Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kemajuan teknologi landasan sebar fitnah tanpa sedar

Posted by epondok di November 5, 2015


KEMAJUAN teknologi komunikasi jika tidak digunakan sebaiknya mampu menjadi punca masalah kepada masyarakat.
PENYEBARAN fitnah sememangnya mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web serta e-mel membolehkan penyebaran maklumat dilakukan dengan mudah, cepat, meluas dan murah.
Sepatutnya semakin ramai golongan berpendidikan maka tidak ramai yang terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Namun sebaliknya, bahkan ada golongan berpendidikan turut menjadi penyambung kepada lidah fitnah yang disebarkan itu. Berita diterima perlu dipastikan kesahihannya.
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran sepatutnya menjadikan kita tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang tidak diasaskan daripada kebenaran tetapi bertujuan mencemarkan nama baik orang lain. Bagi pemfitnah, semakin luas sebaran maklumat yang ditulis bermakna keuntungan diharapkan telah diperoleh. Namun, mereka lupa keuntungan dinikmati di dunia ini boleh menjadikan mereka muflis di akhirat. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis? Sahabat menjawab: Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda. Nabi SAW bersabda: Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Sejarah Islam menunjukkan bukti yang nyata di mana tiga khalifah Islam menjadi korban fitnah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib terbunuh. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda: “Orang Mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki-hamun).” (Riwayat Ibnu Mas’ud)
Bercakap perkara baik sahaja Rasulullah SAW juga berwasiat kepada Saidina Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali, kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali, jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga.”
Tidak dinafikan ada antara kita menjadikan penulisan berbaur fitnah serta dakwaan tanpa bukti kukuh sebagai kerjaya kerana ada yang menerima ganjaran daripada tugasan itu. Disebabkan itu, mereka terlupa etika penulisan dan hukuman terhadap pihak yang membuat fitnah atau berita palsu. Bahayanya sangkaan buruk diingatkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat, ayat 12)
Golongan itu semakin berani apabila bilangan mereka kian bertambah melalui komen diberi menggunakan bahasa kasar yang menyokong tindakan atau kata-kata mereka. Kini bukan sahaja tulisan, gambar turut disebar luas sesuka hati tanpa memikirkan kesan aib kepada pihak berkenaan. Fitnah dan tohmahan tidak mengenal siapa dan bagi yang suka menabur fitnah, kepuasan ialah apabila hasrat menjatuhkan seseorang itu tercapai. Apatah lagi jika ada ganjaran dalam bentuk material, tugas itu lebih bermakna. Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: “Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu? Sahabat menjawab: Belum. Lalu Nabi SAW bersabda: Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah.” (Riwayat Ahmad)
Kesan buruk kepada komuniti Keadaan yang berlaku hari ini menampakkan kegagalan masyarakat memikirkan kesan daripada perbuatan mereka terhadap orang lain. Ia juga memperlihatkan kejahilan mereka mengenai ajaran Islam yang melarang menyakiti saudara kerana umat Islam sepatutnya menyayangi saudara sebagaimana dia menyayangi dirinya. Kebebasan bersuara serta hak asasi yang diagung-agungkan kelompok tertentu juga menjadikan perbuatan memfitnah, membuat dakwaan palsu sebagai suatu yang boleh diterima atau tidak salah. Undang-undang juga nampaknya gagal mengekang kumpulan yang terus merasakan diri mereka kebal melakukan kesalahan. Tindakan itu sebenarnya menghilangkan rasa kasih sayang dalam jiwa umat dan menyebabkan terputusnya silaturahim yang sepatutnya menjadikan masyarakat kuat. Ia juga menjatuhkan martabat sesama kita dalam masyarakat.
Rasulullah SAW memberi amaran, sesiapa yang mendedahkan aib saudaranya maka Allah SWT akan mendedahkan aibnya di dunia lagi. Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: