Pendakwah bebas, Isfadiah Mohd. Dasuki menegaskan bahawa ibu bapa perlu mempunyai matlamat jelas tujuan perkahwinan, keinginan berkeluarga serta corak pendidikan terbaik yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka.

“Contohnya saya pernah bertemu seorang ibu yang mempunyai 10 orang anak dan kesemua mereka berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Kuncinya, dia mempunyai sasaran untuk dicapai oleh kesemua anak-anaknya sebelum berumur tujuh tahun iaitu mereka perlu pandai membaca al-Quran dan setiap hari menghafal 10 perbendaharaan kata Bahasa Arab.

“Berbeza dengan pasangan yang tidak mempunyai tujuan jelas dalam hidup. Kesannya adalah mereka akan membesarkan anak-anak berdasarkan kepada kehendak dan keseronokan hati semata-mata,” katanya.

ENGGAN AKUI KELEMAHAN

Tambah Isfadiah, rata-rata ibu bapa tidak akan menyalahkan anak mereka jika menonjolkan perangai tidak baik atau kurang sopan sebaliknya ia dianggap berlaku sedemikian rupa akibat terpengaruh dengan rakan sebaya.

“Contohnya seorang ibu mengeluh anaknya ketika kecil rajin menunaikan solat, puasa dan taat kepada ibu bapa, tetapi apabila meningkat remaja dan mula bergaul dengan ramai orang anaknya itu menunjukkan akhlak kurang sopan.

“Ibu bapa perlu menyediakan ilmu pergaulan kepada anak-anak sebelum mereka memasuki alam tersebut. Mereka juga perlu bersedia melayan anak mereka seperti kawan, namun dalam masa yang sama bersifat tegas,” katanya.

Jelas Isfadiah, Islam mengajar format dan kaedah terbaik untuk membentuk peribadi anak-anak mengikut akhlak Islam.

“Lengkapkan diri mereka dengan asas pendidikan akidah, ibadah, akhlak, membina reputasi, pendidikan seks dan pendidikan sosial. Sebaik-baiknya kesemua unsur ini diterapkan dalam diri mereka sebelum mencapai usia baligh,” katanya.

TERAPKAN SEMASA KECIL

Pendidikan akidah adalah perkara pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak sejak usia mereka masih kecil, jangan terlalu berat tetapi sesuaikannya dengan keupayaan mereka.

“Jangan terlalu berat seperti apa yang orang dewasa perlu tahu, tetapi cukup sekadar anak tersebut boleh merasa dan mengetahui Allah wujud dan sayang kepada dirinya.

“Contohnya terangkan kepada mereka Allah suruh menutup aurat bagi wanita kerana Allah sayang dan ingin kita menjaga maruah diri. Kena solat kerana Allah sayang kita dan ingin mengajar hamba-Nya menghargai serta menjaga masa,” katanya.

Tambah Isfadiah, ibadah berperanan menghubungkan jiwa seorang Muslim dengan Penciptanya. Ibadah yang perlu ditekankan pada usia ini cukup sekadar memberi kesedaran kepada mereka bahawa ia adalah jalan untuk menghubungkan mereka dengan Tuhan.

“Apabila anak-anak mulai faham fungsi pelaksanaan ibadah, ia turut meningkatkan perasaan mereka untuk mengadu kepada Allah sama ada ketika gembira atau berduka.

“Kesedaran yang wujud dalam diri itu akan menjadikan mereka hamba yang pandai mengucapkan terima kasih kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu membina reputasi dan kepercayaan anak-anak kepada mereka, sekali gus memudahkan mereka mematuhi apa sahaja perkara yang disampaikan walaupun tanpa pemantauan daripada kedua ibu bapa.

Katanya, sebelum kanak-kanak mencapai usia baligh dedahkan mereka tentang pendidikan seks seperti rangsangan seksual kanak-kanak berkembang mengikut faktor biologi.

“Pendidikan ini bukan disampaikan secara formal seperti kaedah pencegahan dan perancangan keluarga, tetapi jelaskan kepada mereka fungsi baligh bagi lelaki dan perempuan serta tanamkan perasaan malu dalam diri.

“Dedahkan juga kepada anak-anak perempuan bahawa manusia adalah spesies bermaruah. Oleh sebab itu mereka perlu menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Isfadiah berkata, budayakan amalan meminta izin untuk memasuki bilik tidur ibu bapa terutamanya pada tiga waktu penting iaitu Subuh, Zohor dan Isyak.

“Anak-anak sekarang bukan sahaja berpotensi untuk melihat aurat ibu atau bapa mereka di dalam bilik sahaja, malahan situasi itu dengan mudah ditonton di internet dan media sosial selagi mana gajet seperti telefon sentiasa bersama-sama dengan mereka,” katanya.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membimbing dan menerangkan perihal kebaikan dan keburukan penggunaan gajet kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat menjadikan ia sebagai rujukan ketika sedang berada di dalam talian.

“Bimbingan bukan sekadar cara untuk mereka memilih aktiviti dan permainan, malahan ajar mereka cara-cara untuk menundukkan pandangan apabila melihat iklan atau video yang memaparkan gambar tidak senonoh.

“Budaya ini perlu dilakukan berulang kali supaya ia menjadi penanda aras untuk mereka lakukan walau tanpa pemantauan dan ketika berseorangan,” jelasnya.

TERDEDAH

Apa yang merisaukan pada masa ini, anak-anak remaja sekarang lebih awal mengenali pelbagai aplikasi media sosial berbanding elemen akidah, akhlak dan ibadah mantap dalam diri mereka.

“Bukan menjadi satu kehairanan jika hari ini kanak-kanak yang berusia 11 tahun sudah mempunyai akaun Facebook dan Twitter kerana teknologi berkembang dengan begitu pantas.

“Padahal usia seperti ini jiwa anak kita belum menjadi matang tetapi kebanyakan ibu bapa sudah memberikan mereka gajet sekali gus mendedahkan mereka dengan media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan lain-lain,” katanya.