Dalam keadaan krisis untuk mencari tokoh atau ikon, amat tepat sekali Nabi Muhammad SAW dijadikan rujukan untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap agama melalui sifat-sifat yang dimiliki oleh baginda. Nabi Muhammad bukanlah Man of the Year tetapi pemimpin unggul sepanjang zaman.

Tiada tokoh dalam kalangan manusia yang sehebat Nabi Muhammad SAW daripada segala sudut; pemikiran, kepimpinan dan tingkah laku yang terpuji waima ketika berdepan dengan musuh yang mahu menghapuskan baginda. Dalam keadaan mutakhir ini di mana kita sering berhadapan dengan krisis lunturnya sifat-sifat terpuji dalam kalangan sesetengah pemimpin dunia Islam, Nabi Muhammad wajib ditonjolkan sebagai petunjuk dan rujukan untuk memandu ke jalan yang diredai Allah.

Wujudnya Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan pemimpin Barat membuktikan pemimpin-pemimpin di dunia Islam gagal menonjolkan pemikiran dan sifat-sifat menjunjung keamanan dan kedamaian yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW. Walhal Islam mempunyai pemimpin yang bukan sahaja hebat tetapi berpekerti mulia, sifat yang tidak ada pada pemimpin Barat yang sentiasa memusuhi Islam.

Justeru, antara tugas pemimpin Islam semasa sepatutnya mengalih tumpuan Barat yang sering merujuk Islam daripada perspektif pemimpin ekstrem kumpulan militan Negara Islam (IS). Malangnya, sesetengah pemimpin Islam sendiri tidak menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan.

Sifat dan sikap sesetengah pemimpin Islam yang menindas rakyat demi kelangsungan kuasa sangat jauh menyimpang daripada ajaran Nabi Muhammad SAW.

Oleh kerana wujud sesetengah pemimpin Islam sendiri yang tidak mengikut lunas kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentulah wujud pandangan serong dalam kalangan bukan Islam terhadap pemimpin Islam. Hal-hal yang seperti inilah yang membuktikan bahawa memahami dan menghayati sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebenarnya jauh lebih penting berbanding hanya sambutan besar-besaran pada setiap kali ulang tahun keputeraan baginda.

Ini kerana rahsia mewujudkan keamanan dunia ada terkandung dalam sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Dengan memiliki kualiti umat Islam yang menghayati peribadi mulia junjungan Islam itu serta dalam kalangan pemimpin yang mencontohi ketegasan, keberanian dan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW, Islam mampu muncul sebagai pencetus keamanan sejagat.

Pada masa sama, Barat tidak boleh lagi dengan sengaja berselindung di sebalik kenaifan memahami Islam sebagai prasyarat untuk melabelkan Islam dan pemimpinnya sebagai pengganas dan bukan pendamai. Barat perlu mengakui bahawa mereka sengaja memilih untuk menjadikan segelintir umat Islam yang tidak mengikut sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan menyeluruh terhadap Islam.

Cendekiawan dan pemimpin Islam wajib bangun menangkis persepsi Barat yang serong dan salah sama sekali terhadap Islam dengan kembali menonjolkan sifat-sifat terpuji dalam kepimpinan mereka, yakni menjunjung tinggi sifat amanah dalam semua aspek sama ada kehidupan seharian atau kepimpinan.

Biarpun ramai daripada mereka sudah jauh daripada kriteria pemimpin Islam, sebagai umat Islam yang sentiasa positif, kita perlu yakin bahawa masih ada pemimpin berjiwa Islam yang belum muncul membela Islam yang sedang diperkotak-katikkan dewasa ini. Tidak mustahil pemimpin berperibadi mulia seperti Sultan Muhammad al-Fateh pada era Empayar Uthmanniyyah akan lahir sekiranya sifat kepimpinan terutamanya amanah (integriti) Rasullullah SAW diamalkan para pemimpin.

Ini bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa sifat amanah adalah penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara. Sebaliknya, sifat berlawanannya pula boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang melemahkan sesuatu pemerintahan sehingga memudahkan kerja-kerja musuh dari luar.

Titah baginda lagi pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh, amanah bererti boleh dipercayai, bermakna jika sesuatu urusan itu dipertanggungjawabkan kepada seseorang, wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Titah baginda yang membawa khalayak menoleh kebesaran Islam dan Nabi Muhammad SAW seharusnya dihayati, difahami dan diamalkan dalam konteks sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya sebagai pemimpin di unit atau bahagian dalam organisasi.

Amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas adalah antara sifat terpuji Nabi Muhammad SAW yang semestinya menjadi pegangan setiap pemimpin Islam kerana amanah adalah penanda aras dalam sesebuah kepimpinan, apa lagi dalam masyarakat Islam.

Nabi Muhammad SAW juga ialah contoh pemimpin unggul yang telah berjaya membina tamadun agung, memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam akhirat.