Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Berkorban kena ikhlas, bukan harap pujian

Posted by epondok di Oktober 3, 2015


Nik Hasnah Ismail

Jika ditanya sepanjang kehidupan pernahkah kita melakukan pengorbanan, pastinya tidak seorang pun daripada kita menafikan perkara itu kerana setiap manusia pernah berkorban walaupun hanya melakukan pengorbanan kecil.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm, jam 10.15 pagi, setiap Jumaat, Ustazah Muzayyanah Abdullah mengupas sejauh mana nilai pengorbanan yang dilakukan itu benar-benar memberi manfaat besar kepada orang lain. Sebagai seorang Mukmin yang mengharap hidayah dan rahmat Allah SWT, kita jangan menjadi manusia yang hanya sibuk menagih pahala Allah SWT, sedangkan pengorbanan dilakukan tidak membawa kesan besar kepada agama dan kehidupan.

Menurut Muzayyanah, nilai pengorbanan ialah berkorban apa sahaja selagi ada kemampuan dan keikhlasan melaksanakannya. Bagaimanapun, pengorbanan yang benar-benar membawa makna besar bagi seseorang adalah pengorbanan dilakukan terhadap sesuatu paling disayangi dan dicintai. Seorang Mukmin yang melakukan pengorbanan kerana Allah SWT, tidak pernah berkira berapa banyak nilai pengorbanan itu, sebaliknya hanya mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata. Apa juga ibadah dan perbuatan hendaklah dilaksanakan dengan hati ikhlas.

Nilai ibadah di sisi Tuhan Berapa tinggi nilai ibadah kita bukan perkara utama kerana kita lakukan bukan bertujuan untuk mendapat pujian daripada manusia tetapi dinilai oleh Allah SWT supaya akhirnya kesudahan hidup kita nanti berakhir dengan husnul khatimah serta hidup bahagia dalam syurga Allah SWT. Seorang Mukmin hendaklah sentiasa bermuhasabah terhadap apa juga amalan yang dikerjakan. Hendaklah selalu menilai ibadah supaya kita tidak menjadi orang yang membuat amalan secara sia-sia kerana niat untuk mendapat perhatian manusia. Contohnya, kita berkira-kira dengan harga satu bahagian atau seekor lembu korban dan akhirnya tidak melaksanakan ibadah korban. Pada hal, jika dibandingkan, kita mampu dan barangkali lebih banyak berhabis wang kepada perkara tidak memberi manfaat untuk agama Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Pengorbanan peroleh kemanisan Pengorbanan terdapat dalam pelbagai bentuk, ada yang berkorban perasaan, masa, harta benda dan kasih sayang atau cinta sekalipun. Apa yang pasti, setiap pengorbanan pastinya akan memperoleh kemanisan pada hujungnya. Seorang ibu yang berkorban waktu, kepentingan diri demi memastikan kejayaan anaknya, begitu juga Mukmin yang mengorbankan waktu tidur malamnya untuk mendekatkan diri kepada Allah, pastinya pengorbanan dirasai sukar itu akan mendapat rasa manis pada akhirnya. Oleh itu, jangan sesekali kita melihat pengorbanan sebagai sesuatu yang sulit sehingga sukar untuk melaksanakannya. Berkorbanlah kerana taat perintah Allah SWT, nescaya kita akan dapat membina keperibadian dan akhlak tinggi serta menjadi manusia sentiasa reda dengan ujian-Nya.

Manusia dituntut cari ilmu Allah SWT tidak menjadikan sesuatu secara sia-sia melainkan bertujuan memberi pendidikan dan pengajaran bagi manusia teladani. Sebab itulah kita dituntut mencari ilmu kerana ilmu menjadikan kita manusia yang benar-benar faham seruan dan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Jika kita benar-benar memahami ajaran agama Islam, sudah pasti kita sanggup melakukan pengorbanan hatta darah dan air mata sanggup dikorbankan. Demi kasih sayang kepada agama Allah SWT dan cinta Nabi Muhammad SAW pastinya kita sanggup melakukan pengorbanan sebagai tanda keimanan. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: