Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2015

Daurah Ilmiah Kitab Hikam 2016 bersama Tuan Guru Hj Ismail Sepanjang Fathoni

Posted by epondok di Disember 30, 2015

Dijemput muslimin dan muslimat untuk menghadiri Daurah Ilmiah Kitab Hikam 2016  bersama Tuan Guru Hj Ismail Sepanjang Fathoni  di Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, Kuala Terengganu bermula jam 3 petang 4 hingga 6 Januari 2016. Penempatan dan makan minum disediakan secara percuma kepada semua peserta. Maklumat lanjut hubungi saudara Yusri Kasmidim 017-7911870 atau layari al-bakriah.com.my

 

Aturcara daurah

 

Tarikh Masa Aturcara
 

Isnin

 

4 Januari 2016

3.00 – 7.00 PM

7.00 – 8.30 PM

 

 

 

8.30 – 9.00 PM

 

9.00 – 10.30 PM

10.30 PM

– Pendaftaran peserta Daurah

– Solat Maghrib

– Ratib Al Hadad

– Maulid Diya Ulami

 

– Solat Isya’

 

– Daurah Sesi 1

– Makan malam

 

 

 

 

 

Selasa

 

5 Januari 2016

6.00 – 7.00 AM

8.00 AM

 

 

9.30 – 11.30 AM

1.00 – 2.30 PM

 

2.30 – 4.30 PM

4.30 – 5.30 PM

 

 

7.00 – 8.00 PM

 

 

8.00 – 10.30 PM

 

 

10.30 PM

– Solat Subuh

– Wirdu Al Latif

– Sarapan Pagi

 

– Daurah Sesi 2

– Solat Zuhur

 

– Daurah Sesi 3

– Solat Asar

– Minum Petang

 

– Solat Maghrib

– Ratib Al Hadad

 

– Daurah Sesi 4

– Solat Isya

 

– Makan Malam

 

 

 

 

 

Rabu

 

6 Januari 2016

6.00 – 7.00 AM

8.00 AM

 

 

9.30 – 11.30 AM

1.00 – 2.30 PM

 

2.30 – 4.30 PM

4.30 – 5.30 PM

 

 

7.00 – 8.00 PM

 

 

8.00 – 10.30 PM

 

 

10.30 PM

– Solat Subuh

– Wirdu Al Latif

– Sarapan Pagi

 

– Daurah Sesi 5

– Solat Zuhur

 

– Daurah Sesi 6

– Solat Asar

– Minum Petang

 

– Solat Maghrib

– Ratib Al Hadad

 

– Daurah Sesi 7 dan Penutup

– Solat Isya

 

– Makan Malam

 

# Peserta tidak dikenakan bayaran dan makan minum peserta serta tempat rehat disediakan oleh pihak penganjur

 

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Sifat terpuji Rasulullah s.a.w sebagai rujukan

Posted by epondok di Disember 29, 2015

ROKIAH ISMAIL

MAULIDUR Rasul atau hari keputeraan Nabi Muhammad SAW  bukanlah satu acara tahunan yang biasanya akan dilupakan sehinggalah tarikh yang sama muncul pada tahun seterusnya. Perkara yang penting daripada Maulidur Rasul adalah bagaimana untuk membawa tumpuan khalayak menghayati keperibadian Nabi junjungan sekalian umat Islam.

Dalam keadaan krisis untuk mencari tokoh atau ikon, amat tepat sekali Nabi Muhammad SAW dijadikan rujukan untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap agama melalui sifat-sifat yang dimiliki oleh baginda. Nabi Muhammad bukanlah Man of the Year tetapi pemimpin unggul sepanjang zaman.

Tiada tokoh dalam kalangan manusia yang sehebat Nabi Muhammad SAW daripada segala sudut; pemikiran, kepimpinan dan tingkah laku yang terpuji waima ketika berdepan dengan musuh yang mahu menghapuskan baginda. Dalam keadaan mutakhir ini di mana kita sering berhadapan dengan krisis lunturnya sifat-sifat terpuji dalam kalangan sesetengah pemimpin dunia Islam, Nabi Muhammad wajib ditonjolkan sebagai petunjuk dan rujukan untuk memandu ke jalan yang diredai Allah.

Wujudnya Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan pemimpin Barat membuktikan pemimpin-pemimpin di dunia Islam gagal menonjolkan pemikiran dan sifat-sifat menjunjung keamanan dan kedamaian yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW. Walhal Islam mempunyai pemimpin yang bukan sahaja hebat tetapi berpekerti mulia, sifat yang tidak ada pada pemimpin Barat yang sentiasa memusuhi Islam.

Justeru, antara tugas pemimpin Islam semasa sepatutnya mengalih tumpuan Barat yang sering merujuk Islam daripada perspektif pemimpin ekstrem kumpulan militan Negara Islam (IS). Malangnya, sesetengah pemimpin Islam sendiri tidak menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan.

Sifat dan sikap sesetengah pemimpin Islam yang menindas rakyat demi kelangsungan kuasa sangat jauh menyimpang daripada ajaran Nabi Muhammad SAW.

Oleh kerana wujud sesetengah pemimpin Islam sendiri yang tidak mengikut lunas kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentulah wujud pandangan serong dalam kalangan bukan Islam terhadap pemimpin Islam. Hal-hal yang seperti inilah yang membuktikan bahawa memahami dan menghayati sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebenarnya jauh lebih penting berbanding hanya sambutan besar-besaran pada setiap kali ulang tahun keputeraan baginda.

Ini kerana rahsia mewujudkan keamanan dunia ada terkandung dalam sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Dengan memiliki kualiti umat Islam yang menghayati peribadi mulia junjungan Islam itu serta dalam kalangan pemimpin yang mencontohi ketegasan, keberanian dan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW, Islam mampu muncul sebagai pencetus keamanan sejagat.

Pada masa sama, Barat tidak boleh lagi dengan sengaja berselindung di sebalik kenaifan memahami Islam sebagai prasyarat untuk melabelkan Islam dan pemimpinnya sebagai pengganas dan bukan pendamai. Barat perlu mengakui bahawa mereka sengaja memilih untuk menjadikan segelintir umat Islam yang tidak mengikut sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan menyeluruh terhadap Islam.

Cendekiawan dan pemimpin Islam wajib bangun menangkis persepsi Barat yang serong dan salah sama sekali terhadap Islam dengan kembali menonjolkan sifat-sifat terpuji dalam kepimpinan mereka, yakni menjunjung tinggi sifat amanah dalam semua aspek sama ada kehidupan seharian atau kepimpinan.

Biarpun ramai daripada mereka sudah jauh daripada kriteria pemimpin Islam, sebagai umat Islam yang sentiasa positif, kita perlu yakin bahawa masih ada pemimpin berjiwa Islam yang belum muncul membela Islam yang sedang diperkotak-katikkan dewasa ini. Tidak mustahil pemimpin berperibadi mulia seperti Sultan Muhammad al-Fateh pada era Empayar Uthmanniyyah akan lahir sekiranya sifat kepimpinan terutamanya amanah (integriti) Rasullullah SAW diamalkan para pemimpin.

Ini bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa sifat amanah adalah penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara. Sebaliknya, sifat berlawanannya pula boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang melemahkan sesuatu pemerintahan sehingga memudahkan kerja-kerja musuh dari luar.

Titah baginda lagi pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh, amanah bererti boleh dipercayai, bermakna jika sesuatu urusan itu dipertanggungjawabkan kepada seseorang, wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Titah baginda yang membawa khalayak menoleh kebesaran Islam dan Nabi Muhammad SAW seharusnya dihayati, difahami dan diamalkan dalam konteks sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya sebagai pemimpin di unit atau bahagian dalam organisasi.

Amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas adalah antara sifat terpuji Nabi Muhammad SAW yang semestinya menjadi pegangan setiap pemimpin Islam kerana amanah adalah penanda aras dalam sesebuah kepimpinan, apa lagi dalam masyarakat Islam.

Nabi Muhammad SAW juga ialah contoh pemimpin unggul yang telah berjaya membina tamadun agung, memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam akhirat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Suburkan jiwa sayang Rasulullah dalam keluarga

Posted by epondok di Disember 28, 2015

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW antara bukti kecintaan umat kepada Rasulullah.
Cinta adalah ungkapan yang sering diucapkan. Kalimah cinta menggambarkan perasaan sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang sama ada antara suami dan isteri; ibu dan anak; sesama kaum keluarga serta kaum kerabat. Cinta itu bukan sekadar tumbuh subur di dalam jiwa bahkan suatu tindak tanduk yang dapat diukur melalui tingkah laku seseorang. Sebagai Muslim, kita tidak dapat lari daripada membicarakan perasaan kasih dan sayang kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya Nabi Muhammad SAW. Baginda diutuskan kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar melalui tunjuk ajar dan tindak tanduknya. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31)
Mari kita renungkan sifat cinta Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda dikurniakan Allah SWT sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Tanda cinta Nabi SAW dapat dilihat dari sikap prihatinnya terhadap umatnya di padang Mahsyar kelak.
Rasulullah utama umat
Tatkala manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT terhadap setiap amalan, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan daripada seksa api neraka. Baginda bukan risaukan isteri, keluarga, kaum kerabat, sahabat, tetapi amat risaukan umatnya. Persoalannya, apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian? Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi umat Muhammad SAW yang sempurna ialah tanamkan perasaan cinta dan kasih yang begitu ikhlas dan tinggi kepada Nabi SAW. Perasaan ini perlu dipupuk dan disuburkan dalam jiwa kita serta ahli keluarga sepanjang masa melebihi segala-galanya. Jika rasa cinta pada Nabi SAW tidak subur dalam jiwa, maka ini menyebabkan kita tiada usaha dan semangat menghayati dan mencontohi cara hidup baginda dalam kehidupan seharian. Ini yang ditegaskan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas bin Malik: “Tidak (sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari bapanya, anaknya dan semua manusia lainnya.”
Sanggup mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara fizikal atau kata-kata. Umat yang cintakan Nabi SAW akan sanggup mempertahankan kemuliaan Nabinya daripada difitnah.
Contohilah Zaid bin Harithah yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi SAW daripada dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah terhadap masyarakat di bandar itu.
Hayatilah cintanya sahabat seperti Talhah bin Ubaidillah dan Abu Dujanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi SAW daripada terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud.
Sanggupkah kita mempertahankan kemuliaan Nabi SAW dan ajarannya dengan fizikal dan lidah seperti mana dilakukan oleh sahabat Baginda. Mempertahankan sunah Nabi Muhammad SAW. Umat yang cintakan Nabi SAW sanggup mempertahankan sunah nabinya. Mereka menjadikan cara kehidupan seharian Baginda sebagai ikutan dan cara hidup. Mereka sanggup memperjuangkan semua bentuk ajaran rasulnya bahkan berusaha keras membanteras segala larangan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa juga yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasyr, ayat 7)
Selawat bukti kecintaan
Sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad SAW antara bukti kecintaan kita kepada Nabi SAW. Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.”
Sayangnya, jika diperhatikan kehidupan setengah golongan masyarakat Islam hari ini, mereka lebih seronok dan bangga menjadikan artis, selebriti, ahli sukan serta tokoh tertentu sebagai contoh ikutan yang digilai. Mereka sanggup membelanjakan wang ringgit, mengorbankan tenaga dan masa untuk menghayati gaya hidup idola mereka. Mereka lahirkan rasa cinta dengan mencari maklumat berkaitan ikutan mereka seolah-olah itulah gaya kehidupan mereka yang sebenar.
Pada waktu yang sama, terdapat pula setengah golongan masyarakat Islam mempertikaikan kemuliaan dan perjuangan Nabi SAW. Mereka mempertikai kedudukan hadis malah ada yang menolaknya.
Kini tibalah masanya kita sebagai umat Islam menukar arah dan pandangan hidup ke arah mencontohi cara hidup Nabi Muhammad SAW. Marilah kita jadikan Nabi SAW sebagai ikutan dalam kehidupan, tanamkan sifat cinta kepada Baginda kerana umat yang kasih pada nabinya akan taat arahan Allah dan rasul-Nya serta sentiasa menjauhi larangan-Nya. Kesempurnaan iman seseorang itu bergantung kepada sejauh mana cintanya kepada Rasulullah SAW dan mengamalkan segala sunahnya. Umat yang cintakan nabinya bukan sekadar melalui ungkapan kata-kata, bahkan sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hayati semangat Maulidurrasul s.a.w

Posted by epondok di Disember 26, 2015

Mastura Mohd. Zain

 

ALHAMDULILLAH kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Cinta baginda te­lah pun mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1400 tahun dahulu sehingga membuatkan kekasih Allah ini terlalu istimewa untuk umatnya.

Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal bertujuan memperingati kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini.

Allah SWT berfirman: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam” – (Surah al-Anbiya’, ayat 107).

Kelahiran (Maulid) Nabi adalah sebesar-besar rahmat Allah kepada alam dan manusia keseluruhannya. Rahmat ini ada dalam akidah, muamalah, akhlak, malah dalam semua bidang kehidupan.

Rahmat ini tidak hanya terbatas untuk manusia pada zaman baginda sahaja, tetapi meluas ke sepanjang sejarah manusia seluruhnya. Memperingati, menyambut, merayakan dan membesarkan Maulidur Rasul adalah amal yang menjadi salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah di samping meluahkan ungkapan kebahagiaan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah SAW adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya dan anaknya serta manusia keseluruhannya.”

Tidak hairanlah sambutan ini diadakan saban tahun kerana ketika ini peluang dakwah juga dapat dimaksimumkan terutamanya ketika menyambut Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul semestinya menyasarkan objektif untuk mengajarkan mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang alpa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta memperbetulkan mereka yang tersasar daripada kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.

Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Ini juga adalah intipati dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.

Golongan muda khususnya, harus didedahkan dengan keistimewaan dan kepentingan menyambut dan menghayati sambutan Maulidur Rasul agar ia tidak akan menjadi hanya satu budaya semata-mata.

Mereka sepatutnya menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW untuk lebih mengenali dan mencintai kekasih agung Nabi Muhammad SAW agar kita dapat menjadi penyambung risalah nabi untuk ummah ini.

Rahmat yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya adalah rahmat kehadiran Rasulullah. Imam As-Suyuthi memberi pendapat tentang perayaan Maulidur Rasul di dalam Al-Hawi li al-Fatawa dengan katanya:

“Menurutku, asal perayaan Mau­lid Nabi, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Muhammad sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan baginda, menampakkan kesukaan dan kegembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya berbalah tentang sambutan Maulidur Rasul kerana ia sememangnya perkara yang baik untuk dilakukan. Janganlah kita hanya tertumpu kepada perkara remeh-temeh yang bakal merugikan umat Islam sendiri.

Bagaimanapun, melahirkan rasa cinta kepada baginda Nabi SAW bukan hanya berarak dengan membawa sepanduk semata-mata. Sepatutnya lebih daripada itu hendaklah dengan menghayati semangat dan roh di sebalik sambutannya.

Maka, selaku kita yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik.

Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam segenap aspek agar kehidupan kita akan diberkati dunia dan akhirat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

4 cara berpeluang berdamping dengan Rasulullah

Posted by epondok di Disember 25, 2015

Oleh Burhanuddin Jalal
Orang Mukmin yang berselawat mendapat rahmat Allah SWT.
Jarak masa peninggalan Nabi Muhammad SAW dengan umatnya sehingga kini sudah menjangkau 15 abad lamanya. Namun, berdasarkan beberapa hadis, Baginda masih memberi ruang kepada seluruh umatnya untuk berdamping dengan Baginda di hari kiamat kelak jika umatnya mampu melaksanakan sunah ditinggalkan.
Berdasarkan hadis Nabi, terdapat empat perkara yang digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi meraih kedudukan bersama Baginda pada Hari Kiamat antaranya sentiasa memperbanyakkan selawat kepada Baginda. Membaca selawat kepada Nabi satu amalan yang amat istimewa. Banyak sekali bentuk selawat dan pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk melafazkan selawat termasuk dengan cara berlagu atau bernasyid seperti dilakukan pada masa kini. Unjuran atau galakan berselawat telah difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)
Selain itu terdapat juga sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang berselawat kepadaku satu kali selawat dengan penuh ikhlas dari hatinya, maka ia akan mendapat empat keistimewaan pada orang itu iaitu Allah SWT akan memberikan sepuluh rahmat, Allah SWT akan mengangkat darjatnya hingga sepuluh darjat, malaikat akan menuliskan sepuluh kebaikan untuknya dan Allah akan menghapus sepuluh dosa keburukannya.” (Riwayat Bukhari, Nasa’i dan al-Bazzar)
Kedua, memelihara dan mengasihi anak yatim dengan melakukan kebaikan serta pertolongan memenuhi keperluan mereka yang merangkumi aspek jiwa, soal hati, kasih sayang juga masa depan mereka. Mereka yang terbabit menguruskan organisasi anak yatim perlu melakukannya secara ikhlas dan tulus. Semua itu amal ibadah yang penuh keberkatan jika dilakukan secara jujur, ikhlas dan amanah. Hindarkan diri menjadikan organisasi anak yatim sebagai tempat untuk mendapatkan harta atau imbuhan dengan cara mudah. Mengurus anak yatim dengan cara yang terbaik menepati sunah Rasulullah SAW dan ganjarannya akan bersama Nabi pada akhirat kelak. Sabda Baginda SAW: “Aku dan orang yang mengurus anak yatim akan duduk di syurga bagaikan ini (Baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah lalu merenggangkannya).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Ketiga, menjadi pemimpin yang amanah, benar serta bijaksana. Perlu kita sedari bahawa setiap kita adalah pemimpin kepada diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri ataupun negara. Sehubungan itu, kita perlu melaksanakan tugas sebagai pemimpin dengan kaedah yang terbaik mengikut sunah Rasulullah SAW.
Ketika Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah, beliau menjemput beberapa ulama bertemu dengannya untuk mendapatkan nasihat. Salah seorang ulama yang datang adalah Hassan al-Basri dan tokoh ulama itu memberikan nasihat: “Anggaplah rakyat seperti ayahmu, saudaramu, dan anak-anakmu. Berbaktilah kepada mereka seperti engkau berbakti pada ayahmu, peliharalah hubungan baik dengan mereka seperti dengan saudaramu, dan sayangilah mereka seperti engkau menyayangi anak-anakmu.”
Contohi kepemimpinan Umar
Menyentuh aspek kepemimpinan Umar bin Abdul Aziz sebagai pemimpin dan khalifah umat Islam, beliau pernah melintasi bangunan Baitulmal kerajaannya, tetapi beliau menutup hidungnya sedangkan bangunan itu berbau wangi. Melihat keadaan itu, seorang pegawai yang bersamanya hairan dan bertanya: “Mengapa khalifah menutup hidung sedangkan kawasan ini berbau wangi? Umar Abdul Aziz menjawab: Aku tidak mahu memakan harta rakyatku, walaupun sedikit, walau hanya dengan menghidu bau harum ini.”
Berdasarkan kisah itu, perlu wujud kesedaran dalam kalangan pemimpin pada setiap peringkat untuk bersikap adil, amanah, jujur dan menguruskan organisasi serta masyarakat dengan sempurna. Jika ini dapat dilakukan ia menepati sunah Nabi, masyarakat sejahtera dan negara makmur dan mendapat keberkatan Allah SWT.
Keempat, memiliki akhlak mulia untuk membolehkan diri kita berdamping dengan Nabi di syurga kelak. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Iman Baihaqi dan Ibnu Asakir: “Orang yang paling aku cintai dan yang paling dekat denganku kedudukannya di syurga adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling aku benci adalah orang yang pemarah, sombong, dan takbur.”
Dicatatkan dalam kitab Kanzul Ummal, Nabi Muhammad SAW memerintahkan Ali bin Abi Thalib untuk memenggal tujuh tawanan yang ditangkap oleh pasukan Islam. Tidak lama kemudian, datanglah Malaikat Jibril menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: “Wahai Muhammad, penggallah leher semua yang enam, tetapi jangan penggal leher yang ini. Nabi Muhammad SAW bertanya: Wahai Jibril, mengapa? Jibril menjawab: Dia orang yang berakhlak baik, dermawan dan selalu memberi makanan kepada orang lain. Rasulullah bertanya: Wahai Jibril, apakah ini datang darimu atau Tuhanmu? Jibril berkata: Tuhanku memerintahkan aku untuk itu.”
Sesungguhnya Islam menjadikan akhlak dan perlakuan sebagai ukuran kesempurnaan agama bagi seseorang. Ini bermaksud seorang Muslim yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya perlu mempamerkan akhlak serta perangai yang baik dalam kehidupan. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutus ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik bagi manusia atau yang selalu disebut sebagai ‘makarimul akhlak”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kasih sayang asas penyatuan ummah

Posted by epondok di Disember 24, 2015

Zamanudin Jusoh

Hubungan sesama manusia adalah sebahagian daripada kehidupan kita yang mengimpikan kesejahteraan dan kemakmuran. Kita melihat bagaimana Islam mengajar umatnya berinteraksi sesama manusia dengan cara yang baik dan akhlak mulia. Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka.

Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji.

Islam menekankan bahawa menggembirakan orang lain adalah satu kewajipan. Kata-kata pujangga menyebut: “Lakukanlah kebaikan kepada sesiapa sahaja. Jika kebaikan dilakukan pada orang yang betul, maka benarlah kamu. Dan jika dilakukan kepada orang yang salah maka kamu juga sebahagian daripada kebaikan.” Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya dan kerana itulah manusia diciptakan. Firman Allah SWT: “Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (Surah Hud, ayat 118-119)

Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Oleh itu, kita melihat nama ar-Rahman adalah salah satu nama dan sifat Allah SWT. Mereka yang bersifat demikian, berhak mendapat rahmat daripada-Nya kerana menepati konsep acuan Allah SWT. Hadis Qudsi menyebut: “Jika kamu inginkan rahmat-Ku, maka kasihanilah makhluk ciptaan-Ku.” Kebanyakan sifat kesempurnaan datangnya daripada sifat rahmah (kasihan belas). Kita berlemah lembut, memuliakan orang lain kerana adanya sifat rahmah. Segala-galanya bertolak daripada sifat rahmah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah SWT kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri darimu.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Inilah prinsip Baginda SAW sehingga tiada seorang manusia pun merasa jemu dan sentiasa ingin menghampirinya. Inilah sifat yang perlu dicontohi supaya kita sentiasa disenangi dan dihormati masyarakat walau di mana kita berada. Kasih sayang erat hubungan Sifat kasih dan sayang mesti menjadi satu fenomena penting bagi umat mengembalikan mereka kepada penyatuan sebenar. Sifat kasih sayang akan mencetuskan perasaan gembira pada orang lain serta menghilangkan kesedihannya. Sudah menjadi sunnatullah, tidak semua manusia dilahirkan dalam keadaan sempurna. Kelompok yang tidak sempurna ini atau orang kurang upaya (OKU) adalah sebahagian daripada entiti masyarakat yang perlu dihormati kerana Islam tidak pernah membelakangi mereka. OKU dan orang normal adalah sama dari sudut ibadah serta kedudukan di sisi Allah SWT dan mereka juga ditaklifkan dengan kewajipan sama. Mereka sentiasa dilayan oleh Allah SWT sebagai seorang hamba, turut diraikan ketika solat lima waktu sebagai menjaga kepentingan mereka. Sabda Baginda SAW: “Apabila kamu menjadi imam pada solat jemaah, maka ringankanlah bacaan di dalam solat dengan tidak memanjangkan bacaan. Ini kerana mungkin dalam kalangan kamu ada mereka yang sakit, lemah, cacat atau orang tua.” (Riwayat Nasai’)

Kehadiran mereka yang kurang upaya adalah rahmat kepada orang lain untuk mensyukuri nikmat kesempurnaan dikurniakan kepada mereka. Bahkan, mereka berpeluang meraih ganjaran apabila menghulurkan bantuan kepada yang lemah. Kita juga harus sedar kesabaran yang ada di jiwa OKU akan memudahkan mereka mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak berbanding kita yang sempurna. Ibnu Qayyim berkata, orang beriman akan melihat wajah Allah SWT kerana ia adalah kemuncak kepada kerinduan penghuni syurga. Beliau mentafsirkan mengenai ayat kelebihan yang diperoleh oleh ahli syurga adalah melihat wajah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik, ada pahala yang baik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Yunus, ayat 25-26)

Kata-kata ‘tambahan’ di sini ditafsirkan sebagai melihat Allah SWT. Namun, mereka yang lemah diharuskan berdoa kepada Allah SWT bagi menghilangkan kekurangan, tetapi kesabaran yang dapat dijelmakan dalam jiwa adalah yang terbaik kerana ganjarannya sangat lumayan. Pernah datang seorang lelaki yang cacat penglihatannya kepada Baginda SAW dan meminta Baginda mendoakan untuknya supaya penglihatannya kembali pulih. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu mahu aku akan mendoakan untukmu dan jika tidak, kamu boleh bersabar dan ia adalah baik bagi kamu. Jawab lelaki itu, baiklah aku akan bersabar.”

Demikian juga seorang wanita yang cacat bertemu Baginda SAW untuk didoakan. Jawab Baginda SAW: “Jika kamu bersabar, balasannya adalah syurga. Jawab wanita itu: Baiklah aku akan bersabar wahai Rasulullah demi syurga yang abadi.”
Setiap umat miliki kehebatan Sesungguhnya kekuasaan Allah SWT tiada batasan dan setiap manusia ciptaan-Nya mempunyai kelebihan tertentu. Mungkin dilihat sebagai kelemahan pada satu sudut, tetapi dari sudut yang lain, mereka lebih menyerlah daripada orang yang sempurna. Malah, ada yang berkebolehan luar biasa sehingga mengatasi mereka yang sempurna.

Justeru, golongan kurang sempurna ini mestilah diangkat kerana ada antara mereka yang berkebolehan. Inilah yang dilaksanakan Baginda SAW kepada Ibnu Ummi Maktum sebagaimana hadis daripada Anas Bin Malik: “Bahawasanya Baginda SAW pernah melantik Ibnu Ummi Maktum bagi menggantikan Baginda mentadbir Kota Madinah sebanyak dua kali.” (Riwayat Abu Daud)

Kesatuan umat bertolak daripada sifat Allah SWT itu arrahim dan dengan sifat itulah manusia dapat menjelmakan sifat terpuji lain sehingga diangkat oleh Allah SWT sebagai hamba yang mulia disisi-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran rujukan terbaik rungkai permasalahan ummah

Posted by epondok di Disember 23, 2015

Oleh Salleh Saad

PEPERANGAN berterusan seperti di Syria memberi kesan buruk kepada rakyatnya.

KITAB suci al-Quran adalah sumber rujukan terbaik untuk segala penyelesaian masalah, isu dan krisis. Bukan hanya untuk umat Islam, tetapi untuk sekalian manusia. Sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, sudah tentu tidak semua yang kita lakukan sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Hakikat ini kita perlu akui tanpa mengira siapa dan di mana kita berada.

Berdasarkan faktor itu, al-Quran menyediakan pelbagai formula penyelesaian dan juga prinsip tertentu untuk dijadikan asas rujukan mengikut jenis isu dan masalah yang timbul sama ada berkaitan dengan ibadah, sosial, ekonomi, politik dan perhubungan. Begitu halnya jika berlaku perselisihan pendapat, permusuhan, pergaduhan hatta peperangan sekali pun antara sesama umat, al-Quran ada menyediakan formula bagi menghadapinya dan ada prinsip tertentu yang perlu dipegang. Dalam lipatan sejarah Islam segala perkara disebutkan boleh dikatakan berlaku sepanjang zaman sehingga wujud pelbagai puak, malah ada yang membawa kepada pembunuhan sesama sendiri. Ia wujud sejak zaman Khulafa al-Rasyidin, Umaiyah, Abassiah dan zaman alaf baru. Kebanyakannya boleh dikatakan berkaitan merebut kuasa pemerintahan dan menterjemahkan hukum agama .

Dari segi politik ada pihak yang sanggup melanggar peraturan ditetapkan syariat dan hukum agama seperti ada pihak yang sanggup membuat fitnah dan adu domba, bahkan ada yang sanggup membunuh dan berperang sesama sendiri. Ada juga sesetengahnya sanggup mengkafirkan pihak lain semata-mata kerana mengejar takhta kekuasaan. Inilah antara penyakit yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan ia seolah-olah tiada ubat atau jalan penyelesaian.

Pergolakan sesama sendiri

Ini terbukti dengan misalnya beberapa negara di rantau Asia Barat, sejak sekian lama terus berada dalam kancah pergolakan, perselisihan faham, pergaduhan dan seterusnya berperang sesama sendiri, sedangkan jalan penyelesaian sudah lama disebut dalam al-Quran. Dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6, misalnya, banyak ayat yang boleh dijadikan panduan dalam konteks mewujudkan perhubungan harmoni antara satu sama lain, sama ada antara sesama Islam atau sesama manusia secara amnya. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya – sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Firman Allah SWT lagi dalam surah sama, ayat 10, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Dalam surah itu juga Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah berdosa dan janganlah kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah kamu setengahnya mengumpat akan setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya, (oleh itu patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat lagi amat mengasihani. “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah al Hujuraat, ayat 12 hingga 13)

Hubungan cara Islam

Berdasarkan ayat itu kita boleh rumuskan bahawa sekiranya sama-sama berpegang kepada prinsip persaudaraan Islam dan jalinan hubungan cara Islam seperti disebutkan nescaya apa yang sudah dan sedang berlaku kepada umat Islam di mana juga tidak berpanjangan . Kita semua faham bahawa fenomena seperti ini tidak menguntungkan umat Islam sebaliknya mendatangkan banyak keburukan seperti memberi ruang luas kepada musuh Islam melemahkan dan seterusnya menghancurkan umat Islam. Oleh itu mana-mana pihak yang mempunyai wibawa atau yang mendapat mandat harus mengusahakan perdamaian antara kelompok umat Islam yang bergaduh sesama sendiri agar tiada lagi yang keruh menyelubungi umat dan masyarakat Islam seluruhnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Contohi Akhlak nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Disember 19, 2015

NORKUMALA AWANG

 

“ENGKAU bukan se­perti yang biasa da­tang”. Lontaran kata-kata itu menyebabkan Saidina Abu Bakar RA menahan tangis. Si pengemis Yahudi buta tersebut mengatakan bahawa yang menyantuninya saban pagi sentiasa meng­haluskan makanan sebelum disuapkan ke mulutnya. Layanan yang diterimanya kini cukup berbeza. Sedangkan dia tidak mengetahui yang melayaninya sebelum ini adalah insan yang seringkali dicaci dan difitnah olehnya. Insan yang selalu dicemuhnya tetapi tidak pernah jemu mendatanginya dengan membawa makanan. Itulah dia insan agung, Rasulullah SAW.

Kehebatan dan ketinggian ak­hlak Rasulullah SAW membawa sinar hidayah kepada manusia lain biarpun setelah kewafatan baginda. Benarlah apa yang telah diungkap­kan dalam surah al-Qalam ayat 4 yang membawa maksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Budi pekerti yang dipamerkan oleh Baginda SAW tidak luntur di­sebabkan kebencian dan kemarahan yang melingkari kehidupan bahkan kesabaran menjadi benteng yang paling utuh dalam memberikan contoh terbaik.

Bulan Rabiulawal yang sinonim dengan sambutan Maulidur Rasul baru membuka tirai. Laungan selawat dan salam buat junjungan agung terus bergema. Namun, apakah akan terus menjadi satu tanda ingatan kepada Baginda SAW biarpun setelah melepasi bulan kelahir­an baginda? Ironinya, selawat yang menjadi tanda ingatan dan cinta kepada Rasulullah SAW hanyalah hebat dan gah pada sambutan Maulidur Rasul tetapi tidak menjadi satu kelaziman yang membasahi bibir.

Pengajaran tersirat yang harus diambil iktibar daripada sambutan tersebut adalah kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan sering menjadikannya sebagai contoh teladan dalam mengharungi liku kehidupan. Kesyumulan akhlak baginda wajar dijadikan inspirasi, dan sambutan Maulidur Rasul itu menjadi satu peringatan buat kita refleksi diri saban tahun. Bukan hanya nama baginda disebut-sebut tetapi juga seluruh kehidupan ba­ginda menjadi contoh walaupun susuk tubuhnya tidak pernah bersua.

Menelusuri kisah Nabi bersama pengemis Yahudi tua tersebut sudah cukup membongkar keperibadian sebenar Nabi SAW. Apakah jiwa dan akhlak sehebat itu dimiliki oleh umat Islam pada hari ini? Hati manakah yang sanggup dicerca, difitnah dan dimaki? Dunia yang penuh pancaroba kini menyaksikan terlalu banyak jiwa yang melebur disebabkan tiada kesabaran. Bahkan ramai yang hilang pedoman apabila nafsu merajai diri melebihi daripada keimanan. Tidak ramai yang sanggup menelan cercaan, maka dibalas juga dengan kemarah­an dan akhirnya fitnah terus berleluasa dalam masyarakat.

Hilangnya sifat sabar apabila menghadapi mehnah dan tribulasi akan membentuk individu yang bersifat pemarah dan pembengis seterusnya membawa kepada situasi yang tidak pernah dijangkakan berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Contohnya membunuh yang seolah-olah sudah menjadi seperti kebiasaan. Kebanyakan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada masalah hati seperti dendam, cemburu, benci dan sebagainya.

Malah fitnah-memfitnah, keji-mengeji, umpat-mengumpat dan mengadu domba telah menjadi satu budaya dalam masyarakat apatah lagi dengan kewujudan media sosial yang tidak mengehadkan sempadan maklumat. Andainya, Rasulullah SAW masih bersama kita, alangkah sedihnya melihat kebejatan moral umat yang semakin meruncing pada hari ini.

Tidak dinafikan, ramai yang mengalami tekanan dalam ke­hidup­an sama ada berpunca daripada tempat kerja, keluarga, kejiranan dan juga persekitaran. Malah kadangkala manusia diuji dengan ujian kesakitan, kehilang­an, kemiskinan, kelaparan dan ketakutan sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al- Baqarah ayat 155 dan 156. Semuanya adalah bentuk ujian yang berbeza bagi setiap umat manusia untuk menguji tingkat kesabaran. Tetapi, apakah ini menjadi penyebab tandusnya akhlak baik sepertimana yang pernah dipamerkan oleh Rasulullah SAW?

Biarpun pengemis buta tersebut berlainan agama, malah berterus­an mencerca, baginda sedikit pun tidak goyah kesabaran menangani­nya. Sekiranya kita diuji sedemikian, masihkah sanggup bertahan dengan hati yang tabah? Usahkan untuk bertolak-ansur dengan insan yang berlainan agama dan bangsa, kadangkala dengan ibu bapa sendiri pun tidak pernah disantuni dengan lembut. Malah amat menyedihkan lagi apabila terdapat anak yang menyisihkan ibu bapa sendiri dan ada yang tergamak membunuh mereka.

Umat Islam hilang keluhuran budi dan sikap saling bertoleransi antara satu sama lain sedangkan perkara ini menjadi tunggak kepada kesatuan sebuah masyarakat.

Ketamadunan sesebuah ma­sya­rakat juga dilihat daripada asas akhlak sejati yang dibina. Pembentukannya sudah pasti perlu bermula dengan mencontohi akhlak insan ulung yang ditonjolkan sepertimana yang dirakamkan dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Kehebatan akhlak Nabi SAW tiada tandingannya dengan manusia lain. Ini jelas dapat dilihat daripada kisah Saidatina Aisyah yang telah ditanya oleh seorang Badwi mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka beliau menjawab; “Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, meletakkan al-Quran dan Sunnah Nabi sebagai panduan hidup merupakan akhlak mahmudah bagi orang yang beriman dan bertakwa. Akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW merangkumi seluruh kehidupan yang dilalui oleh Baginda SAW seperti suka memaafkan, bertolak-ansur, sabar, adil, penuh kasih sayang dan rendah hati dalam semua perkara. Sudah pasti ini semua perlu menjadi pegangan yang menyeluruh bagi umat yang kehausan akhlak dan nilai Islam.

Sudah sampai masanya, ingat­an dan tanda cinta kepada Rasulullah SAW perlu terarah kepada mencontohi dan mengamalkan seboleh mungkin apa yang telah dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Respon seseorang terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling juga mesti berteraskan kepada pengajaran yang telah dibentuk melalui peribadi Baginda SAW walaupun pelbagai ujian melanda diri.

Refleksi diri dengan kisah-kisah yang menggambarkan kehidupan Rasulullah SAW akan menyentuh hati sanubari dan menyedarkan akan ketinggian serta keagungan peribadi kekasih Allah SWT.

Ketandusan akhlak umat manusia pada hari ini menyebabkan semakin jauh dari landasan Islam sebenar. Manusia hilang kasih sayang serta hidup bertuhankan nafsu semata-mata mengejar duniawi lantas tidak memikirkan kepentingan bersama dalam pembentukan sebuah pe­radaban. Keruntuhan akhlak umat manusia adalah kerana tidak meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai idola yang paling ideal untuk dicontohi. Maka, segala tindak-tanduk dalam kehidupan tidak berkiblatkan kepada apa yang telah digariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru, menjadi satu keperluan kepada kita yang menggalas tanggungjawab untuk mengaudit diri agar perjalanan kehidupan ini selari dengan apa yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah SAW. Keagungan peribadi Baginda SAW perlu menjadi ikutan. Masyarakat harus diperkasakan untuk membudayakan sifat-sifat mahmudah. Sifat-sifat ini menjadi batu asas kepada terbentuknya sebuah masyarakat yang bertamadun.

Sekiranya kita masih hanyut dan lena dengan sifat-sifat mazmumah, semakin hari semakin terpasak dalam jiwa sanubari masyarakat hari ini, dibimbangi bukan setakat mendatangkan keburukan tetapi juga mengundang kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu, tepat sekali sekiranya Rabiulawal yang sedang kita lalui sekarang menjadi satu titik tolak untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW seterusnya menerapkan akhlak Baginda SAW bukan setakat dalam diri bahkan juga orang yang terdekat dengan kita. Merefleksi diri dengan akhlak Rasulullah SAW perlu menjadi agenda utama bagi setiap muslim agar menjadi jalan kepada transformasi keseluruhan kehidupan kepada yang lebih baik dan diredai oleh Allah SWT.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/contohi-akhlak-rasulullah-saw-1.169117#sthash.m3TB9kqG.dpuf

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mukmin bertakwa tidak akan menyekutukan Tuhan

Posted by epondok di Disember 18, 2015

Oleh Mohd Zin Ali
“Maka kepunyaan Allah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadapkan, di situlah wajah Allah” – Surah al-Baqarah, Ayat 115
TAKWA dihuraikan oleh Saidina Ali sebagai mempunyai empat ciri. Kalau seseorang itu mempunyai keempat-empat ciri berkenaan, maka manusia itu akan tergolong dalam kalangan orang bertakwa.

Ciri pertama yang dinyatakan Saidina Ali ialah orang itu tidak takut selain kepada Allah SWT. Seseorang itu sentiasa takut kepada Allah SWT dan meletakkan Allah SWT untuk segala-galanya.

Bagaimanapun, manusia hari ini kebanyakannya meletakkan manusia lebih tinggi daripada Allah SWT seperti rezeki yang diperoleh adalah diberikan oleh orang lain.

Sebenarnya, Allah SWT yang menentukan segala-galanya kerana Allah SWT ialah Tuhan yang menjadikan manusia.

Ustaz Abdullah Khairi Haroon dalam ceramahnya ketika mengikuti Pelayaran Islamik 11. 0 anjuran IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd berkata, seorang wali Allah SWT, Said Ibnu Zubair, yang hidupnya hanya berzikir kepada Allah SWT adalah antara contoh individu terbaik yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya.

Hajjaj pemerintah zalim

Said hidup pada zaman pemerintahan Gabenor Kufah, Hajjaj Yusuf al-Thaqafi, seorang pemerintah yang terkenal dengan kezalimannya dengan sesiapa yang melawan Hajjaj akan dibunuh.

Pada satu hari, Hajjaj bertanyakan kepada pengawalnya mengenai siapa dalam kalangan rakyatnya yang tidak takut kepadanya sebelum pengawal memaklumkan kepadanya bahawa ia adalah Said.

Hajjaj kemudian mengarahkan pengawal untuk membawa Said datang untuk menemuinya.

Sebaik sahaja didatangi pengawal berkenaan dan dimaklumkan mengenai permintaan Hajjaj itu, Said kemudian memasuki rumahnya, mengambil wuduk, menukarkan baju kepada jubah berwarna putih dan menunaikan solat dua rakaat.

Sebaik selesai menunaikan solat, beliau pun keluar menemui pengawal itu sebelum pengawal berkenaan bertanyakan mengapa beliau mengambil wuduk, memakai baju putih dan menunaikan solat.

Said berkata: “Hari ini, wudukku adalah wuduk yang terakhir, jubahku yang putih adalah tanda kain kafan. Hari ini, aku akan bertemu dengan kekasihku, Allah.”

Said kemudian dibawa ke istana Hajjaj dan apabila dibuka pintu, Hajjaj duduk dalam keadaan sombong dan bertanya siapakah diri beliau walaupun sebenarnya mengenali Said.

Apabila Said menjawab bahawa dia adalah Said iaitu bermakna orang bahagia, anak kepada orang baik-baik, Hajjaj mengatakan kepadanya bahawa beliau sebenarnya ialah Saqi ibnu Qusir yang bermakna orang celaka, anak kepada orang pemalas.

Hajjaj menghina seorang wali Allah SWT, bukan ulama biasa. Said yang berusia 76 tahun kemudian menjawab: “Ibu aku yang melahirkan aku, ibu aku tahu siapa aku.”

Said tak takut selain Allah SWT

Said yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya dan tidak takut kepada sesiapa menyebabkan Hajjaj berkata: “Ibu kamu celaka sama dengan kamu.”

Said kemudian menjawab lagi: “Jika kamu mengatakan ibu aku celaka, kamu juga dilahirkan oleh seorang ibu, ibu kamu juga celaka seperti ibu aku.”

Itulah kehebatan wali Allah SWT yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya. Hajjaj yang berang dan mengatakan mulut Said sebagai celupar kemudian memerintahkan pengawal menyediakan ‘api neraka’ yang menyala-nyala untuk membakar Said.

Said berkata: “Jika kamu boleh menyediakan aku api neraka, kamu belum tentu boleh terlepas api neraka yang Allah SWT sediakan untuk kamu.”

Bila dijawab, Hajjaj terus sakit hati dan mengarahkan pengawal memegang muka dan memusingkan kepala Said yang bercakap tanpa melihat dirinya tetapi menghadapkan muka ke arah kiblat.

Apabila pengawal memusing kepala Said supaya menghadap Hajjaj, wali Allah ini membacakan surah al-Baqarah, ayat 115: “Maka kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadapkan, di situlah wajah Allah.”

Hajjaj semakin sakit hati dan mengarahkan pengawal mendapatkan wang yang banyak dan meletakkannya di hadapan Said tetapi tidak diindahkan Said. Begitu juga cubaan Hajjaj dengan mengarahkan wanita cantik menari di depan Said.

Said kemudian mengatakan kepada wanita itu: “Kamu sudah digunakan Hajjaj bukan pada tempatnya, kamu akan dakwa Hajjaj di akhirat.”

Nasihat Said menyebabkan wanita itu menangis dan terus bertaubat kepada Allah SWT. Ia memarakkan lagi api kemarahan Hajjaj yang kemudian mengarahkan pengawal melambungkan Said sehingga jatuh luka.

Said bagaimanapun berkata: “Daripada tanah ini aku dijadikan, kepada tanah ini aku kembali. Daripada tanah inilah aku dihidupkan semula.”

Apabila dibaca ayat itu, Hajjaj semakin gagal mengawal perasaan menyebabkan dirinya melompat ke atas tubuh Said, menekankan kepala Said ke tanah sebelum mengeluarkan pedangnya yang tajam lalu menyembelih kepala Said.

Kepala Said yang putus kemudian berkata: “Hajjaj kau telah membunuh aku, kau tak akan dapat membunuh sesiapa lagi selepas aku. Hari ini aku akan bertemu kekasih aku, Lailahaillah.”

Ulama’ mengatakan darah Said keluar daripada tengkuknya dengan darah yang jatuh ke atas pasir menuliskan kalimah Lailahaillah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Daurah Syamail Muhammadiah dan Ceramah Maulidurrasul s.a.w 1437H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Disember 17, 2015

poster majlis mahbbah 2016

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »