Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

7 Aktiviti mudah atasi stres

Posted by epondok di Disember 10, 2015


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Hidup ini ada kala amat menyesakkan dada. Sebagai manusia normal, tekanan adalah perkara biasa. Hanya manusia kurang normal yang mungkin tidak merasai tekanan. Namun begitu, bagaimanakah cara kita menghadapi tekanan?
Setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri menghadapi tekanan di tempat kerja, sekolah, dengan pasangan dan sebagainya. Perkara ini penting untuk membuatkan minda kita melupakan seketika segala kesukaran yang dihadapi, membantu kita bertenang dan memberi semula kekuatan untuk menghadapi tekanan (stres) itu.
Setiap orang mempunyai caranya yang tersendiri. Saya juga mempunyai cara tersendiri yang ingin dikongsi bersama pembaca sekalian.
1. Bersukan
Jika terlalu banyak ‘beban’ dalam kepala pada satu masa, saya mengambil masa untuk bermain badminton bersama teman. Dengan bersukan, ia membantu mengurangkan tekanan dengan banyak cara.
Bukan sahaja melepaskan endorfin dan membantu melancarkan peredaran darah, malah memberi saya ruang untuk berfikir dan mencari ilham. Malah saya seperti ‘terlupa’ sebentar perkara yang membebankan kepala ketika itu.
Selalunya saya meninggalkan rumah dengan kepala yang serabut, tetapi pulang semula ke rumah dengan penyelesaian kepada masalah sebelum itu. Oleh itu amalkan bersukan, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
2. Rehat dan tidur
Tidur yang cukup dan pada waktu yang ideal memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi emosi dalam kehidupan seharian kita.
Tidur yang cukup umpama mengecas tenaga kita sepenuhnya dan mengekalkan kestabilan emosi. Malah boleh menjadikan kita seorang yang optimis selain membuatkan kita segar selepas mendapat tidur yang cukup.
Saya mencadangkan anda supaya mengamalkan tidur seketika pada waktu siang iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. Malah ia adalah sunah yang diamalkan Baginda SAW. Tidur ini tidak lama, hanya sekitar 15 hingga 30 minit sahaja.
Mengikut kajian, satu minit Qailulah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita pada waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit Qailulah, ia mampu mengembalikan banyak tenaga kepada badan kita.
Namun, jika di pejabat dan waktu rehat kita adalah jam 1 hingga 2 petang, jangan pula tidur dengan alasan mahu mengamalkan sunah. Sebaliknya, ambil masa selepas makan tengah hari dengan bersandar di kerusi dan melelapkan mata sebentar.
Tetapi harus diingat, tidur berlebihan akan memberi impak yang kurang baik kepada anda dan mungkin menjadi lebih stres selepas itu.
3. Luangkan masa dengan keluarga dan sahabat
Meluangkan masa dengan sahabat dan keluarga akan ‘mencairkan’ masalah. Orang yang membawa kita kegembiraan mungkin tidak tahu tentang beban sebesar gunung yang kita tanggung apabila hanya duduk di meja dan bersandar merenung siling.
Ketawa, bercerita dan berkongsi tekanan yang kita hadapi ketika itu akan membuatkan kita lebih baik dan masalah akan lebih terkawal.
Jika kita masih mempunyai ibu dan ayah, lawatlah mereka. Jika tidak mampu, telefon mereka bertanya khabar. Insya-Allah, tiada apa yang lebih menenangkan dan mampu meleraikan keserabutan di kepala melainkan suara mereka yang tercinta.
4. Bersolat dan berdoa
Solat adalah antara perkara mudah yang sering dirasakan susah oleh sesetengah orang. Ia adalah cara paling mudah dan efisien untuk mengadu terus segala masalah kita yang sebesar gunung kepada Sang Pencipta.
Apabila kita bersolat, kita berhubung secara terus dengan Allah dan Allah mendengar segala perkara yang kita keluhkan. Pada ketika bersujud berdoalah bersungguh-sungguh kerana pada ketika sujudlah Allah paling hampir dengan kita.
Selesai solat, tarik nafas dan pejamkan mata. Kemudian berselawatlah dan beristighfar. Insya-Allah diberikan ketenangan.
5. Membaca al-Quran
Mulakan hari kita dengan membaca al-Quran. Sebaik-baiknya selepas solat Subuh, pada waktu pagi sebelum memulakan kerja.
Al-Quran adalah mukjizat yang terbesar, insya-Allah dengan membacanya pasti mampu melunakkan hati dan memberi ketenangan kepada sesiapa yang membacanya. Kita juga boleh mendengar bacaan ayat al-Quran di tempat kerja.
Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.
6. Bersedekah
Bersedekah adalah antara cara terbaik untuk kita bermuhasabah. Bersedekah mengajar kita untuk melihat kembali orang di bawah kita.
Ketika kita sering mengeluh tertekan dengan kerja dan sering membanding-bandingkan dengan orang lain di atas kita, bersedekah ‘memaksa’ kita untuk tunduk dan melihat orang lain.
Ketika kita tertekan, kita masih mempunyai wang untuk makan dan menguruskan diri. Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa meminta-minta hanya kerana untuk meneruskan kelangsungan hidup?
7. Berjalan-jalan melihat alam
Melangkahlah keluar rumah, hirup udara sedalamnya dan lihatlah langit. Nikmatilah bagaimana waktu matahari tenggelam. Anda pasti terpaku dan kagum dengam keindahan lukisan Allah.
Insya-Allah perkara ini akan lebih membuatkan kita mengingati Allah, kagum terhadap kekuasaan-Nya dan kita akan berasa bersyukur terhadap segala nikmat yang telah dilimpahkan.
Lama-kelamaan, rasa bersyukur dan takjub terhadap nikmat Allah ini akan membawa pergi rasa tekanan secara perlahan-lahan, jauh daripada kepala kita.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: