Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jihad tegakkan agama perlu pemimpin mampu satukan umat

Posted by epondok di Oktober 1, 2015


Oleh Shukri Yusof
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), mengenai (kisah) ketua-ketua dari Bani Israel sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: Lantiklah seorang raja untuk kamu supaya boleh kami berperang (bersama dengannya) pada jalan Allah. Nabi mereka menjawab: Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang? Mereka berkata: Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dari) anak kami? Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 246)
Allah SWT mendedahkan satu kisah yang berlaku pada Bani Israel ketika mereka diancam penjajah yang menindas keluarga dan anak mereka. Sebahagian besar mereka berpendapat tidak ada jalan mengembalikan keadaan yang aman dan selamat daripada ancaman musuh kecuali berjihad pada jalan Allah SWT. Perlu ada semangat jihad Ayat ini menunjukkan jihad kerana menegakkan agama Allah SWT perlu kepada pemimpin yang diterima umat. Mana-mana peperangan yang tiada pemimpin yang mampu menyatukan umat sering kali membawa kerugian sebagaimana nasib menimpa umat Islam hari ini. Mereka berperang menentang penjajah di bahawa payung politik sempit, akibatnya mereka rugi dunia dan agama.
Al-Quran tidak menyebut nama nabi ini kerana menyebut nama tidak menambah suatu apa dalam cerita ini. Mereka menemui nabi mereka dan menuntut beliau melantik seorang raja supaya mereka dapat berperang fisabilillah di bawah pimpinannya. Perbuatan mereka menentukan sifat peperangan itu sebagai peperangan fisabilillah membayangkan satu kesedaran keagamaan yang wujud dalam hati dan kesedaran keimanan yang tercetus di jiwa mereka. Kisah dalam al-Quran disebut untuk memberi peringatan dan nasihat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, kisah nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Oleh itu, kisah ini disebutkan sekadar keperluan untuk memberi faedah. Di sini kita dapat melihat sifat Bani Israel yang suka memungkiri janji, mengelak daripada ketaatan, enggan melaksanakan tugas, berpecah belah dan berpaling daripada kebenaran yang jelas. Pada masa sama, sifat itu juga adalah sifat setiap golongan mukminin yang belum kuat keimanan mereka, malah ia sifat manusia umumnya. Hanya didikan keimanan yang tinggi dan mendalam sahaja dapat mengubah sifat itu. Justeru, sifat itu perlu mendapat perhatian berhati-hati dari pihak kepimpinan dan diberi perhitungan ketika menghadapi jalan perjuangan sukar supaya mereka tidak menghadapinya secara mendadak yang membuat perkara itu bertambah buruk kepada mereka.
Bani Israel diwajibkan berperang selepas meminta perkara itu kepada nabi mereka dan dibangkitkan untuk mereka seorang raja. Namun, mereka enggan berperang dan mengabaikan perintah Allah SWT setelah menyaksikan kekuatan musuh walaupun ada yang mahu menyeberangi sungai bersama Raja Talut.
Berpaling daripada kewajipan
Di hujung ayat digambarkan ramai yang berpaling daripada kewajipan berjihad setelah mereka menuntutnya. Sebelum itu mereka orang yang zalim, zalim terhadap diri sendiri, terhadap nabi mereka dan perjuangan yang benar telah dikecewakan mereka. Sedangkan mereka sedar perjuangan itu benar kemudian mereka menyerahkannya kepada pejuang kebatilan. Kezaliman menolak jihad bukan hanya terhadap diri sendiri, tetapi juga masyarakat dan generasi akan datang. Ini menunjukkan kezaliman kerana menentang usaha ke arah keadilan.
Pengajaran ayat ini ialah bangsa yang lemah kadangkala terfikir untuk melakukan pembelaan dan perlawanan ketika dirasakan perlu. Orang yang zalim terhadap diri dan bangsa mereka keluar meninggalkan perjuangan untuk membela bangsanya dengan memelihara haknya. Oleh itu, mereka menjadi bangsa paling hina dan tercela di dunia serta mendapat seksaan di akhirat nanti. Hanya penting nikmat hidup Ayat ini adalah ancaman terhadap orang yang sama dengan mereka. Al-Quran mengatakan, ayat ini memberikan gambaran kebiasaan hidup umat yang hanya mementingkan kenikmatan hidup sahaja. Mereka menyatakan ingin berperang apabila mengalami kesusahan tetapi tiba waktunya mereka lari dan bersikap pengecut. Ingatlah, Allah SWT Maha Mengetahui akan orang zalim yang tidak mahu berperang di jalan Allah SWT. Jalan perjuangan yang jelas dan tegas adalah separuh jalan menuju kemenangan. Oleh itu, setiap mukmin pasti berasa jelas dalam hatinya dia berada di atas jalan yang benar dan musuhnya di atas jalan yang batil. Matlamat dalam hatinya semata-mata kerana Allah SWT dan sekali-kali tidak diselubungi kekeliruan serta kekaburan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: