Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jaga mata elak tergoda senyuman wanita

Posted by epondok di November 11, 2015


Oleh Syafiq Zulakifli

WANITA salihah sentiasa menjaga kehormatan diri taat perintah suami.
PENYUSUNAN kitab suci al-Quran bukan sekadar lembaran kisah yang dapat diteladani melalui peristiwa yang berlaku kepada nabi dan rasul, tetapi menjangkau kepada peranan tokoh utama dalam sejarah Islam, termasuk wanita.

Perbincangan Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm, pada Isnin, jam 5.15 petang bersama Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman, menyorot kisah perjuangan isteri Firaun, Asiah binti Muzahim, mempertaruhkan nyawanya demi menikmati kehidupan lebih bahagia di syurga.

Seperti dibincangkan, permintaan dan permohonan doa daripada Asiah untuk dibina sebuah rumah di syurga membuktikan bahawa kesenangan hidup di dunia hanya sementara. Keimanan dan keteguhan akidah kepada Allah SWT yang ditunjukkan Asiah itu melangkaui ketaatan kepada seorang suami, iaitu Firaun.

Namun, wanita tidak terlepas daripada godaan hidup dan mudah terpengaruh bisikan nafsu hingga mencalar status mereka seperti kisah Zulaikha yang menggoda jiwa Nabi Yusuf.

Hal ini dibicarakan dalam al-Quran melalui firman yang bermaksud: “Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah SWT (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya.” (Surah Yusuf, ayat 23)

Hati-hati dengan fitnah wanita

Fitnah yang juga ujian kepada Nabi Yusuf ini menjadi petanda bahawa kaum Adam perlu berhati-hati dengan godaan wanita. Kelebihan yang ada pada seorang wanita itu perlu diurus supaya tidak disalahgunakan.

Selain itu, wanita juga menjadi fitnah dengan senyuman. Pernahkah kita tergoda hanya kerana senyuman seorang wanita? Allah SWT memerintahkan kaum Adam memelihara dirinya daripada tertipu dengan wanita hanya kerana mata dan pandangan kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid yang menceritakan fitnah yang agung itu datangnya daripada seorang wanita. Sandaran ini melalui hadis Rasulullah SAW: “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan lelaki selain daripada fitnah wanita.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Walaupun wanita dicipta dengan pelbagai kelemahan tetapi lelaki yang cerdas, kuat dan gagah akan tunduk kepada seorang wanita. Meskipun wanita juga mempunyai pelbagai keterbatasan, tetapi ramai pemimpin tergoda dengan kelemahan wanita itu.

Sufyan At-Thauri pernah berkata: “Silakan engkau menyuruhku untuk menjaga rumah mewah dan penuh harta melimpah, namun usah sesekali engkau menyuruhku menjaga wanita yang tidak halal bagiku mestipun wajahnya hitam legam.”

Lelaki perlu tegas pertahan diri

Senjata wanita itu bukan terletak pada kelemahannya semata-mata tetapi bagaimana lelaki yang berpendirian teguh dan tegas mempertahankan sesuatu hal daripada fitnah. Nabi Yusuf akan tergoda dengan kata-kata dan lemah bicara Zulaikha jika tidak diurus dengan baik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sebenarnya perempuan itu berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (mengenai kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” (Surah Yusuf, ayat 24)

Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu wanita yang salihah. Berbahagialah bagi mereka yang mengharapkan cinta hanya kepada Allah SWT dan tidak melemahkan jiwa mereka hanya kerana godaan seorang wanita

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: