Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Musibah, nikmat pengukur nilai keimanan Mukmin

Posted by epondok di Januari 1, 2016


Oleh Nik Hasnah Ismail
Mukmin perlu sentiasa berdoa supaya ditingkatkan iman menghadapi dugaan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)
Ustaz Ahmad Hafiz al-Zaffarani menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm, jam 10.15 pagi, Jumaat lalu memberi pencerahan mengenai dua perkara yang sangat hampir dengan orang Mukmin. Pertama, ujian atau musibah dan kedua adalah nikmat yang diperoleh. Ujian musibah menyakitkan atau kurniaan nikmat yang membahagiakan, kedua-duanya adalah interaksi Allah SWT terhadap Mukmin untuk melihat sejauh mana keimanan mereka.
Bagi sahabat, alim ulama atau salafusoleh, ujian musibah umpama berita gembira yang memberi kelapangan kepada hati. Mereka melihat ujian musibah daripada pandangan mati hati yang tajam sehingga musibah itu bukan garam yang memedihkan luka, tetapi madu memaniskan masakan. Begitulah tingginya iman alim ulama yang sepatutnya menjadi pedoman kepada seluruh mukmin.
Ujian perngukuh iman
Mereka sepatutnya melihat ujian musibah itu bukan perosak kepada keimanan seseorang tetapi menjadi tali yang mengukuhkan iman dan keyakinan terhadap kebesaran Allah SWT. Pepatah Melayu juga ada menyebut sesuatu perkara pahit ketika terjadi tetapi manis apabila dikenang. Begitulah perumpamaan bagi sesuatu ujian menimpa seseorang hamba yang perlu mempunyai benteng kesabaran yang tinggi dalam menghadapi setiap ujian Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih, padahal kamulah orang yang tinggi (darjatnya), jika kamu benar-benar orang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)
Allah SWT memberi peringatan dan bimbingan kepada manusia yang berdepan ujian atau musibah untuk bersabar kerana ujian tidak diberi kepada Mukmin yang lemah sebaliknya Mukmin cekal jiwa, kuat iman dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, seorang Mukmin yang sering ditimpa ujian adalah Mukmin yang hakikatnya mendapat pandangan di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh Kami telah menguji orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 3)
Riwayat menjelaskan akhlak Amirul Mukminin Saidina Umar Khattab yang berbicara mengenai kenikmatan ujian musibah. Katanya: “Demi Allah, tidak ada satu bala yang menimpa ke atasku melainkan Allah memberikan empat nikmat kepadaku, iaitu musibah itu tidak dikenakan kepada agamaku melainkan musibah itu untuk diriku. Kedua, tidak ada yang lebih nikmat selain musibah itu datang kepadaku mengikut kemampuanku. Ketiga, aku merasa nikmat kerana musibah itu tidak menghalangku untuk reda kepadanya dan keempat, sesungguhnya aku mengharap pahala dari setiap musibah yang mendatangiku.”
Begitulah seorang Mukmin yang tinggi iman dan ketakwaan terhadap Allah SWT, tidak pernah melihat musibah sebagai perkara yang merosakkan iman atau menjauhi diri daripada terus beriman, melainkan menerima ujian musibah sebagai sebahagian daripada kebaikan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT. Malah, setiap ujian itu diterima dengan lapang hati bukan dengan rasa keluh kesah atau kekesalan yang mengundang hasutan syaitan ke dalam diri seorang Mukmin. Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang Mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya. Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Riwayat Muslim)
Jadi Mukmin lebih bersyukur Begitu juga kurniaan nikmat Allah SWT kepada orang Mukmin adalah satu anugerah yang akan mendekatkan Mukmin kepada Allah SWT melalui perasaan syukur dengan setiap rezeki yang dikurniakan-Nya. Mukmin yang bersyukur akan lebih banyak amal ibadah seperti bersedekah, membantu insan memerlukan, merendah diri dan bersikap zuhud terhadap anugerah kurniaan Allah SWT.
Setiap rezeki nikmat yang Allah SWT kurniakan dikembalikan semula kepada-Nya dengan amalan salih yang akan meningkatkan timbangan amal seorang Mukmin, manakala isi dunia dijadikan sebagai ladang pahala untuk mengutip pelaburannya pada akhirat kelak. Justeru, bagi orang Mukmin yang beriman, sama ada musibah atau nikmat, kedua-duanya adalah medan untuk menambah amal ibadah kerana tujuan utama hidup ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: