Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mensyukuri nikmat ALLAH

Posted by epondok di September 9, 2015


RAHMAT dan nikmat ALLAH yang banyak adalah kurniaNya kepada manusia. Rezeki kita terima, kesihatan yang ada, bakat dan kebolehan yang ALLAH beri semuanya adalah rahmat dan nikmat yang tidak ternilai.

Seekor ikan yang kita beli di pasar apabila disiang dan digulai bukan semua menjadi rezeki kita. Kita menjadi asbab ikan itu dibeli di pasar dan apabila disiang, sisiknya, perut dan insangnya adalah rezeki haiwan. Dimasak ikan itu dan dimakan, tulang-temulangnya diasingkan untuk rezeki kucing dan makhluk yang lain.

ALLAH beri jaminan bahawa setiap nyawa yang dicipta Dia berikan rezeki. Betapa ikan menjadi sumber rezeki makhluk yang lain apa lagi barang-barang ciptaan ALLAH yang lain juga memberi manfaat kepada semua yang ALLAH cipta.

Isu berbangkit ialah berapa ramai dalam kalangan manusia yang rasa bersyukur terhadap apa diberi. Orang-orang yang beriman dan bertakwa pasti berasakan kesyukuran itu lantaran daripada rahmat dan nikmat ALLAH kehidupan terjadi.

Ramai juga yang lupa dan lalai dan menganggap bahawa rahmat dan nikmat itu sifatnya semula jadi dan hadirnya secara kebetulan. Lalu rahmat dan nikmat hanya benda biasa dan tidak ada kaitan dengan kurnia ALLAH.

Apabila tidak mensyukuri bahawa rahmat dan nikmat itu kurniaan ALLAH, jiwa kehambaan tidak akan ada dan rasa kekhalifahan tidak akan terjadi. Ia boleh menyebabkan manusia berasakan kudrat dirinya mendapat sesuatu tanpa datangnya daripada Pencipta.

Rezeki yang diterima adalah hasil usahanya semata-mata dan kekayaan yang diperoleh adalah hasil kerja keras yang dilakukan tanpa kaitannya dengan ALLAH.

Sikap ini bila terjadi boleh menyebabkan manusia menjadi sombong, bakhil dan tidak bertimbang rasa. Sekiranya mereka menginsafi bahawa rahmat dan nikmat yang menyebabkan mereka senang dan kaya datangnya daripada ALLAH, manusia akan menjadi orang yang bersyukur, tidak sombong dan ego melulu serta sentiasa berasakan bahawa setiap rezeki yang diterima datangnya daripada ALLAH dan dilimpahkan kembali kepada yang lain dengan niat kerana ALLAH (ikhlas).

Natijah kesyukuran kepada ALLAH membawa manusia mengharapkan reda ALLAH. Reda ALLAH bermaksud apa saja yang kita terima jalannya halal dan toyyib dan diterima oleh ALLAH. Ia tidak melibatkan riba, salah guna yang melanggar syariah. Bila ini terjadi manusia berada dalam keadaan reda dan diredai.

Mensyukuri rahmat dan nikmat ALLAH ialah mengiktiraf ALLAH itu Khaliq. Tempat manusia bergantung dan memohon. Bila ini terjadi manusia akan memiliki keinsafan kepada diri, tanpa rahmat dan nikmat ALLAH kehidupan manusia tidak akan terjadi.

Hikmah kesyukuran kepada ALLAH itu menjadikan manusia menyedari bahawa tanpa ALLAH manusia akan hilang tempat pergantungan. Dengan ALLAH manusia mempunyai tempat mengadu kerana dengan sifat manusia yang lemah bantuan daripada ALLAH selalu diminta.

ALLAH memiliki sifat Rahman dan Rahim iaitu kasih sayang dan belas kasihan. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan ALLAH bayangkan nasib manusia dan kehidupannya. Menjalani hidup manusia cenderung lalai dan lupa. Banyak kesilapan terjadi dan kemungkaran berlaku.

Kadang-kadang manusia tersedar lewat dan ramai juga yang tidak sedar langsung. Manusia tersedar bila jatuh sakit dan mencari Tuhan. Manusia tersedar bila rumah kata pergi kubur kata mari. Kadang-kadang tidak berlaku muhasabah dan taubat. Penyesalan pada waktu itu sudah agak lambat.

Sebab itu pentingnya manusia didekati dengan dakwah dan tarbiah. Dakwah dan tarbiah menjadi asas mengajak manusia kembali kepada diri dan kepada ALLAH.

Islam selamanya agama dakwah dan tarbiah. Rasulullah SAW menyatakan ballighu anni walau ayah – sampaikan daripadaku walaupun pun satu ayat atau pesanan. Mendekati mad’u atau sasaran yang berbagai harus dengan bijaksana. Memang asbab dakwah daripada kita dan pemberian hidayat daripada ALLAH.

Perjuangan ini penting diteruskan kerana tidak semua manusia ini berada dalam keadaan tahu dan sedar akan hubungannya dengan ALLAH. Mereka perlu diberitahu supaya akhirnya ikatan ubudiyyah dengan ALLAH termeterai.

Jika ini terjadi barulah manusia memiliki rasa syukur kepada Pencipta kerana dakwah dan tarbiah bakal mendidik mereka yakin terhadap Pencipta dan yakin bahawa seluruh rahmat dan nikmat yang diterima adalah daripadaNya dan manusia wajib bersyukur kepadaNya.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: