Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hidup dunia sementara, akhirat itu kekal selamanya

Posted by epondok di Oktober 2, 2015


TERDAPAT manusia berfikir seolah-olah hidup ini kekal selama-lamanya dengan nikmat duniawi yang banyak. Mereka lupa ALLAH dan seolah-olah mereka terjadi dengan sendiri dan mempunyai kudrat sendiri. ALLAH tidak menciptanya dan tidak mengurniakan rahmah dan nikmah bagi meneruskan kehidupan.

Manusia sebegini terdiri daripada orang-orang yang lupa dan lalai serta jahil mengenai petunjuk dan kebenaran. Ia tidak mendapat cahaya iman dan menyebabkan kesesatan terjadi. Dunia dianggap segala-gala dan terlupa bahawa mereka akhirnya akan kembali.

Dunia ini diibaratkan ladang tempat kita bercucuk tanam supaya mendapat hasil yang baik. Hasil apa yang dituai adalah pertanda mengenai nilai kehadiran kita di dunia, sama ada menyumbang terhadap kehidupan atau berpulang tangan kosong apabila kembali bertemu Pencipta nanti.

Kembalinya kita kepada Pencipta membawa keinsafan bahawa hanya tamu yang diberi hayat sementara untuk kehidupan lebih bermakna kerana pertimbangan ukhrawi menjadi landasan yang mempedoman kehidupan itu sendiri.

Terdapat manusia percaya akan kematian kerana melihat dan mendengar kematian itu terjadi kepada manusia dan makhluk tetapi terdapat manusia yang tidak yakin akan kematian yang membawa natijah akhirat.

Kehidupan yang meyakini natijah akhirat mempunyai keyakinan bahawa kita dijadikan dalam alam ini mempunyai maksud melakukan ibadah kepadaNya. Ibadah itu dilakukan supaya ia menjadi pedoman hidup kepada kita dengan asas aqidah yang benar, batas syariah yang sifatnya membimbing dan panduan akhlak yang menyebabkan kita memiliki contoh dan watak mithali.

Ia membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk yang lain kerana insan diberikan akal untuk berfikir dan menjana ilmu, insan juga diberikan hati untuk membina niat dan melakukan timbangan dan daya menjadi asas perbuatan serta amal supaya ia selari dengan akal budi yang membentuk contoh ikutan.

Bagi yang berfikir, manusia patut tahu ada sebab mengapa ia diciptakan. Ada sebab manusia diberi akal, hati dan daya supaya kehidupan terjadi. Ada sebab sumber rahmah dan nikmah yang banyak dikurniakan ALLAH hikmahnya adalah untuk keperluan hidup manusia. Manusia tidak dijadikan dengan sia-sia seolah-olah statusnya sama seperti haiwan.

Justeru dengan akal, hati dan daya manusia dapat berfikir bahawa kejadiannya bermaksud. Maksud utama seperti yang diungkapkan oleh al-Quran ialah melakukan ibadah kepadaNya. Sesuatu ibadah dilakukan dengan ikhlas hikmahnya kembali semula kepada diri manusia itu sendiri.

Sebab itu hidup yang sementara ini bertujuan menuju jalan yang kekal dan lama. Untuk menuju jalan yang kekal dan lama kehidupan itu sendiri harus memberi makna. Makna kehidupan ikut cara Islam ialah memiliki ikatan ubudiyyah dengan ALLAH sebagai Pencipta dan Pemberi Rahmah atas segala.

Ikatan ubudiyyah ini sangat penting dijalin kerana manusia harus memiliki keyakinan kuat terhadap ALLAH menginsafi kudrat insani terbatas. Lalu dalam melaksanakan ibadah niat yang ikhlas dan sifat reda yang tinggi dimiliki. Ia dipedomankan dengan jalur syariah yang membimbing manusia dalam batas yang terizin dan menghindarkan yang terlarang supaya terbina akhlak karimah yang menjadi contoh ikutan dan teladan.

Landasan ini penting diteroka dan dipatuhi supaya jalur hidup berada dalam batas kehambaan dan kekhalifahan mengambil dimensi menegak (hablumminallah) dan mengambil dimensi merentas (hablumminannas). Asas ini terlalu penting kerana ia menjadi sumber amal soleh yang akan bersama dengan kita apabila kembali bertemu ALLAH nanti.

Bila pertimbangan duniawi dihubungkan dengan pertimbangan ukhrawi maka setiap apa yang kita niatkan, lafazkan, amalkan sentiasa dalam pertimbangan ALLAH Melihat, ALLAH Mengetahui dan ALLAH Pemberi Rahmah dan ALLAH Maha Pengampun.

Asas ini bila terbina dalam diri insan ia berada atas landasan, siratulmustakim iaitu jalan yang lurus. Jalan yang lurus ini akan membawa manusia kepada suatu kesudahan, iaitu kembali bertemu denganNya dalam keadaan saling merelakan. Inilah sebenarnya makna kehidupan dan kematian yang mengambil kira fiddunya hasanah, wabil aakirati hasanah waqina ‘azabannar iaitu kehidupan di dunia yang baik dan kehidupan akhirat yang baik juga.

 Sidek Baba

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: