Peristiwa hijrah telah berjaya mengungkap kejayaan Rasulullah dalam membangunkan aspek keinsanan, kenegaraan dan ketamadunan ummah dengan berpaksikan akidah yang teguh. Inilah yang menjadi aspirasi kita dalam memastikan kelangsungan agenda perpaduan, keamanan dan kemakmuran di negara ini. Tanpa akidah, semua ini akan menjadi sia-sia dan terjadi banyak kerosakan.

Akidah tauhid merupakan asas yang menjadi kriteria utama bagi umat Islam. Ia telah menjadi asas kepada pembangunan tamadun Islam sejak dari zaman Rasulullah hingga ke hari ini melalui pelbagai peringkat perkembangan. Pada hari ini, terdapat fenomena di mana sebahagian daripada masyarakat Islam yang kurang jelas dalam melihat peranan akidah malah lebih cenderung menerima ilmu akidah sebagai ilmu yang bersifat teori semata-mata.

Akibatnya, peranan dan nilai praktikal ilmu akidah tidak terserlah dalam aktiviti kehidupan harian. Walaupun nilai ilmu mereka meningkat, namun nilai adab dan akhlaknya merosot. Fenomena ini menyumbang kepada tersebarnya ajaran sesat dan menyeleweng serta muncul pemahaman melampau dalam akidah yang menghalang pembangunan tamadun.

AKIDAH TUNJANG KEIMANAN

Akidah merupakan keyakinan diri Muslim kepada Allah yang menjadi tunjang keimanan. Bahkan ia menjadi tenaga utama peringkat dalaman yang bertindak mencetus, memotivasikan dan menggerakkan seluruh keupayaan mental dan fizikal manusia ke arah melaksanakan seluruh perintah Allah dalam kehidupan. Hal ini adalah sesuai dengan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk yang boleh di pimpin daripada dalam dirinya sendiri. Abu Hurairah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, atau Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya?.” – Riwayat Bukhari

Fitrah di sini ialah Islam yang diasaskan oleh pegangan akidah menerusi syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya. Kalimah ini membawa satu makna yang sangat dalam iaitu hanya Allah yang mengisi tempat utama di dalam segenap kehidupan, tindakan dan pemikiran setiap Muslim, di mana segala kehebatan ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan sejarah tamadun Islam terkandung di dalam kalimah yang mulia ini. Firman Allah di dalam surah Fussilat ayat 53:

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

PENJANA AMALAN MULIA

Akidah mampu merangsang dan memotivasikan seseorang Muslim untuk melakukan amalan baik dan mulia dalam hidupnya. Akidah yang tersemat kukuh dalam diri individu Muslim akan menggerakkan seluruh anggota pancainderanya untuk menterjemahkan secara praktikal seluruh arahan Allah yang diyakininya sebagai benar dan perlu dihayatinya dalam kehidupan.

Apa yang dikatakan iman atau akidah bukan sekadar kepercayaan yang pasif, tapi adalah suatu tenaga utama yang menggerakkan manusia agar melakukan amalan-amalan mulia selari dengan kehendak Allah bersandarkan keterangan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Natijahnya, akan lahir manusia yang optimis, tegas, tabah, berfikiran terbuka, berpandangan jauh dan berkeyakinan dalam hidup. Keyakinan kepada Allah akan menjadikannya insan yang mengambil kira soal dosa-pahala, halal-haram dan neraka-syurga dalam berfikir serta tindakan. Sesuatu keputusan yang dibuat atau tindakan yang dilakukannya, adalah berasaskan keyakinan diri terhadap prinsip-prinsip akidah yang dipegangnya.

PENYUMBANG BUDAYA ILMU

Akidah juga menyumbang kepada wujudnya budaya ilmu dalam sesuatu masyarakat. Budaya ini amat ditekankan dalam ajaran Islam. Justeru, kejayaan umat Islam silam pada zaman kegemilangannya dalam aspek memperkukuhkan budaya ilmu dalam masyarakat, membolehkan mereka membina sebuah peradaban dunia yang tiada tandingannya dalam sejarah kemanusiaan secara global. Hal ini jelas terkandung dalam Surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5 yang merupakan wahyu pertama.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Akidah yang benar berupaya melahirkan masyarakat harmoni yang hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Bahkan akidah mantap menjadi faktor untuk mendorong mereka menghargai hak orang lain seperti hak jiran, tetamu dan hak bagi semua orang termasuk hak setiap ahli keluarga sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka ia hendaklah berkata-kata dengan sesuatu perkataan yang baik atau berdiam diri, sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka ia hendaklah memuliakan jirannya dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka ia hendaklah memuliakan tetamunya.”

Berdasarkan pengajaran hadis ini, ternyata orang yang beriman tidak akan mengucapkan perkataan yang bohong apatah lagi yang mengandungi fitnah, bahkan mampu menyanggah perkara yang tidak benar kerana menyakini kekuasaan Allah dan pembalasan hari akhirat. Inilah satu bentuk kekuatan dalam mengekalkan keharmonian di dalam masyarakat sekeliling.

KESIMPULAN

Akidah yang mantap memainkan peranan penting dalam mencorakkan kejayaan umat Islam.

Penerapan nilai-nilai akidah dalam segenap kehidupan perlu dititikberatkan dalam menghadapi cabaran semasa khususnya dalam era globalisasi kini yang begitu mencabar.

Kekuatan akidah yang telah dizahirkan oleh baginda Nabi SAW dan para sahabatnya hendaklah dipelihara sepanjang masa.