Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Cari kawan orang baik dorong semangat berhijrah

Posted by epondok di Oktober 16, 2015


Hasliza Hassan
Hijrah adalah jihad kerana mereka yang berhijrah berjihad di jalan Allah SWT. Kejayaan hijrah apabila diiringi jihad yang menghasilkan tindakan bersungguh-sungguh kerana tanpa kesungguhan, sukar untuk melalui proses transformasi. Pendakwah bebas yang juga murabbi program realiti, Dai Pendakwah Milenia Musim 3, Mohd Elyas Ismail, berkata cabaran dihadapi oleh mereka yang ingin melakukan perubahan ialah keyakinan diri serta tidak bersedia untuk keluar daripada zon selesa kerana hijrah akan membawa kepada zon lebih mencabar. “Zaman Nabi Muhammad SAW juga ada yang tidak menyertai hijrah Baginda kerana tidak yakin apabila terpaksa meninggalkan keluarga serta harta. “Tetapi bumi ini luas dan Allah SWT menjanjikan siapa yang berhijrah akan diberi rezeki yang melimpah dengan syarat mereka yakin pada janji Allah SWT,” katanya.
Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya sudah tetap pahalanya di sisi Allah. (Ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)
Mohd Elyas berkata, andainya ramai mengetahui kelebihan melakukan perubahan atau berhijrah ke arah kehidupan lebih baik bersandarkan ajaran Islam sebenar, pasti mereka akan meneruskan usaha menuju jalan kebaikan. Kembali kepada sunah Nabi Katanya, tidak dinafikan bukan mudah untuk memulakan penghijrahan dan bagi mereka yang berdepan masalah disarankan supaya kembali kepada al-Quran serta sunah Rasulullah SAW kerana berbekalkan ilmu daripada wahyu Allah SWT, proses itu akan lebih mudah. “Sering kita lihat ada yang berubah, tetapi tidak lama kerana tidak ada ilmu, jadi mereka gagal menghayati sepenuhnya perubahan yang ingin dilakukan itu. Apabila keadaan ini berlaku, kita perlu melihat perkara perlu jika ingin melakukan penghijrahan,” katanya.
Selain ilmu, golongan yang ingin berubah ke arah kebaikan digalakkan berkawan dengan orang yang baik yang boleh menjadi pendorong serta pemberi semangat kepada mereka seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)
Dekati golongan lebih baik Menurut Mohd Elyas, ‘bersama’ adalah kata kunci yang membantu menjayakan niat serta usaha mereka yang berhijrah kerana apabila bersama dengan golongan yang sudah berada di jalan kebaikan maka untuk sama-sama melakukan kebaikan akan lebih senang. Beliau mengambil contoh kisah lelaki yang membunuh 99 orang yang ingin berubah, tetapi apabila ada mengatakan dia tidak boleh berubah, maka dia genapkan mangsanya kepada 100. Namun, apabila ada menasihatkan dia pergi ke tempat lain untuk menemui seseorang, dia pergi berhijrah ke tempat itu. “Maknanya jika dia berada di tempat yang betul dengan kelompok yang benar, perubahan atau penghijrahan itu boleh berlaku. Apabila sudah mula berhijrah, kita hendaklah istiqamah iaitu konsisten dalam amalan. “Nabi Muhammad SAW berpesan kepada kita, sebaik amal di sisi Allah SWT itu adalah yang berterusan walaupun sedikit. Jadi, jika nak mula jangan pula kita menetapkan penanda aras terlalu tinggi. Mungkin boleh mula solat jemaah satu waktu dulu di masjid, kemudian dua waktu hingga boleh solat berjemaah lima waktu. ”
Apabila lengkap solat berjemaah lima waktu di masjid, kita tambah dengan melaksanakan solat sunat pula. Untuk berhijrah perlu ada 3S iaitu lahir daripada diri sendiri, lakukan sedikit demi sedikit dan lakukan sekarang,” katanya.
Penceramah motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata biar apa juga istilah digunakan sama ada hijrah, transformasi atau anjakan paradigma, roh inginkan perubahan itu tidak hilang kerana matlamatnya sama untuk melihat perubahan pada diri. Katanya, mereka yang berhijrah ingin melihat sesuatu yang baharu dalam diri seperti perubahan visi, kehidupan, cara kerja, kedudukan keluarga, pencapaian anak dalam pendidikan serta perkara lain yang menunjukkan peningkatan ke arah lebih baik. “Hijrah yang ingin kita lihat ialah hijrah jiwa, cita-cita, tindakan serta perasaan. Isteri bukan sekadar suri rumah, tetapi pasangan yang bawa bahagia kepada keluarga. Oleh itu, suami perlu melakukan perubahan melihat peranan isteri. ”
Begitu juga anak, bukan hak kita, tetapi milik Allah SWT yang diamanahkan kepada kita. Justeru, tanggungjawab ibu bapa memastikan anak mendapat kebahagiaan. Jangan lihat anak untuk lulus periksa sahaja tetapi bekalkan juga dengan keperluan kerohanian mereka,” katanya.
Beliau berkata, negara yang bahagia apabila keluarga harmoni serta mencapai sakinah (ketenangan dan ketenteraman). Oleh itu, melihat perkembangan hari ini, beliau merasakan perlunya pasangan suami isteri untuk melakukan transformasi dalam kehidupan berkeluarga. Isteri tak percaya suami Katanya, berdasarkan maklum balas diterima daripada wanita sama ada melalui program yang dianjurkan atau mereka yang datang mendapatkan nasihat, 99 peratus wanita mengaku tidak percaya seratus peratus kepada suami mereka. Ini menunjukkan tahap kepercayaan antara pasangan semakin menurun hingga menimbulkan lebih banyak prasangka yang akhirnya menjejaskan prinsip kejujuran dalam rumah tangga. Ia mendorong pasangan untuk curang dan tidak rasa bersalah melakukan maksiat.
Robiah berkata, keperluan asas keluarga adalah memiliki ilmu agama supaya dapat memahami seterusnya melalui proses penghijrahan termasuk dalam mendidik anak kerana terlalu menekankan keputusan akademik menyebabkan pendidikan rohani terabai. “Suami isteri perlu lebih menyayangi, memahami dan mempercayai. Ibu bapa pula perlu yakin dengan anak, jika tidak cemerlang akademik mungkin mereka mempunyai kecenderungan dalam bidang kemahiran. Apabila keluarga melakukan transformasi, negara turut berubah lebih baik,” katanya

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: