Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jangan tunggu hujung nyawa baru bertaubat

Posted by epondok di November 25, 2015


Mukmin hendaklah sentiasa mohon taubat setiap kali selepas solat.
Manusia sering leka, lalai, terperangkap dalam kesilapan, dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Allah SWT memberikan peringatan kepada hamba-Nya mengenai kelemahan mereka dan menggariskan panduan terbaik untuk mengawal diri, perasaan serta tingkah laku. Begitu juga dengan cara menyucikan jiwa, Allah SWT turut menegaskan setiap manusia akan menerima balasan daripada apa yang mereka usahakan dalam kehidupan mereka di dunia ini. Justeru, mereka perlu berhati-hati dan memastikan supaya sentiasa memilih jalan yang benar.
Sebagai manusia biasa, agak sukar bagi kita mengelak diri daripada melakukan kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Dalam erti kata lain, tiada seorang pun daripada kita yang tidak melakukan dosa. Dosa hitamkan hati Perbezaannya, bagaimanakah sikap kita selepas berbuat dosa. Adakah kita segera bertaubat atau melengah-lengahkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta akan membalasnya).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 8)
Kotoran yang kelihatan secara zahir boleh dibersihkan dengan mudah. Pakaian kotor, pinggan mangkuk tidak bersih, semuanya mampu dibersihkan dengan bahan pencuci sahaja. Segala dosa dan noda dilakukan akan menjadi kotoran yang menghitamkan hati. Hanya taubat mampu menyucikan kekotoran dalam hati. Sememangnya pintu taubat dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT buat semua hamba-Nya. Namun, perlu diingat kesempatan untuk bertaubat akan tamat apabila nyawa telah sampai ke halkum. Adakah kita tahu bila nyawa akan berakhir? Bilakah peluang terakhir untuk memohon taubat kepada Allah SWT?
Rebutlah peluang kemurahan kasih sayang Allah SWT menerima taubat hamba-Nya seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari: “Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu malam supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari barat.”
Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah. Bertaubat adalah suruhan Allah SWT dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah. Malangnya, suruhan ini dipandang sepi dengan alasan ‘masa masih panjang lagi.’ Alasan ini dangkal dan tiada berasas kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua yang kononnya ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’. Kematian itu tidak pernah mengenal usia.
Sesungguhnya orang yang sengaja melambat-lambatkan bertaubat akan berdepan dengan dua bahaya besar iaitu hatinya menjadi keras dan gelap, sukar menerima nasihat serta kebenaran. Inilah akibat perbuatan maksiat dilakukan kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.
Kedua, maut dalam kemurkaan Allah SWT. Kematian datang sebelum sempat ia bertaubat, lalu ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup yang tidak selamat di akhirat nanti. Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah memohon ampun kepada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.
Jalan menghampiri taubat atau mendorong untuk bertaubat ialah tidak panjang angan-angan. Kita berasakan kematian masih terlalu jauh dari kita sebab itulah kita tidak bersegera bertaubat. Tiada siapa tahu penghujung usia Kita bimbang akan kembali kepada dosa sedangkan kita tidak pernah tahu penghujung usia. Sekiranya tidak bermula dengan taubat, masihkah ada kesempatan untuk kita terus hidup sama ada atas jalan kebaikan atau kembali kepada dosa? Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang salih, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (Lalu Allah menempelak mereka): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberi masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran.” (Surah Faatir, ayat 37)
Segeralah bertaubat, jangan ditangguh lagi, bimbang tiada lagi kesempatan untuk kita di kala ajal tiba. Sesungguhnya perbuatan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT sebahagian daripada persiapan penting menghadapi hari pembalasan. Justeru, marilah kita jadikan amalan segera bertaubat secara istiqamah sebagai rutin kehidupan. Jangan biarkan hari kita berlalu tanpa sebarang penyesalan dan permohonan taubat kepada Allah SWT. Mudah-mudahan taubat kita diterima oleh Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: