Kehebatan dan ketinggian ak­hlak Rasulullah SAW membawa sinar hidayah kepada manusia lain biarpun setelah kewafatan baginda. Benarlah apa yang telah diungkap­kan dalam surah al-Qalam ayat 4 yang membawa maksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Budi pekerti yang dipamerkan oleh Baginda SAW tidak luntur di­sebabkan kebencian dan kemarahan yang melingkari kehidupan bahkan kesabaran menjadi benteng yang paling utuh dalam memberikan contoh terbaik.

Bulan Rabiulawal yang sinonim dengan sambutan Maulidur Rasul baru membuka tirai. Laungan selawat dan salam buat junjungan agung terus bergema. Namun, apakah akan terus menjadi satu tanda ingatan kepada Baginda SAW biarpun setelah melepasi bulan kelahir­an baginda? Ironinya, selawat yang menjadi tanda ingatan dan cinta kepada Rasulullah SAW hanyalah hebat dan gah pada sambutan Maulidur Rasul tetapi tidak menjadi satu kelaziman yang membasahi bibir.

Pengajaran tersirat yang harus diambil iktibar daripada sambutan tersebut adalah kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan sering menjadikannya sebagai contoh teladan dalam mengharungi liku kehidupan. Kesyumulan akhlak baginda wajar dijadikan inspirasi, dan sambutan Maulidur Rasul itu menjadi satu peringatan buat kita refleksi diri saban tahun. Bukan hanya nama baginda disebut-sebut tetapi juga seluruh kehidupan ba­ginda menjadi contoh walaupun susuk tubuhnya tidak pernah bersua.

Menelusuri kisah Nabi bersama pengemis Yahudi tua tersebut sudah cukup membongkar keperibadian sebenar Nabi SAW. Apakah jiwa dan akhlak sehebat itu dimiliki oleh umat Islam pada hari ini? Hati manakah yang sanggup dicerca, difitnah dan dimaki? Dunia yang penuh pancaroba kini menyaksikan terlalu banyak jiwa yang melebur disebabkan tiada kesabaran. Bahkan ramai yang hilang pedoman apabila nafsu merajai diri melebihi daripada keimanan. Tidak ramai yang sanggup menelan cercaan, maka dibalas juga dengan kemarah­an dan akhirnya fitnah terus berleluasa dalam masyarakat.

Hilangnya sifat sabar apabila menghadapi mehnah dan tribulasi akan membentuk individu yang bersifat pemarah dan pembengis seterusnya membawa kepada situasi yang tidak pernah dijangkakan berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Contohnya membunuh yang seolah-olah sudah menjadi seperti kebiasaan. Kebanyakan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada masalah hati seperti dendam, cemburu, benci dan sebagainya.

Malah fitnah-memfitnah, keji-mengeji, umpat-mengumpat dan mengadu domba telah menjadi satu budaya dalam masyarakat apatah lagi dengan kewujudan media sosial yang tidak mengehadkan sempadan maklumat. Andainya, Rasulullah SAW masih bersama kita, alangkah sedihnya melihat kebejatan moral umat yang semakin meruncing pada hari ini.

Tidak dinafikan, ramai yang mengalami tekanan dalam ke­hidup­an sama ada berpunca daripada tempat kerja, keluarga, kejiranan dan juga persekitaran. Malah kadangkala manusia diuji dengan ujian kesakitan, kehilang­an, kemiskinan, kelaparan dan ketakutan sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al- Baqarah ayat 155 dan 156. Semuanya adalah bentuk ujian yang berbeza bagi setiap umat manusia untuk menguji tingkat kesabaran. Tetapi, apakah ini menjadi penyebab tandusnya akhlak baik sepertimana yang pernah dipamerkan oleh Rasulullah SAW?

Biarpun pengemis buta tersebut berlainan agama, malah berterus­an mencerca, baginda sedikit pun tidak goyah kesabaran menangani­nya. Sekiranya kita diuji sedemikian, masihkah sanggup bertahan dengan hati yang tabah? Usahkan untuk bertolak-ansur dengan insan yang berlainan agama dan bangsa, kadangkala dengan ibu bapa sendiri pun tidak pernah disantuni dengan lembut. Malah amat menyedihkan lagi apabila terdapat anak yang menyisihkan ibu bapa sendiri dan ada yang tergamak membunuh mereka.

Umat Islam hilang keluhuran budi dan sikap saling bertoleransi antara satu sama lain sedangkan perkara ini menjadi tunggak kepada kesatuan sebuah masyarakat.

Ketamadunan sesebuah ma­sya­rakat juga dilihat daripada asas akhlak sejati yang dibina. Pembentukannya sudah pasti perlu bermula dengan mencontohi akhlak insan ulung yang ditonjolkan sepertimana yang dirakamkan dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Kehebatan akhlak Nabi SAW tiada tandingannya dengan manusia lain. Ini jelas dapat dilihat daripada kisah Saidatina Aisyah yang telah ditanya oleh seorang Badwi mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka beliau menjawab; “Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, meletakkan al-Quran dan Sunnah Nabi sebagai panduan hidup merupakan akhlak mahmudah bagi orang yang beriman dan bertakwa. Akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW merangkumi seluruh kehidupan yang dilalui oleh Baginda SAW seperti suka memaafkan, bertolak-ansur, sabar, adil, penuh kasih sayang dan rendah hati dalam semua perkara. Sudah pasti ini semua perlu menjadi pegangan yang menyeluruh bagi umat yang kehausan akhlak dan nilai Islam.

Sudah sampai masanya, ingat­an dan tanda cinta kepada Rasulullah SAW perlu terarah kepada mencontohi dan mengamalkan seboleh mungkin apa yang telah dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Respon seseorang terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling juga mesti berteraskan kepada pengajaran yang telah dibentuk melalui peribadi Baginda SAW walaupun pelbagai ujian melanda diri.

Refleksi diri dengan kisah-kisah yang menggambarkan kehidupan Rasulullah SAW akan menyentuh hati sanubari dan menyedarkan akan ketinggian serta keagungan peribadi kekasih Allah SWT.

Ketandusan akhlak umat manusia pada hari ini menyebabkan semakin jauh dari landasan Islam sebenar. Manusia hilang kasih sayang serta hidup bertuhankan nafsu semata-mata mengejar duniawi lantas tidak memikirkan kepentingan bersama dalam pembentukan sebuah pe­radaban. Keruntuhan akhlak umat manusia adalah kerana tidak meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai idola yang paling ideal untuk dicontohi. Maka, segala tindak-tanduk dalam kehidupan tidak berkiblatkan kepada apa yang telah digariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru, menjadi satu keperluan kepada kita yang menggalas tanggungjawab untuk mengaudit diri agar perjalanan kehidupan ini selari dengan apa yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah SAW. Keagungan peribadi Baginda SAW perlu menjadi ikutan. Masyarakat harus diperkasakan untuk membudayakan sifat-sifat mahmudah. Sifat-sifat ini menjadi batu asas kepada terbentuknya sebuah masyarakat yang bertamadun.

Sekiranya kita masih hanyut dan lena dengan sifat-sifat mazmumah, semakin hari semakin terpasak dalam jiwa sanubari masyarakat hari ini, dibimbangi bukan setakat mendatangkan keburukan tetapi juga mengundang kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu, tepat sekali sekiranya Rabiulawal yang sedang kita lalui sekarang menjadi satu titik tolak untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW seterusnya menerapkan akhlak Baginda SAW bukan setakat dalam diri bahkan juga orang yang terdekat dengan kita. Merefleksi diri dengan akhlak Rasulullah SAW perlu menjadi agenda utama bagi setiap muslim agar menjadi jalan kepada transformasi keseluruhan kehidupan kepada yang lebih baik dan diredai oleh Allah SWT.