Begitulah sewajarnya kita selaku hamba Allah, perlu sentiasa mencari ibrah dan hikmah di sebalik setiap kejadian, meskipun jelas nampak keburukannya. Selaku makhluk yang sangat terbatas akal fikirannya, manusia selalu tersalah langkah dalam menilai apa yang berlaku. Hakikat inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 216:

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

SETIAP SESUATU 
ADA HIKMAH

Allah tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa apa-apa tujuan atau secara sia-sia. Jika yang baik jelas terbukti manfaatnya, yakinlah bahawa sesuatu yang buruk juga membawa hikmah yang tidak terduga. Justeru, apa agaknya ibrah dan hikmah daripada fenomena jerebu dan penyakit berjangkit seperti demam denggi yang kini berleluasa?

Pertama: Banyak musibah berpunca daripada perlakuan manusia sendiri.

Pada 13 Oktober lalu, Polis Indonesia menyenaraikan 12 syarikat dan 209 individu sebagai pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan, punca utama jerebu di rantau ini.

Begitu juga, kegagalan masyarakat hari ini menjaga kebersihan persekitaran kediaman mereka mengundang wabak demam denggi yang sesetengahnya membawa maut.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 96,453 kes demam denggi dilaporkan sejak 4 Januari hingga 12 Oktober lalu dan melibatkan 523 kes kematian dalam tempoh tersebut. Lihatlah betapa sikap tidak mempedulikan peringatan dan maslahah orang lain telah mengundang bencana dalam kehidupan manusia. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya di dalam surah ar-Rum, ayat 41:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kedua: Mendidik manusia bersabar dan bertawakkal kepada Allah

Hakikatnya musibah dan penyakit datang dengan izin dan ketentuan Allah SWT. Apabila ia melanda, setelah berusaha menghindarinya, kita sebenarnya dididik untuk menerima takdir ini dengan bersabar. Inilah sifat Mukmin sebenar apabila diuji. Musibah dan penyakit datang membawa pahala sabar untuk orang beriman. Renunglah firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155:

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Ketiga: Musibah dan penyakit menjadi penghapus dosa

Allah menentukan musibah dan penyakit kepada hamba-hamba-Nya bukan untuk menyusahkan dan menghina mereka. Sebenarnya segala kepayahan yang ditakdirkan ini hadir bersama rahmat dan kasih daripada sisi-Nya. Apa juga musibah yang melanda membawa penghapusan dosa-dosa kita. Untuk mengelakkan kita diazab di akhirat, Allah datangkan penyakit dan musibah di dunia sebagai pembersih dosa.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Hurairah r.a.: “Tiada apa jua musibah yang menimpa seorang Mukmin sama ada penyakit yang berterusan, keletihan, kerisauan, kesedihan, kesakitan dan kebimbangan, sehingga duri yang menusuknya melainkan Allah pasti mengampunkan dosa-dosanya.”

Setelah menyedari ibrah daripada kehadiran musibah dan penyakit, kita sewajarnya bersikap tenang dan menerima ketentuan takdir dengan reda.

Meskipun begitu kita juga perlu mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengelakkan musibah dan penyakit kerana ia adalah suatu perkara yang dituntut oleh syarak.