Jika sebelum ini ibu bapa sibuk mencari rezeki, kini ramai ibu bapa yang merancang percutian atau rehlah bersama keluarga. Ada yang memilih destinasi dalam negara dan ramai juga yang memilih melancong di luar negara.

Apa pun jadual dan program yang diatur, ambillah peluang dan manfaatkan masa terluang bersama keluarga untuk mendidik serta memahamkan anak-anak tentang beberapa rukhsah (keringanan) yang Allah tawarkan terutama semasa bermusafir.

Paling utama adalah solat. Solat wajib ditunaikan walau di mana kita berada. Bagi solat fardu jika tidak berkuasa berdiri, maka ia boleh dilakukan secara duduk, berbaring atau pun sekadar menggerakkan anak mata. Demikianlah rukhsah yang Allah berikan kepada manusia.

Sayangnya masih ramai umat Islam yang meringankan ibadat solat ini sehinggakan ramai yang mampu menahan makan minum berpuasa Ramadan tetapi tidak mampu menunaikan solat. Walhal berpuasa itu memakan masa kira-kira 14 jam tetapi solat hanya sekitar lima ke 10 minit.

Solat adalah tiang agama. Ia menjadi garis pemisah antara Islam dan kufur. Sebab itu, waima dalam perang sekali pun, kewajipan solat tidak gugur. Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: “Peliharalah segala solatmu, dan (peliharalah) solat wusthaa. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk. Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (al-Baqarah: 238-239)

Untuk itu bagi yang bermusafir melebihi dua marhalah diharuskan solat jamak dan qasar. Jamak bermaksud menghimpunkan dua waktu solat menjadi satu. Contohnya, menghimpunkan solat Zuhur dan Asar sama ada jamak taqdim atau jamak takhir.

Qasar pula bermaksud, meringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Contohnya solat Zuhur, Asar dan Isyak dipendekkan menjadi hanya dua rakaat.

Oleh yang demikian, masa bercuti ini adalah peluang terbaik untuk ibu bapa mengajar anak masing-masing memanfaatkan ‘bonus’ yang Allah sediakan. Dalam perjalanan, aturkan supaya kita boleh solat jamak dan qasar sama ada di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang disediakan di lebuh raya atau di masjid dan surau yang kita lalui.

Jangan hanya singgah R&R apabila perut lapar dan dahaga. Sebaliknya, pastikan kita singgah di R&R untuk solat. Jika bersama anak-anak, jangan solat bersendirian sebaliknya solatlah berjemaah. Ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tetapi juga tidak terlepas ganjaran pahala 27 kali ganda solat berjemaah berbanding solat sendirian.

Seperkara lagi, dalam bermusafir jangan lepaskan peluang berdoa. Sebabnya doa orang musafir itu adalah mustajab. Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Demikian pemurahnya Allah kepada hamba-hamba-Nya. Begitu banyak kemudahan yang disediakan untuk kita sentiasa beribadat kepada Allah. Sebagai hamba-Nya, jangan kita sombong dan sentiasalah bermunajat kepada Allah agar hidup kita di dunia ini diberkati dan di akhirat kelak mendapat syurga Allah