Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pendakwah perlu berilmu, bukan berasaskan populariti

Posted by epondok di Disember 7, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail
PROGRAM keagamaan di stesen penyiaran sewajarnya tidak ambil mudah dalam melahirkan pendakwah.
PENYEBARAN sesuatu ilmu diasaskan oleh kefahaman pengetahuan mendalam, akhlak mulia dan adab tinggi yang disampaikan akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT, baik guru yang menyampaikan ilmu atau pun murid yang menerima ilmu itu.
Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menyatakan, Mukmin yang menyampaikan dakwah atau ilmu perlu memastikan dirinya dipandu oleh bimbingan guru yang boleh membawanya menjadi seorang pendakwah.
Ulama mengingatkan umat Islam terutama mereka yang bertanggungjawab menyampaikan dakwah supaya sentiasa menuntut ilmu agama dengan guru yang alim supaya memperoleh keberkatan dalam ilmu yang dipelajari. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan kepada dirinya, Allah akan berikan kefahaman agama kepadanya.”
Justeru, tuntutlah ilmu daripada guru yang boleh membimbing kita menjadi penghuni syurga Allah SWT. Ilmu yang dituntut tanpa bimbingan guru, dibimbangi akan memesongkan kefahaman serta membina salah faham terhadap perkara yang disampaikan. Adab tuntut ilmu Menuntut ilmu wajib mendapat panduan dan bimbingan daripada guru supaya dapat berbincang dan menekuni adab menuntut ilmu.
Tokoh pendakwah yang warak dan alim mengambil masa panjang dalam pengajian sesuatu ilmu dan sebahagian waktu mereka mempelajari mengenai adab menuntut ilmu kerana mahu mendapatkan keberkatan, menghormati guru serta ilmu. Mengambil pesanan daripada salafusoleh terhadap niat menyampaikan sesuatu kebaikan, niat yang baik sahaja tidak akan boleh membawa seseorang kepada kebaikan jika tidak disertakan dengan perbuatan baik yang seiring dengan perkara diniatkan. Niat baik diiringi dengan perbuatan baik akan membawa seseorang Mukmin itu menjadi insan tinggi takwanya di sisi Allah SWT, bahkan inilah golongan pendakwah atau penyampai ilmu yang membawa manusia lain ke arah hidayah yang akan menghuni syurga Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Mereka yang menunjukkan kepada kebaikan, bererti kebaikan itu juga akan diperolehnya.”
Mohd Nazrul juga mengingatkan mereka yang berada di medan dakwah menuntut ilmu agama secara berguru sebelum disampaikan kepada orang lain. Golongan pendakwah perlu sedar kepentingan pengajian ilmu secara lebih mendalam supaya tidak menjadi penyampai ilmu yang membawa ajaran salah.
Sheikh Abdul Wahab Sha’rani melalui kitab Lawaqih al-Anwar, melalui bab ikhlas menyebut, keikhlasan yang dilakukan seseorang hendaklah mendapat bimbingan daripada guru. Seseorang yang mahu melakukan sedekah sekalipun mesti mendapatkan bimbingan daripada seorang guru. Ini jelas menunjukkan pentingnya seseorang Mukmin itu menuntut ilmu secara tersusun dan teratur supaya ilmu itu benar-benar memberi kefahaman mendalam dan tidak mendatangkan kekeliruan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah az-Zumar, ayat 9)
Mohd Nazrul berkata, dalam dunia serba canggih dan pantas, ramai mendapat maklumat atau ilmu menerusi laman sosial di internet. Baik mereka yang berkongsi ilmu atau yang menelaah, perlu ada batasan dan panduan daripada ilmuwan agama kerana bimbang maklumat dikongsikan itu tidak tepat. Perkara ini amat membimbangkan kerana jika tersilap langkah boleh menjunam seseorang Mukmin ke neraka jahanam. Begitu juga mereka yang menganjurkan program keagamaan di stesen penyiaran supaya tidak mengambil mudah perkara itu. Ikhlas didik ummah Pendakwah haruslah memiliki ilmu yang tinggi dan mendalam, bukan diasaskan oleh populariti yang dicipta dengan tujuan lain.
Pendakwah yang baik faqih dalam ilmu, ikhlas pekerjaannya untuk mendidik ummah dan mempunyai niat memajukan ummah dengan kebijaksanaan ilmu yang tinggi. Jika pendakwah turut dijadikan sebagai bahan hiburan atau modal publisiti bagi meraih keuntungan pihak tertentu, nescaya lama kelamaan golongan agamawan yang sepatutnya bertindak sebagai pembawa obor ilmu hanya menjadi bahan gelak ketawa mereka yang membenci Islam. Pendakwah perlu ada kesedaran dan kematangan menyampaikan dakwah kerana mempelajari perkara yang bersifat teknikal semata-mata tidak akan meninggalkan kesan.
Ilmu agama yang jitu, kefahaman tinggi, ikhlas dan takwa kepada ajaran Allah SWT akan melahirkan insan benar-benar menuruti perintah-Nya. Ilmu yang bermanfaat membuat seseorang Mukmin mengenal Rabbnya. Ilmu bermanfaat bukan untuk menyombong atau membanggakan diri, tetapi sebagai ketaatan kepada perintah Allah SWT dan menyahut seruan Nabi Muhmmad SAW menyampaikan ilmu walau hanya dengan sepotong ayat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: