Islam agama lengkap dan sempurna, sederhana dan sesuai mengikut peredaran masa serta tempat. Islam tidak bercanggah dengan fitrah dan tabii manusia, mudah serta tidak menyusahkan. Islam menolak semua unsur ekstremis dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya.

Malahan, dalam aspek akhirat seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan. Islam amat menitik beratkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Namun pada masa yang sama juga Allah mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.

Firman-Nya bermaksud: “Dan makan dan minumlah, jangan kamu melampaui batas kerana Allah tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)

KESEDERHANAAN DALAM SEMUA ASPEK

Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, merupakan sesuatu yang membahayakan diri termasuklah dalam ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu. Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dalam sabda bermaksud :

“Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu, kerana Allah SWT tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti yang akan jemu.” – Riwayat Bukhari.

Namun tidak bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah Islamiah iaitu beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman dilakukan dengan penuh keyakinan tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima Allah.

Islam mengimbangi tuntutan jasmani dan rohani bersama tuntutan fardu ain dan kifayah. Imam al-Nawawi menyatakan pelaksanaan fardu kifayah itu dituntut ke atas semua orang Islam yang mukalaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu daripada seluruh umat Islam.

Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama menjalani kehidupan. Manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan penggemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu.

Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardu kifayah. Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardu ain dan yang menjadi fardu kifayah.

Sudah sampailah masanya kita tidak lagi memenuhi keperluan aspek fardu kifayah dalam bidang yang sempit. Kita tidak boleh menilai kerja secara berpilih. Bermula daripada pengutip sampah sehinggalah pemimpin nombor satu negara semuanya penting dan dihormati oleh Islam selagi ia diiringi dengan niat yang baik.

Islam menghormati penganut agama lain dan kebebasan beragama dijamin dalam Islam. Al-Quran merakamkan peraturan kebebasan beragama di mana tiada paksaan untuk memeluk Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 256. Al-Quran turut menggariskan pendekatan berdakwah secara berhujah dan memberi nasihat secara lembut serta sopan sebagaimana dalam Surah al-Nahl ayat 125.

Islam menggariskan langkah yang positif untuk memuliakan orang bukan Islam. Al-Quran memberi panduan dalam berinteraksi bersama penganut agama wathani (penyembah berhala), mereka memohon perlindungan kepada orang Islam sebagaimana dirakamkan oleh Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6 yang menyatakan agama Islam tidak sekadar memberi perlindungan dan menjamin keselamatan orang musyrik yang memohon perlindungan, malah diperintahkan untuk menjamin keselamatan mereka semasa perpindahan mereka ke negara yang ditujui.

Kesimpulannya, kesatuan ummah yang terdapat dalam Islam tidak hanya menghormati pemeluk-pemeluknya sahaja, malah ia menjamin keselamatan orang bukan Islam yang berada di negara Islam, mereka bebas mengamalkan akidah dan kepercayaan mereka, keselamatan diri, harta serta kehormatan mereka dijamin oleh Islam yang diberi hak sebagaimana diberi kepada orang Islam.

Itulah kebaikan dan keunggulan Islam yang menyeru perdamaian dan keharmonian sesama manusia. Senario ini dibuktikan oleh pendakwah Islam di alam Nusantara ini, mereka memperkenalkan agama Islam bukannya berperang menyebarkan agama ini yang diakui oleh Sir Thomas Arnold, tokoh sejarawan Barat dalam karya tersohor beliau ‘The Preaching of Islam’.

ISLAM AGAMA PRAKTIKAL

Islam agama praktikal. Al-Quran dan sirah merakamkan nabi-nabi dan tokoh terkemuka Islam terdahulu memiliki kepakaran sains dan teknologi seperti yang dibuktikan oleh Nabi Nuh a.s. membina bahtera, Nabi Daud a.s memiliki kepakaran dalam industri besi dan sebagainya. Islam menggalakkan ilmu pentadbiran, pengurusan dan perancangan dalam kehidupan umatnya. Al-Quran merakamkan Nabi Yusof a.s. yang terkenal menguruskan ekonomi kerajaan Mesir, sebagaimana mafhum Surah Yusof ayat 43-49 yang menyatakan tentang pengurusan bagi menghadapi masa hadapan.

Islam menggalakkan ilmu statistik seperti mana sirah merakamkan antara tindakan awal yang dilakukan oleh Rasulullah ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk Madinah. Islam menggalakkan penyelidikan seperti sirah merakamkan sabda Rasulullah SAW terhadap amalan sahabat yang mencantumkan mayang kurma untuk mendapatkan hasil yang baik.

Beginilah indahnya Islam. Dalam usaha menarik masyarakat mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan Islam yang lengkap, sederhana dan mudah serta praktikal seperti mana pada era Nabi SAW dan sahabat baginda. Inilah yang dikatakan Islam sebagai agama dan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemuanya terangkum dalam ibadah kepada Allah yang disertai dengan ikhlas dan takwa.