“Seorang lelaki (Abu Said al-Khudri r.a.) datang bertemu Rasulullah lalu berkata: Wahai Rasulullah aku bermimpi seakan aku sedang bersolat di belakang sebatang pokok kemudian aku bersujud, lalu pokok tersebut turut bersujud dan aku mendengar pokok itu berdoa “Ya Allah! Tuliskanlah bagiku dengan sujud ini pahala di sisi-Mu, dan hapuskan bagiku dengan sujud ini satu kesalahan, dan jadikan sujudku ini simpanan ganjaran di sisi-Mu dan terimalah ibadahku ini sebagaimana engkau menerima ibadah hamba-Mu Daud a.s.” Ibn ‘Abbas kemudiannya menyebut: Apabila Rasulullah membaca ayat yang mempunyai tanda sujud (tilawah), baginda akan bersujud dan membaca doa yang sama dibaca oleh pokok tersebut.” – Sunan al-Tirmizi, Sunan Ibn Majah.

Pada mata zahir kita, pokok adalah makhluk Allah yang beku dan tidak berjiwa. Lain pula kata Allah, pokok adalah antara makhluk-Nya yang sangat patuh dan sentiasa bersujud kepada Allah dalam bahasanya tersendiri:

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu dan binatang-binatang serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.” (al-Hajj [22:18]).

Mengapa agaknya nama nabi Daud menjadi sebutan doa si pokok dalam mimpi di atas? Pastinya ibadah baginda begitu istimewa sehingga mendapat pengiktirafan makhluk beku seperti si pokok. Rupanya ketekunan nabi Daud dalam ibadat dipuji secara khusus oleh Allah:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia daripada Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya; (Serta Kami wahyukan kepadanya): Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (Wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”. (Saba [34.10]

Ia juga diiktiraf oleh Rasulullah SAW dalam banyak sabda baginda. Pengiktirafan ini tidak lain bertujuan menggalakkan umat baginda agar mencontohi nabi Daud:

“Ibadah puasa yang paling disukai Allah adalah puasa nabi Daud, baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dan solat yang paling disukai Allah juga adalah solat nabi Daud, baginda tidur setengah malam kemudian bangun bersolat pada sepertiga malam dan tidur kembali pada satu per enam yang berbaki.” – Sahih Bukhari, Muslim.

Bukan setakat kualiti ibadat, kehebatan doa nabi Daud turut dipuji oleh Rasulullah:

“Antara doa nabi Daud adalah: “Ya Allah! Aku mohon cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu dan amalan yang boleh menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah! Jadikan cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan daripada “air yang sangat sejuk.” Abu Darda’ juga menyebut: “Setiap kali menyebut perihal nabi Daud, Rasulullah SAW akan mengatakan bahawa baginda (nabi Daud) adalah manusia yang paling kuat beribadat (pada zamannya).” – Sunan al-Tirmizi.

Tambah manis, ketekunan tersebut turut menjadi budaya rumah tangga nabi Daud:

“(Setelah itu kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Saba’[34:13]).

Ketekunan dan kerajinan ibadat baginda a.s. dan keluarganya tidak lain bertujuan menjiwai rasa syukur atas segala nikmat kurniaan Allah kepada mereka. Marilah kita sama-sama mencontohi dan merindui kerajinan ibadah yang dipamerkan oleh nabi Daud dan ahli keluarganya. Siapa tahu cinta kita itu bakal menjadi sebab kita dikumpulkan bersama mereka di akhirat kelak:

“Anas bin Malik menceritakan (pada suatu hari) seorang lelaki bertanya kepada baginda SAW bilakah tarikh berlakunya kiamat. Baginda menyoalnya: “Apakah yang engkau sediakan untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab: “ Aku tidak bersedia untuknya dengan banyak melakukan solat, puasa atau sedekah, akan tetapi aku sangat sayangkan Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, engkau pasti akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.” – Sahih Bukhari, Muslim