Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah salahguna Gajet untuk keburukan

Posted by epondok di September 28, 2015


Oleh Mohd Ariff Adika Mohd Zain
Setiap Muslim perlu berhati-hati dalam menggunakan saluran media sosial untuk berdakwah.
Sejak akhir-akhir ini, gajet komunikasi banyak disalahgunakan apabila aplikasi yang sepatutnya memudahkan perhubungan dijadikan medan menyebar maklumat mengelirukan, berbaur fitnah, gambar serta berita tidak dipastikan kesahihannya. Segelintir pengguna semakin teruja dan seronok menulis, mengubah suai, menghantar gambar berunsur negatif, yang dikongsi dengan tujuan mencari keseronokan tanpa mengambil kira sensitiviti agama, bangsa, masyarakat atau individu terbabit.
Rantaian penyebaran sesuatu berita secara salin dan hantar, diubah suai dengan fakta tambahan. Tindakan itu boleh dikira sebagai menyebarkan berita yang tidak benar dan membawa fitnah. Menyiarkan sesuatu berita tanpa dasar kebenaran, bertujuan mencemarkan nama baik seseorang adalah fitnah. Perbuatan tercela itu dilarang oleh Allah SWT dan orang yang membuat fitnah akan ditimpa azab yang amat pedih. Dakwah media elektronik Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mendatangkan fitnah kepada orang Mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih.” (Surah al-Buruj, ayat 10)
Memaparkan berita berunsur keagamaan dianggap sebagai dakwah alam siber bagi sesetengah pengguna. Penyebaran berita seperti nasihat, larangan dan suruhan berlandaskan tuntutan agama serta hadis, kerap diterima malah sudah menjadi amalan. Tidak dapat dinafikan, banyak kebaikan berdakwah menerusi media elektronik, namun seseorang itu haruslah berhati-hati dengan lambakan hadis palsu dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW. Hadis itu sengaja direka untuk menimbulkan kekeliruan terhadap agama Allah SWT. Penyebaran hadis palsu adalah dusta terhadap nama Nabi SAW dan hukumnya berdosa. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta kepadaku tak sama dengan orang yang berdusta atas orang lain. Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia bersiap-siap (mendapat) tempat duduknya di neraka.” (Riwayat al-Bukhari)
Firma Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman percaya kepada khabar angin. Allah SWT menyuruh Mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka kerana tidak semua berita itu benar. Islam telah meletakkan syarat bagi mengelakkan kesan buruk akibat berita yang disampaikan. Pastinya kita biasa menerima mesej, ‘Sila sebarkan SMS ini. Jika tidak kamu akan ditimpa bencana daripada Allah Subhanahu wa Taala’ atau ‘Jika anda mahukan kejayaan yang akan dikurniakan Allah SWT maka jangan tunggu lama-lama untuk sebarkan e-mel ini kepada 20 orang. Sudah pasti akan datang ganjaran tanpa anda duga.’ Mesej berkenaan boleh membuatkan seseorang berasa ragu-ragu untuk tidak melakukan apa yang diugut oleh penghantar. Kepercayaan terhadap perkara itu boleh menjejaskan akidah.
Kini dosa bukan hanya dilakukan secara bersendirian, tetapi secara perkongsian (berantai) hingga menjadi fitnah secara meluas. Jalinan perkongsian itu kemudian disebarkan secara lebih luas lagi melalui prinsip tolong-menolong oleh orang yang tersangkut dalam rantaian terbabit. Sedar atau tidak, pengguna mungkin terjerat dengan penyebaran hadis palsu. Untuk mengelak perkara itu, tindakan pertama adalah merujuk kepada teks hadis yang diiktiraf sahih. Amalan sedemikian dapat menyelamatkan seseorang dari jatuh ke jurang kehinaan.
Tindakan mendatangkan dosa
Sekalipun tidak menyebarkan cerita palsu, namun jika cerita yang sebarkan itu berniat jahat, untuk mengadu domba atau memburukkan pihak lain tanpa sebarang sebab dibolehkan syarak, maka ia sudah cukup untuk mendatangkan dosa. Masing-masing ghairah ingin menjadi ‘yang pertama’ menyebarkan berita baharu diterima. Selain menjejaskan kredibiliti, ia mendedahkan tahap pemikiran seseorang pelaku yang kerap menonjolkan tindakan negatif. Pemantauan tidak dapat mengawal perbuatan suka ‘menyalin dan menghantar’.
Sehingga kini, pelbagai cara dilakukan pihak berkuasa, namun perkara negatif itu tetap berleluasa. Berhati-hatilah menggunakan saluran media sosial dan gunakan dengan cara berhemah dan mengikut landasan ditentukan syarak. Jangan kita cemari kemudahan disediakan dengan perkara yang hanya akan mendatangkan dosa kepada kita semua

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: