Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Masyarakat tak peka punca jenayah syariah sukar dibendung

Posted by epondok di November 14, 2015


Oleh Hasliza Hassan
TINDAKAN penguat kuasa agama membuat serbuan mencegah maksiat sering dipandang serong kumpulan hak asasi manusia yang berfahaman Barat.
KASIHAN mengenangkan anak kecil berumur dua tahun yang menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya seperti dilaporkan media Rabu lalu dan pada masa sama sukar untuk memahami, apa lagi menerima hakikat perkara yang terjadi itu memang berlaku dalam masyarakat. Persoalan berulang kali ditanya kenapa ibu sanggup biarkan anak didera teman lelakinya dan kenapa wanita itu tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan mahram serta membiarkan dirinya juga didera lelaki berkenaan. Yang pasti, kes terbaru ini bukan kes terpencil kerana sudah banyak kali perkara sama didedahkan di media apabila berlaku jenayah seperti penderaan atau kematian disebabkan teman lelaki ibu yang tinggal serumah dengan mangsa.
Justeru, melihat keadaan itu daripada pelbagai sudut termasuk undang-undang, kesimpulan boleh dibuat ialah konsep amal makruf nahi mungkar makin lama semakin terhakis dalam diri umat Islam menyebabkan tiada siapa kisah apa yang berlaku di sekeliling mereka. Pentingkan hak asasi manusia Fahaman yang mengagungkan kepentingan hak asasi manusia (menjurus kepada hak mutlak individu) juga telah merampas sifat prihatin serta membunuh semangat saling ambil berat kerana masing-masing memikirkan sudah tidak ada hak untuk menegur selain takut dikatakan menjaga tepi kain orang.
Apabila berlaku kes sebegini, apakah tindakan yang wajar diambil kerana jelas wujud pelanggaran terhadap undang-undang syariah atau hukum syarak seperti wanita dan lelaki tinggal serumah tanpa ikatan pernikahan yang sah.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata kaedah terbaik mencegah kemungkaran adalah melalui pendidikan dan meningkatkan kerohanian umat Islam supaya tidak melakukan perbuatan maksiat.
Katanya, undang-undang adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan termasuk kes bersekedudukan kerana tidak semua isu mampu diselesaikan melalui penguatkuasaan undang-undang seperti diandaikan sesetengah pihak. Mahkamah jalan terakhir “Walaupun saya seorang peguam, saya berpandangan undang-undang dan mahkamah adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan permasalahan kerana sebelum undang-undang itu dikenakan terhadap seseorang beberapa perkara perlu mendahului tindakan perundangan ataupun prosiding mahkamah.
“Pertamanya, pendidikan kerana pendidikan mantap yang menyemai jatidiri dan kefahaman beragama dengan sendirinya dapat menghalang seseorang itu melakukan perkara ditegah agama. Peranan masyarakat sekeliling juga penting untuk mencegah kemungkaran,” katanya.
Beliau berkata, persepsi bahawa isu moral, akhlak dan dosa adalah antara seseorang itu dengan Tuhannya yang dimomokkan pejuang hak asasi mengikut acuan Barat yang menolak kawalan moral perlu diperbetulkan bagi mengelak perlakuan sumbang. Disebabkan perkembangan semasa yang berlaku itu, ia memberi kesan kepada keberkesanan penguatkuasaan kerana wujud dilema dalam kalangan penguatkuasa undang-undang khususnya penguatkuasa agama. Kemelut itu tercipta kerana sesetengah golongan mengherdik tindakan yang diambil atas prinsip pengintipan (tajassus) dilarang dalam Islam.
Apabila serbuan atau tangkapan atas laporan dibuat maka timbullah suara lantang mengutuk serbuan dan tangkapan itu. Penguat kuasa dikatakan mengintip dan mencari salah orang lain walaupun hakikatnya jauh terpesong dari peruntukan undang-undang yang ada kerana penguatkuasa agama hanya mengambil tindakan setelah laporan dibuat atau terdapat syak munasabah perlakuan jenayah syariah berlaku. Penguat kuasa agama dicela Zainul Rijal berkata, kutukan seperti itu memberi tamparan hebat kepada penguat kuasa agama sekali gus menjatuhkan moral dan kesediaan mereka melaksanakan tugas apabila digambarkan seolah-olah melakukan sesuatu di luar batasan agama. “Dengan kekangan sumber manusia yang terhad, kuasa terlalu kecil dalam melaksanakan tugasan ditambah pula kritikan daripada masyarakat yang tidak memahami, agak sukar untuk penguatkuasaan dilakukan dengan berkesan. Hukuman agak ringan juga menjadikan undang-undang kurang efektif,” katanya.
Mengikut peruntukan undang-undang, mereka yang melakukan kesalahan bersekedudukan boleh didakwa melakukan persetubuhan luar nikah, persediaan melakukan persetubuhan luar nikah atau berkhalwat. Pertuduhan mungkin berbeza berdasarkan senario pada waktu tangkapan dibuat berdasarkan bukti yang ada. Kesalahan persetubuhan luar nikah (Seksyen 23) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah (Seksyen 24) dan khalwat (Seksyen 27), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Mengakui kes seperti itu banyak kali berlaku, Zainul Rijal berkata, agak sukar untuk memberi jawapan kepada persoalan mengapa ia gagal ditangani kerana perlakuan jenayah syariah didorong pelbagai faktor yang memerlukan perhatian daripada semua pihak. Mungkin mereka yang terjebak perbuatan itu tidak mampu untuk bernikah disebabkan kekangan kewangan atau khuatir untuk mendirikan rumah tangga dan menyalahkan prosedur urusan perkahwinan ketat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sikap masyarakat yang tidak mahu ambil tahu hingga pelaku merasakan seolah-olah perbuatan itu bukan lagi menjadi kesalahan juga menyebabkan jenayah syariah sukar dibendung. Oleh itu, sikap masyarakat memainkan peranan bagi mengelak berlakunya maksiat. Pesalah berasa selamat “Pesalah berasa selamat melakukan kesalahan kerana tidak ada mata yang memandang atau telinga yang mendengar. Masyarakat Islam perlu berubah dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sekurang-kurangnya laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil. “Kita boleh membuat pilihan dan apakah agaknya pilihan kita. Mengamalkan sikap tidak mahu ambil tahu kerana itu hak peribadi mereka atau melakukan sesuatu supaya tidak berlaku lagi kes kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan,” katanya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: