Antara keistimewaan Aidiladha ialah ibadah korban yang hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Korban yang dibuat amat besar maknanya sebagai simbolik untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya dalam menjalankan perintah agama untuk taat kepada perintah Allah

Sambutan Aidiladha ini juga mengingatkan kita kepada sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang diperintah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS selepas menerima wahyu daripada Allah SWT melalui mimpinya dan diberitahu kepada anakanda kesayangannya dan isteri baginda, Siti Hajar.

Tanpa berbelah bahagi hatinya, Ismail AS menerima perintah itu dengan reda dan bersedia agar ayahandanya menunaikan wahyu Allah SWT terhadapnya dan kita tahu apa yang terjadi selepas peristiwa itu apabila Allah SWT menggantikannya dengan seekor kibas. Nabi Ibrahim AS taat dalam kasih sayangnya terhadap anakanda dan patuh kepada perintah Allah SWT walaupun dikritik dan ditohmah dengan pelbagai kata oleh masyarakat sekelilingnya.

Peristiwa ini sebenarnya mengajar kita tentang erti ketaatan kepada perintah Allah SWT yang mengatasi pandangan manusia biasa. Yang juga mengajar dan mendidik kita erti pengorbanan yang perlu dilakukan demi mencapai keredaan Allah SWT pengorbanan yang mengatasi sikap pentingkan diri sendiri, kasih sayang termasuk dalam hubungan kekeluargaan dan perasaan yang sering membelenggu dan menghalang kita terhadap keperluan berkorban.

Bertolak dari sini, dalam semangat yang sama sebagai warga pendidikan tinggi, amanah berat yang ada memerlukan pengorbanan dan semangat yang kental untuk dipikul bersama-sama. Amanah yang terletak di bahu para ilmuan dan cerdik pandai negara amat besar. Begitu juga amanah yang dipegang oleh para mahasiswa dan penuntut ilmu yang sering menuntut pengorbanan untuk terus memacu kecemerlangan demi masa hadapan ummah.

Amanah yang berdasarkan ajaran agama yang mengkehendaki ilmu yang dimiliki yang hanya bagai setitis air di lautan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ummah dan manusia seluruhnya dalam menegakkan agama dan syiar Allah SWT di muka bumi. Bagaimana nanti setiap orang dipertanggungjawabkan di akhirat terhadap amanah yang dipegang. Amanah ilmu yang sepatutnya berupaya mendekatkan lagi manusia dengan Tuhannya, mendekatkan manusia dengan kebenaran terhadap setiap anugerah yang diberikan-Nya kepada manusia dan amanah terhadap bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung.

Bagaimana kesanggupan mereka yang bergelumang dengan ilmu untuk berkorban dalam mendidik anak-anak bangsa dan dapat menggunakan ilmu yang ada untuk mengeluarkan bangsa dan ummah dari belenggu kejahilan dan kemiskinan. Bagaimana untuk menunaikan amanah dengan menggunakan setiap sen yang dilabur untuk faedah dan kemashlahatan agama dan manusia seluruhnya. Bagaimana dapat manfaatkan kekuatan ilmu yang ada untuk membantu orang lain serta mengeluarkan masyarakat dari sifat-sifat yang merosakkan diri dan orang lain, apatah lagi untuk mendidik agar sentiasa bersyukur dan mendekatkan diri lagi dengan Tuhannya.

Banyak yang boleh dipelajari dari semangat dan pengorbanan dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan dan memartabatkan pendidikan tinggi di persada dunia. Bahawa perjuangan mendaulatkan pendidikan tinggi yang masih jauh jalannya tetapi telah bermula dari jalan yang dirintis oleh para pendidik pejuang ilmuan yang hasilnya dinikmati sekarang ini.

Mengambil semangat perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS anakandanya Nabi Ismail AS serta isteri baginda, Siti Hajar yang sentiasa patuh dan tawaduk terhadap perintah Allah SWT maka umat Islam dan seluruh warga pendidikan tinggi terutamanya di universiti harus berpegang kepada prinsip dan asas yang sama, iaitu sanggup berkorban demi generasi masa hadapan dengan memartabatkan dan memanfaatkan ilmu demi menegakkan syiar agama, bukan sekadar untuk bersaing dan menempa nama.

Usaha perlu dibuat secara berterusan untuk memanfaatkan ilmu melalui penggabungan pelbagai disiplin, merentasi pelbagai perbezaan dan bidang, menghormati kepelbagaian dan menjadikan kekuatan ilmu untuk masa hadapan pendidikan tinggi yang dihormati dan dipandang tinggi. Semua ini perlu bertolak daripada kesanggupan untuk berkorban dan menunaikan perintah Allah SWT dan amanah besar yang ada kepada setiap cendekiawan, setiap ilmuan dan setiap mahasiswa yang sedang menguasai ilmu untuk menjadi seorang yang hebat pemikirannya, unggul akhlaknya dan sedia berkorban demi masyarakat, ummah dan dunia seluruhnya.

Untuk menghadapinya kita perlu keluar dari zon selesa, menggunakan segenap ilmu pengetahuan yang ada untuk menghadapinya, bersatu tenaga, memerah keringat dan minda untuk mengembalikan martabat dan maruah ummah yang sedang diduga di mana sahaja. Kita perlu berkorban untuk kecemerlangan masa hadapan dengan mengetepikan kepentingan dan perasaan sendiri demi matlamat jangka panjang seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar.