Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mukmin utamakan akhirat berfikiran jauh

Posted by epondok di November 2, 2015


Oleh Nik Hasnah Ismail
MUKMIN perlu menambahkan amal ibadah sebagai persiapan kehidupan di akhirat.
BARANGKALI kita pernah mendengar cinta kepada bunga, bunga akan layu. Cinta kepada kumbang, kumbang akan pergi. Cinta kepada manusia, manusia akan mati dan cinta kepada Allah SWT kekal abadi. Satu perumpamaan indah dan mendalam ertinya iaitu matlamat cinta hakiki adalah milik Allah SWT.
Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustazah Muzayyanah Abdullah, berkata umat Islam harus sentiasa menambah rasa cinta, kasih dan sayang terhadap agama Allah SWT iaitu Islam.
Cinta adalah sesuatu yang subjektif, memiliki definisi cukup luas bagi setiap manusia. Ada orang memilih untuk mencintai kerjaya, pasangannya secara mendalam atau keluarga. Apa sahaja rasa cinta bukan sesuatu yang salah, namun jika kita memilih untuk mencintai agama Allah SWT, ia adalah pilihan paling tepat.
Menurut Muzayyanah, setiap manusia yang bernyawa, Allah SWT menganugerahkan perasaan cinta dalam sanubari mereka. Namun, perasaan cinta yang tertanam dalam kalbu itu ke manakah dihalakan? Terdapat sesetengah manusia menderita kerana cinta yang tidak diletak pada tempat yang sepatutnya.
Hijrah cinta dunia kepada akhirat
Justeru, manusia tidak boleh membiarkan sahaja cintanya kepada perkara yang tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan. Mukmin yang mengharap kasih sayang Allah SWT, harus menanam rasa cinta terhadap al-Khaliq dan melakukan penghijrahan daripada mencintai dunia kepada cinta akhirat. Penghijrahan cinta akan membawa manusia untuk memberikan cinta sepenuhnya kepada Allah SWT. Begitu juga dari cinta terhadap perkara disukai nafsu, dialihkan kepada cinta yang disukai Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Setiap manusia yang mahu menjadi Mukmin diredai Allah SWT, harus menanam matlamat dan fokus terhadap kejayaan dalam kehidupan. Orang yang melihat matlamat akhirat sebagai tujuan utama kehidupan adalah manusia yang berfikiran jauh kerana melihat hidup ini bukan untuk dunia sahaja. Hakikatnya, Mukmin yang melihat akhirat sebagai matlamat utama hidupnya akan dipayungi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kehidupan mereka sentiasa dibimbing kefahaman ilmu yang mendalam terhadap ajaran Islam yang benar.
Orang yang jauh daripada matlamat akhirat tidak akan mendapat kehidupan bahagia, manakala dunia sudah pastinya tidak kekal buat selama-lamanya. Perkara ini pernah diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab, “Jika manusia mengejar akhirat dunia akan turut serta dengannya, manakala manusia yang menjauhi akhirat, dunia akan lari kepadanya.”
Oleh itu, Mukmin haruslah berhijrah pemikiran, hati malah cinta daripada melihat dunia ini sebagai segala-galanya kepada menetapkan satu matlamat bahawa dunia sekadar persinggahan, manakala akhirat adalah tempat abadi buat selama-lamanya. Bagaimanapun, dalam melaksanakan peranan sebagai hamba Allah SWT, ambillah pendidikan yang disarankan Rasulullah SAW, “bekerjalah kamu seolah-olah akan hidup buat selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah akan mati pada esok hari.”
Ini akan memberi semangat kepada Mukmin untuk mempersiapkan diri menjadi umat Islam sejati yang sentiasa meningkat darjat ketakwaan di sisi Allah SWT. Rasa syukur hendaklah dizahirkan kepada-Nya terhadap nikmat iman dan Islam yang dikurniakan dengan mentaati segala perintah-Nya. Allah Yang Maha Penyayang akan sentiasa menyuluh hidup manusia melalui ilmu agama yang membawa Mukmin untuk sentiasa dekat dengan-Nya. Sabar, takwa tempuhi cabaran hidup Cabaran dan ujian adalah resam kehidupan justeru, walau sebesar manapun cabaran haruslah ditempuhi dengan kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Manusia yang beriman kepada Allah SWT harus sentiasa mencari jalan untuk mendapat kebaikan di samping istiqamah melakukan amal ibadah. Kekuatan kerohanian manusia membina cinta terhadap Allah SWT melalui ilmu agama dan beramal salih dengannya. Setiap apa sahaja kesenangan dan kesulitan yang dihadapi, hendaklah dipandang dengan sangkaan baik. Jika dibandingkan nikmat kesenangan yang Allah SWT kurniakan dengan kekurangan dalam amalan kita, amat jauh jaraknya.
Rahmat Allah SWT yang sentiasa memayungi hidup manusia menjadikan Mukmin itu sentiasa memiliki peluang untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah kepada-Nya. Oleh itu, Mukmin hendaklah sentiasa bermuhasabah kekurangan diri untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: