Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Apa kita ada semuanya milik ALLAH

Posted by epondok di September 14, 2015


PADA hakikatnya kita bukanlah milik kita. Kita tidak mampu melakukan penciptaan. Kita adalah milik ALLAH kerana ALLAH itu mencipta kita. ALLAH mencipta manusia dari tidak ada kepada ada. ALLAH mencipta dan mengurus alam ini dan segala isi yang terdapat.

Manusia tidak pernah melakukan penciptaan. Yang termampu dilakukan manusia ialah menggubah dan mereka-reka daripada benda yang sudah sedia dicipta.

Yang digubah dan direka tidak seasli ciptaan ALLAH. Bunga palsu yang digubah kualitinya tidak sama dengan yang asli kerana yang asli ada bau dan setengahnya harum dan terdapat hikmah di sebaliknya.

Bila keyakinan ada bahawa kita ini dicipta dan kudrat kuasa kita terbatas kepada ALLAHlah tempat kita bergantung. Pergantungan dengan ALLAH terhadap sumber rahmah dan nikmah yang dilimpahkan menjadikan kita bersyukur. Tanpa kurnia ALLAH itu manusia tidak akan hidup.
Hidup kita di dunia menumpang rahmah dan nikmah ALLAH ini. Kita diberi nafas supaya kehidupan terjadi. Kita diberi akal membolehkan kita berfikir. Kita diberi kalbu supaya ada perasaan pada diri untuk membuat pertimbangan. Kita diberi daya supaya dapat bekerja dan beramal.
Kita diberi akidah supaya ada tempat pergantungan dalam hidup. Kita melakukan ibadah supaya tautan kita dengan ALLAH sentiasa teguh. Kita ikut syariat ALLAH supaya dapat membezakan yang maaruf dan mungkar. Kita memiliki akhlak karimah supaya kita ini menjadi contoh teladan orang lain.
Semua itu ALLAH limpahkan kepada kita supaya hidup ini memberi makna. Hidup sekadar hidup sama seperti haiwan. Hidup yang berfikir dan berilmu, hidup yang amanah, adil dan penuh timbang rasa menepati nilai manusiawi dan hidup yang mempamerkan amal yang baik akan jadi sumber ikutan.
Konsep Deen atau agama atau dayana juga membawa maksud keberhutangan. Kita ini berhutang kepada ALLAH dalam banyak perkara. Hutang ini perlu dilangsaikan supaya kehidupan dapat dipenuhi. Melakukan ibadah dengan ikhlas ibarat menunaikan hutang ini.
Memanfaatkan ilmu yang benar dan berguna daripada ALLAH untuk kebaikan diri dan orang juga satu cara menunaikan hutang itu kerana yang benar itu juga datangnya daripada ALLAH. Melakukan amal soleh supaya ada suasana maaruf dalam kehidupan satu lagi cara penunaian supaya limpahan rahmah dan nikmah ALLAH itu dapat dirasai yang lain.

ALLAH mempunyai kudrat dalam apa saja yang terdapat dalam hidup kita ini. Sebagai hambaNya kita dituntut patuh, akur, taat dan tunduk dengan pedoman dan titah perintahnya.

Keingkaran bakal membawa musibah dan bakal memberi kesan kepada orang lain dan juga sistem.

Justeru hamba ALLAH yang taat dan dipedoman oleh ilmu al-Quran memahami taklif atau amanah yang patut disempurnakan supaya hidup ini memberi makna tidak saja kepada manusia tetapi yang lain. Hidup yang penuh makna ialah hidup yang memiliki keyakinan bahawa ALLAH Maha Berkuasa, Pemilik dan Pengurus Atas Segala.
Keyakinan ini sangat penting memahami kewujudan dan peranan kita di dunia ini. Dunia yang kita huni ini adalah sementara. Seperti orang terdahulu akhirnya akan kembali bertemu ALLAH. Alam kembalinya adalah kekal sehingga dibangkitkan di Yaumil maksyar nanti.

Bila keyakinan ini teguh dalam diri dan hati, hidup ini akan terpandu dan terpedoman. Kita adalah hamba dan khalifah yang mempunyai amanah yang perlu disempurnakan. Segala yang ada bukan milik kita tetapi milik ALLAH.

Kita diminta bersyukur dengannya supaya tidak berlaku salah guna dan mampu memberi manfaat kepada yang lain. Landasan ini kalau ada kehidupan kita akan lebih tenang dan aman kerana kita tahu mengapa kita dijadikan dan kita tahu di mana akhirnya kita ini.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba mengajar di  Kuliyyah Pendidikan UIAM
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: