besar atau kecil, yang nyata dan tersembunyi. Perkataan dan perbuatan makhluk pun termasuk ciptaan Allah SWT. Dalil kedua prinsip ini adalah firman Allah SWT, “…Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu. Kepunyaan-Nyalah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi. Dan orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, mereka itulah orang yang rugi.”(Surah Az Zumar, ayat 62-63)
Allah ketentuan takdir
Allah SWT yang menetapkan takdir kita, maka Allah SWT memiliki kuasa mengubahnya. Ertinya takdir baharu bagi kita. Mengubah takdir ertinya Allah SWT menggantinya dengan takdir baharu. Sebenarnya, Allah SWT yang menetapkan takdir.
Cara pertama adalah dengan berdoa seperti dijelaskan pada hadis dinyatakan. Berdoa itu penting dan harus dilakukan secara serius. Luangkan waktu untuk berdoa serta menghadirkan hati dengan memahami apa dikatakan. Sentiasa berdoa. Mudah-mudahan Allah SWT membimbing langkah kita termasuk membuka minda kita untuk melakukan sesuatu.
Kedua, begitu juga dalam kehidupan seharian, kita dianjur meningkatkan amalan sedekah, semoga kita terhindar dari takdir yang tidak kita sukai dan diubah Allah SWT menjadi takdir yang menambah kebaikan bagi kita.
Ketiga adalah bertasbih. Hadis diriwayatkan Sa’ad Ibnu Abi Waqosh, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian Aku beritahu sesuatu doa, yang jika kalian memanfa’atkan itu ketika ditimpa kesedihan atau bencana, maka Allah akan menghilangkan kesedihan itu? sahabat menjawab: “Ya, wahai Rasululullah, Rasul bersabda ‘Iaitu doa Dzun-Nun: “La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minadh-dholimin” (Tidak ada Tuhan selain Engkau, maha suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk di antara orang yang zalim). (HR. Imam Ahmad, At-Turmudzi dan Al-Hakim).
Keempat adalah berselawat. Hadis diriwayatkan Ubay Ibnu Ka’ab RA, bahawa ada seorang lelaki mendedikasikan semua pahala selawatnya untuk Rasulullah SAW, maka Rasul SAW berkata kepada orang berkenaan: “Jika begitu lenyaplah kesedihanmu, dan dosamu akan diampuni” (HR Imam Ahmad At-Tabroni).
Berselawat juga adalah satu amalan yang dianggap sebagai bukti cinta kita kepada Rasulullah SAW.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: