Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rezeki berkat hidup tenang

Posted by epondok di September 30, 2015


Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Keberkatan rezeki antara perkara utama yang mesti dan perlu dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki.
Namun, dalam artikel ini saya merujuk rezeki pada pendapatan yang kita peroleh sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji.
Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibuat belanja untuk beli makanan atau bagi yang sudah berkeluarga dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri.
Ada orang memandang ringan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka tidak sedar wujudnya hubungan langsung antara keberkatan rezeki dan setiap aspek kehidupan kita.
Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama adalah yang kita nampak akan hukumnya dalam Islam iaitu rezeki yang datang daripada sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu dan seumpamanya.
Tidak kurang juga bahayanya adalah apabila kita tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh atau melakukannya dengan tidak sempurna.
Lazimnya ia berlaku di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, menipu majikan, kerja tidak bersungguh-sungguh, melakukan kerja lain dalam waktu bekerja, tidak serius ketika bekerja, dengki, iri hati dan seumpamanya.
Minggu lalu ketika bertemu dengan seorang teman, beliau sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap hasil kerja seorang tukang rumah yang dipanggil untuk membetulkan lampu dan memasang langsir di rumahnya.
“Bila nak caj, laju je letak harga. Bukan main mahal pulak tu, nak kurang sikit pun tak boleh. Tapi kerja buat cincai je. Tak sempat aku nak gantung langsir dah tercabut relnya. Nak panggil datang balik betulkan semula, memang susahlah.”
Ini perkara yang perlu kita muhasabah dalam kehidupan setiap hari. Adakah caj bayaran atau gaji yang kita terima setimpal dengan kerja yang kita lakukan? Adakah hasil kerja yang kita lakukan seperti apa yang orang atau majikan harapkan?
Persoalan lebih utama adalah, adakah berkat hasil wang daripada upah atau gaji yang kita terima? Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.
1. Hati semakin dekat dengan Allah dan jiwa tenang
Tanda yang pertama rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.
2. Pemurah
Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat. Tidak lokek untuk berkongsi rezeki sesama manusia bahkan juga sesama haiwan.
3. Jauh daripada bala bencana
Allah menarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini duit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang.
Wang gaji pula tak tahu ke mana perginya. Tak nampak apa yang dibeli, tiba-tiba poket kering sehingga terpaksa meminjam. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang jika ia punca kepada segala masalah berkenaan.
4. Keluarga harmoni dan anak cemerlang
Wang kadangkala tidak menjadi pengukur kebahagiaan sesebuah institusi keluarga. Wang yang banyak belum tentu menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga.
Apa yang penting adalah keberkatan wang yang diperoleh. Rezeki yang berkat walaupun tidak banyak akan membahagiakan keluarga dengan rahmat Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: