Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah lalai, hanyut kemewahan dunia

Posted by epondok di November 17, 2015


KANAK-KANAK perlu dididik amalan bersedekah supaya ia dapat diamalkan sehingga dewasa.
SESUNGGUHNYA orang beriman diibaratkan seperti satu jasad. Setiap anggota saling bantu membantu antara satu sama lain. Mereka saling berkongsi kegembiraan sesama tetangga dan menghulurkan bantuan jika ada dalam kalangan mereka yang ditimpa musibah atau kesusahan. Inilah antara sifat orang beriman yang perlu dijalinkan untuk membentuk kekuatan menjana perubahan. Hasilnya, lahirlah masyarakat harmoni yang berkasih sayang dan sentiasa tolong menolong.
Salah satu amal ibadah yang dapat membentuk masyarakat sebegini ialah amalan bersedekah. Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Allah SWT mengurniakan kelebihan kepada orang kaya untuk menghulurkan bantuan kepada orang memerlukan. Ia juga dapat menjauhkan diri daripada sifat tamak dan zalim. Amalan ini menuntut pengorbanan besar dalam diri kerana mereka perlu menyerahkan sebahagian daripada apa yang disayangi dan diusahakan kepada orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa juga yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)
Amalan bersedekah bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah adalah lebih luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Namun, masyarakat kita seakan-akan menyempitkan istilah sedekah hanya dengan maksud mengeluarkan harta benda kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan jalan seseorang yang tersesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah, juga kamu mengosongkan timbamu untuk mengisi timba saudaramu itu juga sedekah.” (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Bertuahlah bagi mereka yang melazimi amalan bersedekah. Terdapat banyak rahsia yang tersurat di sebalik amalan ini antaranya mereka akan mendapat keberkatan dan ketenangan jiwa. Ingatlah! Kekayaan atau kesenangan tidak membawa makna tanpa wujudnya keberkatan. Dengan adanya keberkatan, nikmat yang sedikit akan dirasakan mencukupi. Manakala nikmat yang banyak, dapat dikongsi kepada mereka yang memerlukan.
Diceritakan bahawa seorang dermawan, al-Laith bin Saad yang mempunyai pendapatan hasil tanamannya lebih daripada 70,000 dinar setahun yang semuanya disedekahkan. Pada suatu ketika, dia membeli sebuah rumah yang dilelong lalu wakil beliau pergi untuk menerima rumah itu. Didapati di dalamnya anak yatim dan kanak-kanak yang masih kecil. Apabila berita ini diketahui oleh al-Laith, beliau segera menghantar utusan memberitahu mereka bahawa rumah itu adalah hak mereka dan pada setiap hari mereka akan mendapat apa yang mereka perlukan. Tidak takut miskin Kekayaan yang dianugerahkan tidak melekakan atau melalaikan dirinya hanyut dalam kemewahan dunia. Walaupun memiliki harta yang banyak, ia tidak menjadikannya sombong atau kedekut. Beliau sentiasa bersedekah tanpa rasa takut menjadi miskin atau hartanya berkurangan selain lebih dekat kepada Allah SWT.
Walau bagaimanapun, perbuatan itu hendaklah dilakukan berdasarkan niat yang ikhlas dan mencapai matlamat bersedekah. Terdapat segelintir kita yang memberi, namun pemberiannya itu adalah barang yang tidak dapat digunakan atau dimanfaatkan oleh penerima. Malah ada yang sanggup menyumbangkan pakaian koyak dan tidak layak digunakan lagi. Janganlah mengungkit, merungut dan menyakiti hati penerima sedekah kerana perbuatan itu merosakkan amalan yang mulia. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 265)
Sesungguhnya ganjaran dan kebaikan sedekah tidak ternilai. Rebutlah peluang keemasan ini untuk manfaat di dunia dan bekalan di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW bersabda: “Apabila matinya manusia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang digunakan terus menerus atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang sering mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Terapkan amalan ini kepada anak dengan mendidik mereka bersedekah sama ada di masjid, surau atau kepada mereka yang memerlukannya. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan itu terlebih dahulu. Berikanlah kefahaman untuk mendahulukan hak orang lain supaya mereka tahu nilaian sedekah yang sebenarnya. Jika hal ini dapat disuburkan, sudah pasti yang susah akan menjadi senang dan yang miskin akan terbela dengan bantuan serta pertolongan daripada golongan kaya serta mewah. Masyarakat dapat menikmati keharmonian di samping menghindarkan mereka daripada melakukan jenayah dan penyelewengan.
Kebaikan rohani, jasmani
Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Konsep bersedekah amat luas membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Lakukanlah amalan bersedekah ini dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan disebabkan habuan atau kepentingan tertentu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jugalah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Apa juga harta yang baik (halal) yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Kamu pula tidaklah menfakahkan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah (bukan kerana tujuan duniawi). Apa juga yang kamu nafkahkan daripada harta yang baik nescaya akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu sedangkan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: