Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tanpa Islam manusia hilang arah

Posted by epondok di Oktober 7, 2015


BAYANGKAN hidup manusia tanpa agama yang sifatnya berpedoman. Dengan akal dan nafsu kemampuan manusia terbatas. Rasionaliti semata-mata tidak semua persoalan manusia terjawab. Manusia akan terus mengkaji dan mencari jawapan-jawapan lain kerana hidup ini sudah semakin kompleks.

Isu kebebasan yang dituntut oleh manusia terus dibahaskan. Setengah pihak mahu manusia bebas sebebasnya ibarat burung terbang. Burung pun akhirnya perlukan dahan untuk berhenti dan berehat. Burung pun perlu mencari makanan supaya kehidupan terus terjadi.

Kemampuan burung mencari rezeki dan mencari kehidupan ada batasannya.

Ibarat sebuah kereta di jalan raya ada had laju yang diaturkan. Kalau tidak, kemalangan boleh terjadi. Dalam bahasa mudah perlu ada batasan untuk kebaikan pemandu. Manusia juga begitu. Perlu ada had dan batasan supaya perjalanan hidup tidak melampau.

Pelampauan membawa kepada keadaan yang tidak seimbang. Keseimbangan adalah kunci kehidupan. Tanpa keseimbangan kehidupan jadi pincang. Inilah asas beragama yang ada pada Islam.

Islam tidak menolak kepentingan akal. Tetapi cakupan akal sebagai asas berilmu terbatas. Akal yang dipandu oleh naql atau wahyu menjadikan ia berpedoman. Pedoman terhadap akal tidak sahaja tahu yang nampak tetapi memahami yang ghaib.

ALLAH adalah sesuatu yang ghaib. Malaikat, syurga dan neraka adalah ghaib. Memahami yang ghaib bukan di makmal sains tetapi sumbernya al Quran. Bila faktor naqli dan aqli bertaut ia membentuk ululalbab (manusia yang mengetahui). Wujud keserasian mengatasi logik kerana yang ghaib adalah sedemikian.

Justeru pencarian manusia mengenai kebenaran hakiki tidak dengan proses akal semata-mata. Akal yang dipandu naql (wahyu) bakal membentuk fikrah yang betul bukannya firqah (kumpulan) yang sesat dan menyeleweng.

Mutakhir ini terlalu banyak penyimpangan dalam hidup akibat perkembangan ideologi dan fahaman yang dianuti dan bercanggah dengan fitrah insan. Faham liberal yang melampau menyebabkan agama tertolak dan pertimbangan terhadap hidup lebih menumpu kepada rasional dan nafsu nafsi.

Lalu terhasil corak kehidupan yang memuja kebendaan dan hedonisme dan merosakkan struktur kekeluargaan sehingga amalan songsang dibenarkan oleh undang-undang dan menyebabkan isu moral dan akhlak terjadi. Kegiatan gay dan lesbian berkembang, penyakit
HIV/Aids mewabak dan isu warisan dan keturunan berbangkit.

Logik akhirnya manusia akan mencari suatu Sistem  Kepercayaan dan Cara Hidup yang lebih fitrah dan memberikan keseimbangan tuntutan jasmani dan rohani manusia supaya kehidupan menjadi lebih terarah dan seimbang.

Islam menjadi jawapan terhadap keperluan ini. Umat Islam perlu melakukan dakwah dengan bijaksana, sabar dan mengambil pendekatan membangun fikrah yang seimbang supaya dakwah dan tarbiyyah mengajak manusia berfikir dengan dukungan ilmu dan tarbiyyah dengan contoh teladan yang baik.

Umat Islam harus memiliki kualiti kasih sayang yang tinggi, sifat tolak-ansur yang munasabah dan tidak putus asa dengan cabaran dan ujian yang mendatang supaya tekad untuk membawa perubahan kepada manusia terjadi.

Perkembangan teknologi komunikasi dan telekomunikasi semasa perlu dimanfaatkan supaya lahir tekno-daie yang memiliki upaya menyantuni mad’u (sasaran) dengan pengisian yang cukup bermakna dalam gerak kerja maya yang dinamik. Fikrah Islami amat perlu bagi manusia supaya hala tuju kehidupan manusia berada di landasan yang benar dan betul.

Tidak saja Barat dan Eropah perlukan Islam, negara-negara di sekitar Balkan dan China mempunyai potensi untuk Islam berkembang. Semestinya kepentingan ilmu yang terkait dengan etika tinggi dan nilai-nilai manusiawi yang jernih disuburkan dalam sistem pendidikan supaya akhirnya Islam yang ditemui bukan sekadar ritual tetapi ke arah pembangunan tamadun.

Sejarah Islam Abbasiyyah, Andalusia dan Uthmaniah umpamanya menjadi bukti pengaruh Islam mampu berkembang tidak saja dalam aspek diniah (agama) tetapi manifestasi agama terlihat dalam ilmu, sains dan teknologi dan akhirnya merintis jalan ke arah suatu tamadun. Barat terhutang ilmu kepada tamadun ini. Sekiranya reflektif terhadap pencapaian silam diolah kembali dan sifatnya futuristik ke arah membangun Alaf 21, tidak mustahil umat manusia akan kembali kepada agama Islam seutuhnya.

*  Dr Sidek Baba

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: