Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2015

Kehebatan sayap para malaikat

Posted by epondok di Oktober 31, 2015

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL- HAFIZ

SAMPAI akhirnya. Alhamdulillah! Ketika hampir mendarat mata saya terpaku kepada sayap pesawat SV 828. Hebat sekali otak manusia yang mampu mencipta kapal terbang hingga mampu digerakkan dengan struktur fizikalnya yang unik. Pergerakan sejauh ribuan kilometer dikawal hanya dengan beberapa enjin dan dua sayap. Lalu hati teringat kehebatan makhluk Allah yang jauh lebih banyak sayapnya iaitu para malaikat.

Anda pernah melihat malaikat? Anda percaya malaikat? Ya! Sudah pasti! Ia adalah antara rukun iman. Walaupun tidak kelihatan di mata, malaikat sentiasa dekat di hati manusia. Manusia kufur sejahat Firaun pun percaya wujudnya malaikat: “(Firaun berkata lagi)(Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya).” (al-Zukhruf[43:53]).

Bukan setakat itu, watak adiwira pembela manusia tertindas pun dikhayalkan sehebat malaikat. Mampu terbang, bergerak sepantas kilat dan melakukan yang mustahil.

Dalam bicara al-Quran, malaikat adalah duta Allah kepada manusia: “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap, dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Fatir [35:1]).

PELBAGAI PORTFOLIO MALAIKAT

Rupanya malaikat juga dipanggil “Rasul” atau “utusan Allah” dengan pelbagai jawatan dan portfolionya:“Allah memilih utusan-utusan-Nya daripada malaikat dan manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Hajj[22:75]).

Antara jawatan tetap `kerasulan’ mereka adalah pencatat rekod amalan dan mengambil nyawa: “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (Malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (al-An’am [6:61]).

Ayat surah Fatir di atas menyebut antara `spesifikasi utama’ para malaikat adalah bersayap dan sayap mereka pula berbeza mengikut kehendak Allah.

Samalah seperti dunia manusia, enjin berbeza membawa kapasiti dan kemampuan berbeza pada pesawat ciptaan manusia.

Jibril a.s. diiktiraf antara malaikat terkuat yang sangat bijaksana:“Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril yang amat kuat gagah lagi mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal,” (al-Najm[53:5-6]).

“Kekuatannya pula ditambah pada sayapnya yang bukan dua, tiga atau empat tetapi mencecah 600 buah sayap. Antara dua sayapnya seluas timur dan barat.” – Sahih Bukhari, Muslim.

Segala kepelbagaian ini jelas menunjukkan Allah adalah Tuhan sebenar alam semesta yang mampu mencipta dalam berbagai rupa bentuk. Selepas ini jika anda berasa kagum dengan kehebatan malaikat, keindahan alam atau kehebatan manusia, segeralah ingat bahawa mereka semua hanyalah pantulan kehebatan Allah di alam ini. Janganlah kita terpedaya pada kanvas sebaliknya kagumilah Pencipta atau Pelukis kanvas tersebut.

Semoga musafir haji kali ini memberi pengajaran yang penting untuk hidup kita semua. Ya Allah, terimalah ibadah haji kami ini sebagai `Haji yang Mabrur’ dan mengubah kami menjadi hamba-Mu yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan sehingga akhir hayat kami.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2015 di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas

Posted by epondok di Oktober 30, 2015

IMG-20151028-WA0033

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Ikut semangat Aus, Khazraj satu padukan umat

Posted by epondok di Oktober 30, 2015

SELEPAS hijrah Nabi Muhammad SAW, tidak ada hijrah lagi, namun semangat berpindah atau melakukan perubahan ke arah keadaan lebih baik adalah hikmah perlu difahami serta dihayati daripada peristiwa yang diraikan umat Islam di negara ini setiap tahun.
Penolong Pengarah Pengurusan Pengembangan Syiar Islam, Unit Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Abd Aziz Disa, berkata ini kerana impak hijrah memberi satu perubahan kepada diri mereka yang melakukannya.
Mengimbau kronologi peristiwa sebelum Nabi Muhammad SAW membuat penghijrahan meninggalkan Makkah ke Madinah dalam usaha memastikan Islam tersebar serta berkembang luas, katanya, setiap ujian dihadapi membawa hikmah tersendiri. “Ia menjelaskan kepada kita peringatan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Adakah manusia yang mengaku beriman itu menyangka mereka tidak akan diuji. Allah SWT menguji setiap kita dengan ujian yang pelbagai,” katanya pada ceramah sempena Maal Hijrah baru-baru ini.
Katanya, mereka yang kuat diuji ialah Rasul yang menyampaikan dakwah kepada umatnya khususnya Rasul ulul azmi kerana memiliki ketabahan serta kesabaran luar biasa menghadapi cabaran menyebarkan agama Allah SWT sementara Rasulullah SAW paling banyak diuji.
Kesedaran kepada umat Islam
Abdul Aziz berkata, ujian dihadapi Rasulullah SAW jika dikenang kembali sepatutnya memberi kesedaran kepada umat Islam hari ini yang hidup dalam suasana di mana mereka bebas melakukan ibadah serta mengamalkan ajaran Islam sebenar. Sedangkan katanya, dalam usaha menyebarkan agama Islam, Baginda SAW yang diutuskan Allah SWT dinafikan hak kebebasan untuk beribadah, malah Baginda diganggu serta ditawarkan pelbagai perkara termasuk harta dan kuasa dengan syarat sanggup meninggalkan Islam.
Antara dugaan dihadapi Nabi Muhammad SAW, diletakkan najis haiwan di kepala Baginda ketika beribadah di Kaabah oleh Aqabah bin Abi Muit. Baginda juga cedera apabila cuba mengajak penduduk Taif kepada Islam. “Malah Musyrikin Makkah pernah menawarkan syarat menang-menang kepada Rasulullah SAW iaitu tahun ini mereka menyembah Tuhan Baginda, manakala tahun hadapan pula Baginda menyembah Tuhan mereka pula. ”
Tidak berjaya dengan pujukan, mereka membuat pemulauan ekonomi dan menurut riwayat keadaan itu berlanjutan tiga tahun menyebabkan umat Islam terpaksa makan daun kayu. Tetapi Rasulullah SAW dan sahabat tetap bertahan. Ada juga usaha mendapat pertolongan pihak lain, tetapi tidak berjaya,” katanya.
Beliau berkata, melihat tentangan dihadapi Rasulullah SAW itu sepatutnya menimbulkan kesedaran di jiwa umat Islam untuk menghargai nikmat Islam dikurniakan serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.
Hayati maksud ayat al-Quran
Abd Aziz berkata, antara caranya ialah mempelajari al-Quran, memahami maksud ayat dan menghayati mesej disampaikan kerana bagi mereka yang membaca kalam Allah SWT itu berapa ramai yang berasa gerun dengan amaran diberi. Mengambil contoh amalan membaca surah Yasin dalam kalangan masyarakat Islam, adakah ayat yang dibaca, malah dihafal kebanyakan kita berjaya menimbulkan rasa gerun kerana terdapat cerita mengenai neraka serta azab seksaan. “Jika kita faham ayat dalam surah Yasin itu, kita akan takut untuk membuat kesilapan kerana Allah sudah beri amaran iaitu di mana pada Hari Kiamat nanti mulut akan dikunci sebaliknya tangan yang akan memberitahu kesalahan dilakukan.
“Sebaiknya kita mula belajar al-Quran dengan betul jika tidak mahu malu di hadapan Allah SWT nanti. Sekarang pun kita sudah ada ramai ahli ibadah, tetapi melakukan ibadah dalam keadaan jahil. Jangan kita mati dalam keadaan tidak mula berhijrah mendekatkan diri dengan agama Allah SWT,” katanya.
Katanya, sirah yang berlaku kepada umat terdahulu ibarat kitaran hidup dan ia akan berulang justeru, umat Islam perlu belajar daripada sirah, melihat kejadian menimpa umat sebelum ini serta mengambil pengajaran daripadanya. Mengaitkan sirah dengan perkembangan semasa, beliau mengambil contoh keadaan umat Islam yang terpaksa membawa diri mendapatkan bantuan dari negara bukan Islam disebabkan kekacauan berlaku di negara mereka.
Beliau berkata, umat Islam dahulu pergi ke Habsyah untuk meminta perlindungan serta menyelamatkan keimanan mereka. Kedatangan mereka disambut baik pemerintah Habsyah walaupun ada usaha pihak Musyrikin membawa mereka kembali ke negara asal. Umat Islam kini saling berdengki Malangnya, adalah menyedihkan apabila negara Islam hari ini tidak menerima saudara mereka, malah antara umat Islam pula saling berdengki.
Oleh itu katanya, keadaan itu perlu diubah dan umat Islam perlu mengambil semangat kaum Aus dan Khazraj yang membantu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. “Pada masa sama kekalkan semangat untuk mengamalkan sunah Rasulullah SAW. Tanya diri apa kita buat untuk mempertahankan Rasulullah SAW kerana tidak malukah kita nanti tidak berbuat apa-apa, tetapi di akhirat ingin meminta syafaat Baginda,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2015 di Pondok Darulnaim, Melor, Kelantan

Posted by epondok di Oktober 29, 2015

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Sediakan bajet ibadat setahun

Posted by epondok di Oktober 29, 2015

MOHD. ALI MUHAMAD DON

 

Umat Islam sentiasa diajak untuk menyediakan bajet setahun beramal menggunakan wang ringgit. Ini bagi membuktikan kesyukuran dan tanda pengabdian yang tidak berbelah-bahagi atas sekalian banyak nikmat yang di­terima. Selain sebagai ibadah sukarela yang mudah-mudahan dapat menutup lompang-lompang dan kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib.

Ini boleh dimulakan dengan menyediakan bajet harian untuk bersedekah dan memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Dengan cara ini para Muslimin dapat mengikis sifat negatif seperti bakhil dan cintakan kemewahan dunia yang sementara. Usaha ini boleh dikembangkan lagi dengan me­nyumbang kepada tabung Jumaat sebagai sedekah bersifat ming­guan. Untuk itu sejumlah peruntukan perlu ditentukan sejak awal tahun supaya seseorang sentiasa istiqamah bersedekah. Malah jumlah sumba­ngan itu eloklah ditambah sesuai dengan keperluan semasa.

Bayangkan jika seseorang hanya sekadar menyumbang sebanyak RM1 setiap Jumaat, secara purata hanya kira-kira RM48 sahaja yang didermakan sepanjang tahun. Fi­kirkanlah pula apa yang dapat dimanfaatkan oleh pengurusan masjid dengan sumbangan yang tak seberapa sedangkan sesetengah mas­jid dan surau kini dilengkapi dengan sistem pendingin hawa dan permaidani empuk untuk kemudahan jemaah.

Dalam situasi lain terdapat pula yang tidak keberatan untuk menyediakan peruntukan besar bagi perkara-perkara yang kurang berfaedah seperti membeli peralatan menghisap rokok elektrik yang bernilai ratusan ringgit. Setiap individu Muslim sepatutnya berfikir tentang persiapan untuk kembali bertemu Ilahi yang bakal tiba pada bila-bila masa tanpa disangka-sangka.

Selain itu setiap individu Muslim disaran menyediakan bajet awal untuk menyambut ketibaan Ramadan tahun depan dengan menentukan bajet untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Memandang­kan ketika Ramadan segala amal ibadah dilipatgandakan pahalanya maka kesempatan ini mestilah direbut dengan meningkatkan jumlah tabungan amal kebajikan untuk manfaat diri sendiri.

Begitu pula ketika bulan Zulhijah masyarakat Islam digalakkan untuk mengorbankan binatang ternakan sebagai mencontohi pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Persoalannya setelah sekian banyak wang ringgit kita belanjakan sepanjang tahun mengapa tidak setahun sekali para Muslimin mengorbankan sebahagian kecil daripada gaji untuk beribadah kepada Allah SWT pula. Ini dapat dilakukan dengan menabung sejak awal tahun supaya tidak sekadar menjadi penonton setiap kali ibadah korban dilaksanakan.

Bagi yang belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci pula bolehlah menabung kira-kira RM100 sebulan. Jika istiqamah dilaksanakan, dalam tempoh 10 tahun wang tabungan untuk menunaikan fardu haji sudah mencukupi dan hanya perlu menanti jemputan ke Tanah Suci. Ataupun dalam tempoh lima hingga enam tahun menabung jumlah yang ada sudah memadai untuk menunaikan umrah.

Diingatkan juga betapa sedekah jariah ataupun wakaf sangat bermanfaat untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Wakaf yang bersifat kekal menyediakan pahala bagi pewakaf yang berpanjangan selama-lamanya. Untuk itu selagi hayat dikandung badan usahlah dilepaskan kesempatan untuk berwakaf dalam pelbagai keperluan kehidupan. Selain wakaf untuk masjid dan tanah perkuburan kini universiti juga memerlukan sejumlah dana wakaf untuk membiayai aktiviti akademik dan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.

Justeru setiap Muslimin diajak untuk menghilangkan perangai mazmumah seperti kedekut dan merasa kehilangan apabila menginfakkan harta fisabilillah, kerana pasti ada ganjaran setimpal yang menanti di sana. Allah SWT berfirman maksudnya;

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Terjemahan Surah Saba:39)

Oleh itu usahlah ditunggu sehingga detik-detik akhir menjelang kematian baharu berharap untuk bersedekah dan berbuat kebajikan kerana pada ketika itu tiada apa yang dapat dilakukan melainkan berserah diri kepada ketentuan Tuhan.

Perlu juga diingat betapa se­dekah dapat menghapuskan do­sa-dosa sepertimana air memadamkan api. Malah sedekah mempermudahkan laluan ke syurga, penawar kepada penyakit-penyakit selain bertambah rezeki dan berkat kehidupan dengan asbab doa daripada penerima sedekah. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada syurga, dekat kepada manusia, jauh dari neraka. Orang yang kedekut itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia dan dekat kepada neraka. Orang jahil yang dermawan pula lebih dicintai oleh Allah daripada ahli ibadah yang kedekut.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dalam bersedekah tiada jumlah atau kadar tertentu yang ditetapkan. Sedikit ataupun banyak bergantung kepada kemampuan. Yang penting ialah ikhlas ketika memberi. Lebih elok lagi jika pemberian itu dirahsiakan bagi mengelak timbul riak dan perasaan meninggi diri. Boleh juga dilakukan secara terang-terangan sebagai motivasi untuk orang lain turut bersedekah.

Bersempena dengan tahun baharu 1437 Hijrah ini, masyarakat Islam diajak mempertingkatkan amalan kebajikan sepanjang masa dalam erti kata hijrah yang sebenar. Usah seperti hangat-hangat tahi ayam dengan pelbagai azam dan cita-cita ibadah di awal tahun kemudian ditinggalkan satu persatu setelah culas dan berkira-kira untuk melaksanakannya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/sediakan-bajet-ibadah-setahun-1.149507#sthash.zkoHB8BF.dpuf

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rezeki, biar sedikit tetapi berkat

Posted by epondok di Oktober 28, 2015

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

HIDUP senang-lenang memang idaman manusia. Islam pun tidak melarang umatnya menjadi kaya-raya asalkan cara mengumpul harta dan kekayaan itu dibenarkan oleh syarak. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah setiap apa yang dikurniakan Allah kepada kamu di akhirat dan jangan kamu lupa nasib kamu di dunia. Dan berbuat baiklah seperti mana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melakukan kerosakan.” (al-Qasas: 77)

Malangnya ada umat Islam yang terlibat dalam rasuah. Punca utama, ingin hidup mewah melalui cara mudah iaitu menindas orang lain. Sebab itu, membaca laporan media Rabu lalu tentang penangkapan 17 suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup menyesakkan dada.

Manakan tidak, yang ditahan ialah penguat kuasa dan polis yang cuba meminta suapan daripada dua tauke rumah urut di sekitar Selangor. Sudahlah minta rasuah, wang ra­suah itu pula hasil kegiatan maksiat. Makin bertambah besar dosa mereka yang melakukannya.

Dikatakan, mereka menerima wang suapan antara RM200 ke RM600 sebulan yang dikutip sendiri ketika me­lakukan ‘lawatan’ atau dimasukkan ke dalam akaun bank. Salah seorang suspek didakwa meminta rasuah antara RM30,000 ke RM60,000 bagi mengeluarkan lesen rumah urut.

Kita semua maklum tentang hukum memberi dan me­nerima rasuah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Jika yang terlibat itu sudah berkeluarga, bermakna dia suami dan bapa. Jika demikian mereka melakukan satu lagi kesalahan kerana mengheret keluarga kepada seksaan api neraka Allah. Sebabnya, hadis Rasulullah SAW menyebut: “Setiap daging yang tumbuh daripada bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya.” (Riwayat at- Tirmidzi)

Walhal Allah memerintahkan para suami dan bapa memelihara dan menjaga isteri serta anak-anak daripada neraka. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (at-Tahrim: 6)

Kepada mereka, apakah hujah bagi menjawab perta­nyaan Allah di akhirat kelak dalam bab ini. Kenapa kelabu mata sehingga sanggup membawa pulang rezeki haram untuk memberi makan isteri dan anak-anak. Jika kesempitan wang, dengan kudrat yang diberikan Allah, masih ba­nyak kerja atau usaha boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Pokoknya bukan makan rasuah.

Masa depan negara akan tergadai jika rasuah dibiar berleluasa. Dalam kes ini, golongan penguat kuasa yang sepatutnya menegakkan undang-undang jadi lemah akibat ‘dibeli’ oleh pengusaha rumah urut. Bayangkan keadaan yang lebih makro. Pastinya, keadaan negara kita akan lebih parah, jenayah dan maksiat makin berleluasa.

Oleh itu, janganlah kita memberi hadiah atau wang untuk melepaskan diri daripada hukuman atau meringankan hukuman. Walaupun namanya diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya tetap rasuah.

Para hakim, petugas, pemerintah dan penguat kuasa undang-undang juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah, ini termasuk ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuk­nya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul.” (Riwayat Abu Daud)

Harta ghulul adalah yang diperoleh oleh pejabat (kerajaan atau swasta) melalui kecurangan atau tidak syarie, sama ada yang diambil harta negara mahupun masyarakat. Sesiapa yang berbuat curang, pada hari kiamat, dia akan datang membawa hasil kecurangannya. (rujuk ali-’Imran 161).

Islam melarang perbuatan ini bagi mengelakkan kezaliman, apabila orang berharta terlepas daripada dihukum dengan membayar wang, manakala orang yang tidak berharta dihukum. Biar rezeki kita sedikit tetapi halal dan berkat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tiada siapa terlepas himpitan kubur

Posted by epondok di Oktober 23, 2015

Oleh Fairuz Nordin
Manusia akan mengalami himpitan kubur selepas dimasukkan ke liang lahad.
Huzaifah berkata, Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah. Ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur dan Rasulullah SAW berkali-kali memandang ke dalam kubur itu lalu bersabda: “Di dalam kubur ini seorang Mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya. Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah di mana akan berlakunya himpitan kubur.”
Ada perbezaan antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul. Riwayat Aisyah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur.”
Saad bin Muadz adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang ketika gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah malaikat juga turut menangis. Faktor alami himpitan kubur Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi program Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur.
Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat. Menerusi hadis Rasulullah SAW yang dirujuk dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti sahabat Baginda. Apabila sahabat diam, Rasulullah SAW bertakbir, dituruti oleh sahabat. Kemudian sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir. Baginda menjawab, kubur orang salih itu telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, selepas Rasulullah SAW mengebumikan Saad bin Muadz, Baginda SAW berucap di tepi kuburnya: “Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur.”
Himpitan kubur seperti disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya. Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya. Himpitan dialami berbeza antara satu sama lain berdasarkan amalan. Oleh itu, sesiapa yang taat kepada Allah SWT akan mengalami himpitan penuh kelembutan dan kasih sayang tetapi mereka hidup dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan keras kerana bencinya Allah SWT kepadanya.
Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami antara orang Mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan, tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur. Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku buat selama-lamanya, bermula selepas dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tiba hari akhirat. Bagi orang Mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan kemudian akan menjadi lapang selepas selesai urusan pengebumiannya. Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat melakukan kesalahan lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat.
Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah SWT adalah faktor ketiga berlaku himpitan kubur. Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah seperti sejurus selepas bangun daripada tidur atau memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik. Gerakan pada kedua-dua kaki Setelah jasad diturunkan ke liang lahad, terasa gerakan pada kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya, “Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya. Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalanmu. Lalu amal itu akan memukul paha kirinya, sambil berkata: Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu. Kemudian apabila jasad itu bertanya di mana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata: Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku. Mayat itu seterusnya menyebut: Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikutku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluargaku dan segala yang diberikan kepadaku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan.”
Kemudian kita akan diperlihatkan malaikat Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan berada hujung kaki untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur. Saat diperhatikan malaikat itu, datang perasaan amat takut kepada Allah SWT kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jerebu akibat kelalaian manusia gambaran petanda kiamat

Posted by epondok di Oktober 22, 2015

Oleh Zamanuddin Jusoh
ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi melalui proses yang dikehendaki-Nya. Sebahagian daripada proses kejadian alam telah diterangkan oleh Allah SWT dengan jelas dalam al-Quran. Begitu juga kisah kemusnahan alam semesta apabila tiba masanya. Fenomena alam semesta serta perubahan yang berlaku pada setiap ruang sudut di maya ini adalah kehendak daripada-Nya juga. Aturan, sistem dan perjalanan dunia telah disusun atur oleh Allah SWT mengikut kehendak-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah jugalah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah ! Maka, jadilah ia (mengikut kehendak-Nya).” (Surah al-Baqarah, ayat 117)
Segala kemusnahan dan bencana pada hari ini adalah gambaran yang dipertontonkan oleh Allah SWT sebelum datangnya kemusnahan besar yang akan menghancurkan seluruh bumi serta isinya pada hari kiamat nanti. Fenomena jerebu atau asap yang melanda negara kita baru-baru ini adalah sebahagian gambaran dan ujian Allah SWT. Gambaran dan pengajaran daripada fenomena itu berhubung kait dengan ujian serta kesan daripada tindakan manusia sendiri. Jelas, tangan-tangan manusia adalah sebahagian daripada penyebab kerosakan dan ketidakseimbangan dunia hari ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan laut disebabkan tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka dan kembali kepada kebenaran.” (Surah ar-Rom, ayat 41)
Azab kepada kaum musyrikin Al-Quran telah menggambarkan asap pada surah yang diberi nama ‘ad-dukhan’ atau asap. Dijelaskan oleh Allah SWT mengenai azab kepada satu golongan kaum musyrikin yang menolak seruan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” (Surah ad-Dukhan, ayat 10)
Ulama mentafsirkan ayat itu sebagai bala dalam bentuk azab kelaparan kepada kaum Quraisy sehingga mereka menghadapi kemarau panjang dan kelaparan. Ketika itu setiap orang melihat seakan-akan di antara langit dan bumi ada kepulan asap menutup pandangan mereka. Pada ayat seterusnya, surah itu menceritakan mereka berdoa dan bertemu Baginda SAW dengan janji keimanan. Namun segala janji untuk beriman dikhianati dengan tuduhan dan fitnah terhadap Baginda SAW. Apa yang jelas, kita berhadapan dua azab iaitu pandangan terbatas dan pernafasan terganggu sehingga ramai kanak-kanak menderita kesakitan. Namun, tidak menafikan ancaman umum kepada seluruh orang kafir dan musyrikin dengan asap yang turun menjelang hari kiamat kelak.
Tanda kiamat besar Dalil sahih mengenai tanda kiamat besar disebutkan dalam hadis Hudzaifah yang antaranya muncul ad-dukhan (asap). Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi hingga ada sepuluh tanda (sebelumnya): gerhana di timur, gerhana di barat, gerhana di Jazirah Arab, asap, dajjal, binatang bumi, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari barat, dan api yang keluar dari Yaman mengiring manusia.” (Riwayat Muslim)
Kezaliman sesama manusia juga mengundang kemurkaan dan bencana daripada Allah SWT kerana munajat orang yang dizalimi tidak akan ditolak Allah SWT. Kemungkinan juga disebabkan kekufuran yang membelenggu akidah mereka sehingga mereka dianggap zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu orang yang zalim melakukan sesuatu yang tidak wajar mereka lakukan. Lalu kami timpakan ke atas mereka seksa dari langit disebabkan perbuatan mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 59)
Namun, bagi yang beriman ia dianggap ujian kesabaran serta pemeriksaan keimanan mereka terhadap kekuasaan dan takdir Allah SWT. Mereka perlu menerima segala musibah sebagai peringatan, bermuhasabah diri serta memperbaiki segala kelemahan yang ada. Beri ujian Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami akan memberi ujian padamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kesempitan hidup serta hasil bumi yang berkurangan. Maka bergembiralah mereka yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT menguji hamba-Nya bagi mengetahui mereka yang dapat bertahan dan sabar. Berbekalkan semangat hijrah, bersamalah kita memperbaiki segala kelemahan yang telah dilakukan sebelum terlewat. Sabda baginda SAW: “Bersegeralah kalian beramal sebelum datangnya enam perkara: terbitnya matahari dari arah barat, datangnya asap, munculnya Dajjal, keluarnya ad-Dabbah (binatang yang dapat berbicara), kematian atau datangnya hari kiamat yang merata.” (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya terdapat 1001 hikmah di sebalik kejadian dan takdir-Nya jika kita benar-benar mahu berfikir. Segala janji dan peringatan Allah SWT mengenai peristiwa akhir zaman akan pasti terjadi kerana ia adalah wahyu daripada-Nya. Gambaran kiamat yang besar telah ditunjukkan di hadapan mata kita sendiri sebagai iktibar dan pengajaran. Barat juga telah menterjemahkan gambaran itu melalui filem dan cerita mereka. Justeru, ambillah peluang bulan mulia ini untuk memperbaiki diri dan menjadi hamba lebih bertakwa.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Umat Islam perlu berjiwa besar, bukan jumud

Posted by epondok di Oktober 21, 2015

Taraf ekonomi umat Islam perlu meningkat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, pasti mengundang episod kegagalan kepada umat Islam. Persoalannya, berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah di sebalik peristiwa itu? Kenapa kita perlu berhijrah dan ke manakah arah hijrah umat Islam sekarang. Di samping membawa sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW turut membawa bersama minda mereka untuk berhijrah. Kepercayaan, sikap dan akhlak jahiliah sahabat berubah kepada kepercayaan, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu Allah SWT.
Peristiwa di Gua Tsur, Baginda membetulkan kepercayaan Saidina Abu Bakar. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar berada dalam keadaan gementar dan takut, Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu semua tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya ketika orang kafir (Musyrikin Makkah) mengusirnya (dari Makkah) ketika mereka berdua berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 40)
Demikianlah, penghijrahan minda dan pemikiran dibawa oleh Islam yang disampaikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Usaha memberi kefahaman itu diteruskan sahabat, tabi’in, salafus salih serta ulama dan pendakwah hingga ke hari ini. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah SWT, bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda. Persefahaman bentuk penyatuan Islam sangat menganjurkan persefahaman kerana melalui persefahaman itu akhirnya membentuk sebuah penyatuan. Islam disatukan melalui prinsip ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi bagi seluruh umat yang membawa mesej perdamaian seluruh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih), dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seorang Muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya.” (Riwayat Bukhari)
Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu tanpa berusaha. Oleh itu, berusahalah meningkatkan taraf kehidupan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)
Justeru, umat Islam hari ini mestilah berusaha mempersiapkan diri untuk berhijrah. Dunia tidak akan menunggu suatu umat untuk sama-sama mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Golongan mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang dalam hidupnya. Tamadun Islam telah memberi terlalu banyak sumbangan dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik dan sosial. Contohnya ialah Islam telah mengharamkan riba dan apabila riba dihapuskan, taraf ekonomi umat Islam meningkat serta dapat memecahkan monopoli perniagaan di Madinah. Ia juga menghapuskan penindasan yang disebabkan riba. Politik Islam juga semakin tersusun kerana Islam mementingkan segala aspek dan menitikberatkan kebajikan serta kesejahteraan semua. Begitu juga perkembangan ilmu berlaku dalam bidang teknologi dan perubatan.
Keadaan sosial, ekonomi dan politik hari ini berbeza di mana pemahaman semula terhadap ilmu fikah penting kerana keadaan sosial, ekonomi dan politik umat Islam hari ini jauh berbeza dengan zaman awal perkembangan Islam. Umat Islam bukan umat yang mundur dan jumud. Umat Islam adalah umat yang berjiwa besar, optimis dan progresif. Jadikanlah Islam terus dipandang indah, bak bunga mekar di taman, baunya semerbak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang Ansar yang memberi kediaman dan pertolongan kepada orang Islam berhijrah itu, merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Surah al-Anfal, ayat 74)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Teladani perancangan, semangat hijrah Rasulullah

Posted by epondok di Oktober 20, 2015

Oleh Norhayati Paradi
Berdoa kepada Allah SWT cara terbaik menjayakan penghijrahan diri.
Hijrah adalah untuk menegakkan agama Allah SWT. Penghijrahan sebahagian sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (Nabi diutus menjadi Rasul) adalah perintis jalan kepada hijrah lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Menelusuri lipatan sejarah, peristiwa itu penting kerana ekoran daripadanya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.
Ustaz Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah menerangkan rangka hijrah Rasulullah penuh dengan strategi dan melalui proses pemikiran yang benar-benar tuntas. Melalui peristiwa itu terbentuk tiga skop utama iaitu skop insan, negara dan peradaban. Membina skop insan sedikit sebanyak berjaya disemai oleh Baginda di Makkah yang melahirkan insan hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddik, Saidina Umar al-Khattab, Othman ibn Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Mus’ab bin Umair dan banyak lagi.
Namun, terdapat banyak halangan perlu ditempuh Rasulullah SAW apabila ekonomi diboikot, pengikut Baginda tidak dapat menjual mahupun membeli keperluan harian. Rasulullah SAW serta sahabat juga menerima halangan dari sudut politik. Pembesar Quraisy menindas Rasulullah SAW serta pengikut Baginda menyebabkan usaha membina sebuah daulah Islamiah seakan terbantut di bumi Makkah. Maka, Rasulullah SAW memerlukan bumi subur yang sedia menerima benih pertumbuhan sebuah negara. Justeru, ia membawa kepada perancangan membina negara Islam. Sebelum memilih Yathrib (Madinah) sebagai destinasi tujuan, Rasulullah SAW terlebih dahulu berikhtiar memilih dan merisik beberapa tempat. Sesungguhnya tiada sesuatu yang indah diperoleh dengan mudah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)
Tak mudah putus asa Awalnya, Rasulullah SAW mengutus sahabat ke Habsyah tetapi hajat kedatangan Baginda ditolak. Percubaan juga dibuat di Taif yang menyaksikan bukan sekadar tidak diterima malah Rasulullah SAW dihalau dan dibaling dengan batu sehingga berdarah gigi Baginda. Dalam keadaan Rasulullah SAW dihujani ujian itu, Allah SWT menggerakkan hati beberapa penduduk Yathrib untuk datang menemui Baginda. Tepat seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah SWT jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah al-Qasas, ayat 56).
Hidayah itu milik Allah SWT maka dengan kuasa-Nya, hati beberapa penduduk Yathrib terbuka untuk mencari Rasulullah SAW. Sheikh Saiful Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Raheeq al-Makhtum menyatakan, enam orang Yathrib datang bertemu Baginda SAW pada musim haji tahun 11 kenabian. Kemudian kembali ke Yathrib dalam keadaan masih tidak beriman. Sepanjang bersama dengan Nabi mereka banyak memerhati. Namun perancangan Allah SWT itu indah. Mereka datang dan melihat peribadi Rasulullah SAW dan membawa pulang kisah Baginda yang hebat akhlak serta kepemimpinannya menepati ciri tercatat dalam kitab sebelum datangnya al-Quran.
Rentetan daripada itu, pada Julai 621 Masihi, berlaku Bai’ah Aqabah pertama sejurus kedatangan 12 penduduk Yathrib ke Makkah yang kemudian memeluk Islam. Menerusi Bai’ah Aqabah itu secara tidak langsung menjayakan hasrat untuk menubuhkan daulah Islamiah. Isi baiah itu mengandungi enam perkara. Pertama, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun. Tidak boleh mencuri dan mengambil hak orang lain, seterusnya mereka tidak dibenarkan berzina. Mereka ditegah membunuh anak lelaki, tidak boleh mengumpat dan tidak boleh memfitnah. Ikrar sebar Islam Bagi memastikan ikrar itu berjalan lancar, Rasulullah mengutuskan tokoh duta ke sana dalam kalangan orang muda yang paling awal memeluk Islam iaitu Mus’ab bin Umair.
Semasa di Yathrib, Mus’ab bin Umair dengan beberapa sahabat menjalankan amanah bersungguh-sungguh hingga berjaya mengajak masyarakat Yathrib mengenal Islam dan menyebarkan cabang keimanan. Rasulullah SAW menghantar Mus’ab bin Umair sebagai pembuka jalan serta pemudah cara sebelum Rasulullah SAW ke sana sehingga berlakunya Bai’ah Aqabah kedua. Mus’ab bin Umair pulang ke Makkah dengan penuh kerinduan untuk bertemu Baginda SAW. Pada musim haji tahun ke-12 kenabian seramai 75 ahli rombongan dari Yathrib datang menyatakan kesanggupan untuk menerima Baginda SAW sebagai pemimpin mereka. Daripada Jabir: “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbai’ah dengan tuan hamba? Jawab Rasulullah: Kamu berbai’ah untuk mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar (taat) atau saat malas. Berinfaq ketika susah atau sakit dan senang. Menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang. Menyokong daku setibanya daku dalam kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti.” (Riwayat Imam Ahmad)
Hasil daripada baiah kedua itu, bermulalah perancangan yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Sahabat mula bergerak dalam keadaan penuh risiko ditambah dengan cabaran cuaca padang pasir yang panas terik. Penghijrahan penuh strategi itu membabitkan seluruh golongan tanpa mengira status, jantina, usia malah golongan musyrik (Abdullah bin Uraiqit) turut bersama dengan tugasan masing-masing yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW, untuk menjadi lebih baik dan membina kehidupan dekat dengan Allah SWT perlu kepada perancangan. Sesungguhnya kegagalan sebenar adalah tatkala gagal untuk merancang. Usah takut untuk berubah jika yakin perubahan itu membahagiakan. Cari jalan untuk menjadikan setiap individu bisa menyumbang sesuatu dalam penghijrahan diri mahupun organisasi kerana kemenangan Islam perlu kepada pembabitan semua walaupun individu yang belum beragama Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »