Banyakkan berdoa demi cinta kita kepada-Nya, agar cinta kita tetap dan teguh hanya kepada-Nya, di samping hidup kita sentiasa bermanfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling kita yang memerlukan bantuan kita. Hayatilah doa qunut yang kita baca pada setiap kali kita menunaikan solat subuh, yang antaranya bermaksud, “Ya Allah berikan hidayah kepadaku sebagaimana orang yang engkau telah berikan hidayah, sihatlah aku sebagaimana orang yang telah engkau sihatkan, pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah engkau pimpin.”

Tanda Allah memberi kebaikan kepada seseorang adalah, apabila kita suka melakukan kebaikan serta ringan hati dan tubuh badan untuk melakukan ibadah, hingga sanggup meninggalkan segala perkara dan pekerjaan mungkar. Jom audit diri kita, dan lihat apa yang kita fikir pada setiap saat, adakah untuk berbuat baik atau berbuat jahat? Ubah cara kita melihat diri kita dengan menggunakan imaginasi dan mata hati kita, insya-Allah kita boleh berubah ke arah kebaikan dengan mudah dan istiqamah. Sentiasa menjaga hati kita, agar kita tidak berasa kita lebih baik daripada sesiapa pun di dunia ini dan kita tidak menghina sesiapa pun. Semoga tidak ada sifat kepura-puraan dalam hidup kita, dan menolong orang menjadi cara hidup kita dan nilai keluarga kita. Kesombongan bukan keperibadian milik diri kita.

Sentiasalah berdoa dengan doa ini untuk mendapat keperibadian diri yang baik dan positif. “Ya Allah, janganlah kelebihan yang kami ada itu menjadikan kami sombong. Lindungi kami daripada sombong dan takbur. Ampuni kami jika kami riak dan menunjuk-nunjuk. Kami mohon ikhlas dan kerendahan hati. Jadikan kami hamba yang hidup memberikan manfaat sebanyak-banyaknya. Pilihlah kami, untuk mencukupkan kepada hamba-Mu yang fakir dan miskin. Pilihlah kami untuk memberikan kebahagiaan kepada hamba-Mu yang nestapa. Pilihlah kami untuk memberikan cahaya kepada hamba-Mu yang berada dalam kegelapan. Pilihlah kami untuk menjadi jalan pelindung-Mu kepada hamba-Mu yang teraniaya. Pilihlah kami menjadi hamba-Mu yang sentiasa berfanfaat.” Kata-kata adalah doa, sama ada kata-kata yang terbit dari mulut, kata-kata yang terdetik di hati, atau kata-kata yang berlegar-legar dalam fikiran, semuanya menjadi doa yang akan memberikan kesan kepada kehidupan kita.

Sesungguhnya kita tidak boleh mengubah fikiran kita, jika kita tidak menjaga fikiran kita. Undang-undang berfikir – “jika kita tahu apa yang kita fikir dan percaya, hal itu akan berlaku dalam kehidupan kita.” Maka itu, Katakanlah selalu kepada diri kita, “Hanya hal-hal berkaitan kebaikan sahaja yang akan datang kepada kita.” Tetapi, jika berlaku juga perkara negatif dalam hidup kita, kita kena terima hakikat bahawa, “Tidak kira apa-apa pun yang berlaku, semuanya baik untuk kita” kerana takdir hidup kita dalam genggaman Allah. Dalam melakukan perubahan diri yang perlu dijaga ialah hati kita, kerana “dunia dalaman” menggambarkan “dunia luaran” kita.

Bagaimanakah cara kita hendak berubah daripada hati yang “keladak” kepada hati yang “jernih”? Setiap orang perlu ada “jurnal kehidupan”. Iaitu, setiap hari kita catat emosi kita, sama ada kita berada dalam keadaan positif atau negatif. Dengan cara ini kita menjadi pemerhati; lihat diri dan betulkan diri, bukan asyik melihat kesilapan dan kekurangan orang, seperti kata peri bahasa Melayu, “Bersihkan halaman sendiri dahulu, baru bersihkan halaman orang.” Sibukkan diri memperbetulkan keaiban diri hingga kita tidak sempat nampak keaiban orang.

Meneliti diri

Ingatlah setiap kali kita bercakap atau menulis/menaip negatif tentang orang lain, maka kita sebenarnya telah berfikir negatif. Hormon negatif akan dikeluarkan kepada orang yang bertabiat buruk ini dan tubuh kita akan mendapat kesan buruknya. Apabila kita sebut tidak baik tentang orang lain, ini menunjukkan fokus hidup kita melihat orang lain lebih daripada melihat/meneliti diri sendiri. Apa-apa sahaja yang kita lakukan yakin setiap saat Allah melihat. Orang yang mendapat hidayah Allah tidak akan marah dan kecewa dengan sikap orang lain, mereka tidak akan mengutuk keburukan diri orang lain, biarpun ternyata benar-benar buruk sikap dan perbuatan orang tersebut.

Orang yang mendapat hidayah Allah menerima segala perkara yang tidak disukai itu sebagai ujian Allah untuk menguji kesabaran dan keimanan. Mereka menukarkan rasa negatif, (cemuhan dan kutukan) itu kepada rasa positif, (kasihan atas kejahilan orang tersebut dan mendoakan agar orang yang berkelakuan dan bersikap negatif) itu berubah dan sedar akan kesilapannya.

Jika kita hendak mendapat rahmat daripada Allah, tolong bagi rahmat kepada orang. Setiap hari buat empat tip untuk berubah menjadi orang baik. Pertama, hormat semua makhluk Allah. Kedua, fikir apa yang boleh saya beri, bukan apa yang saya boleh dapat; konsep “ada – beri – dapat”, iaitu jika dalam diri kita ada kebaikan, kita akan dapat kembali kebaikan, sama ada daripada orang sekeliling kita atau kebaikan daripada Allah. Ketiga, jangan sibuk hendak mengubah orang, tetapi sibuklah mengubah diri sendiri, agar sentiasa menjadi lebih baik di sisi Allah. Keempat, tolong bermurah hati. Suka tolong orang hingga orang tidak boleh balas balik kebaikan kita, kerana pertolongan kita itu, dengan niat ikhlas kerana Allah.

Demikianlah hakikat hidup ini, “Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah”. Ingatlah bahawa, “Hiduplah di dunia ini sebagai destinasi untuk memberi dan hiduplah di akhirat sebagai tempat untuk menerima. Kekuatan yang paling utama dalam hidup ini adalah istiqamah (konsisten) tegap dan teguh. Ia adalah nyawa dan paksi kepada kehidupan di dunia. Tanpa istiqamah maka hilanglah nilai sebuah kehidupan.

Maka beristiqamahlah kita dalam mencari ilmu, beristiqamahlah dalam mengamalkan ilmu, beristiqamah dalam beramal dengan amal soleh. Istiqamah dalam meninggalkan maksiat, istiqamah dalam menyokong perjuangan Islam, istiqamah dalam menolak dan membenci kejahatan dan kemaksiatan dan sebagainya.

Istiqamah dalam Islam adalah pelengkap kepada sebuah kehidupan yang diredai oleh Allah. Bermohonlah kepada Allah moga kita sentiasa istiqamah dalam ibadah supaya kita mendapat hidayah yang kekal daripada Allah SWT. Jom berdoa kepada Allah setiap hari supaya hati kita lembut dan suka kepada kebaikan, mudah melihat kelemahan diri sendiri dan ingin mengubah dalaman kita untuk mengubah dunia luaran serta hasil kehidupan kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”