Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bermuhasabah, tunaikan janji

Posted by epondok di Januari 8, 2016


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

 

Sebagai manusia memang tak pernah terlepas dengan janji. Sama ada kita yang berjanji atau orang lain yang berjanji dengan kita.

Janji termeterai dalam banyak keadaan. Janji seorang anak kepada ibu bapa, janji peniaga dengan pelanggan, janji ahli politik kepada rakyat marhaen, janji antara kawan dengan kawan dan sebagainya.

Janji juga merangkumi pelbagai perkara terutamanya adalah janji untuk melunaskan hutang, janji untuk melaksanakan sesuatu perkara, berjanji masa dan banyak lagi.

Teringat lagi ketika menuntut di tingkatan satu dahulu. Dalam subjek ‘Idadi (sekolah aliran agama), kami disuruh menghafal beberapa hadis. Antara hadis yang masih segar di ingatan saya hingga hari ini ialah hadis yang berkaitan dengan janji, yang bermaksud;

“Tanda-tanda orang munafiq ada tiga. Apabila dia berbicara, dia mendustainya. Apabila dia berjanji, dia memungkirinya. Apabila dia diberikan amanah, dia mengkhianatinya.”

Allah SWT juga sangat menitikberatkan soal yang berkaitan dengan janji pada hamba-Nya. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud; “Dan penuhilah janji sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

Ulama masyhur nusantara, Hamka pernah menyebut dalam kitab yang dikarangnya, Tafsir Al-Azhar; “Hidup manusia memang terikat dengan janji. Manusia berjanji dengan Allah melalui kalimah syahadah yang dilafazkan. Manusia berjanji sesama mereka melalui tanggungjawab yang diamanahkan padanya.”

Janji memang mudah dilafaz. Dengan hanya bermodalkan air liur, semua orang boleh berjanji. Namun implikasi sesuatu janji yang dilafazkan itu sebenarnya amat besar terhadap orang yang menabur janji itu.

Dalam hadis yang dinyatakan tadi menjelaskan, tanda-tanda kemunafikan seseorang itu boleh dilihat apabila dia mengkhianti janji yang diberikannya. Jelas apabila memungkiri janji, ia menggoyang iman seseorang dan boleh meruntuhkannya.

Menerusi nukilan Abu Na’im bertajuk al-Hilyah, suatu hari ketika berjalan, baginda Rasulullah SAW berselisih dengan seorang lelaki yang mendukung kijang betina.

Raut wajah kijang itu kelihatan sugul dan pandangannya tertumpu pada wajah Nabi SAW manakala mulutnya tak henti-henti mengeluarkan bunyi seolah-olah meminta simpati daripada Nabi SAW.

Dengan mukjizat kurniaan Allah, Nabi Muhammad dapat memahami percakapan kijang itu. “Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku mempunyai beberapa anak yang masih menyusu dan sekarang aku sudah ditangkap. Anak-anakku pasti dalam kelaparan,” luah kijang itu.

Kijang itu kemudian meminta dilepaskan seketika dan berjanji akan kembali selepas menunaikan tanggungjawabnya pada anak-anaknya.

Mendengar kata-kata itu, Nabi SAW meminta lelaki itu melepaskan sebentar kijang itu dan Baginda sendiri menjadi penjaminnya. Memang benar, selang beberapa ketika, kijang itu kembali bertemu Nabi SAW untuk menyerahkan dirinya.

Perancangan Allah itu sungguh indah, lelaki si pemilik kijang itu pada awalnya bernazar jika ada haiwan yang terkena perangkapnya, dia akan menghadiahkan haiwan itu kepada Nabi SAW. Nabi SAW membebaskan kijang itu selepas ia menjadi milik Baginda dan kijang itu melafazkan kesyukurannya atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Jika haiwan (kijang) dalam kisah di atas pun pandai mengotakan janji, apa lagi kita manusia yang dikurniakan akal fikiran tidak malu untuk memungkiri janji? Janji yang tidak dikotakan akan menerima balasan dosa.

Mereka melukakan hati dan perasaan orang yang mengharap. Hakikatnya, janji itu dipertanggungjawabkan dan akan ditanya oleh Allah SWT. Bayangkan jika seseorang itu berjanji dengan ribuan atau jutaan manusia.

Bagaimanakah agaknya dia mahu berjawapan di hadapan Allah nanti. Tahun 2015 telah melabuhkan tirainya dan kini 2016 mulai memasuki fasanya. Marilah kita bermuhasabah, lihat kembali dan memeriksa janji yang belum kita laksanakan.

Laksanakan janji dan tunaikan hak mereka yang sepatutnya. Insya­Allah hidup lebih diberkati.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: