Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Keprihatinan elak kanak-kanak jadi mangsa rogol, jenayah seks

Posted by epondok di September 5, 2015


Oleh Dr Nurhidayah Hashim

KITA maklum kanak-kanak secara umumnya bersifat rapuh, senang percayakan orang, tidak boleh mengurus dan menyelamatkan diri sendiri apabila berdepan keadaan bahaya. Mereka perlu dilindungi oleh orang dewasa. Oleh itu ibu bapa perlu bersikap lebih prihatin, mengambil tahu dan bersama menolong menjaga kanak-kanak walaupun mereka bukan anak atau ahli keluarga sendiri. Ini bagi mengelak berlaku perkara yang boleh mencetuskan kerisauan kepada masyarakat.
Kisah kanak-kanak 11 tahun yang melahirkan anak di Negeri Sembilan baru-baru ini menimbulkan banyak pertanyaan terutama apabila keadaan itu tidak diketahui keluarga. Rahsia terdedah apabila pelajar Tahun Lima itu mengadu sakit perut dan ibunya membawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Namun, khabar mengejutkan apabila doktor yang merawat memaklumkan kesakitan dialami kerana ingin melahirkan anak. Keluarga yang terkejut membuat laporan polis dan kes diklasifikasikan sebagai jenayah rogol mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan. Kemudian, anak yang dilahirkan dilaporkan meninggal dunia.
Jaminan hidup selamat, ceria Pastinya kita tidak mahu perkara ini berlaku, maka sewajarnya banyak perkara perlu diberi pertimbangan. Apakah tiada jaminan untuk kanak-kanak menjalani hidup dengan selamat dan ceria? Apakah ibu bapa tidak mengendahkan cerita anak jika mereka mengadu dipegang atau dirogol? Apakah bilangan penjenayah seks kanak-kanak sangat ramai hingga mengancam keselamatan golongan berkenaan? Atau kanak-kanak sekarang sudah terkehadapan dalam pelbagai perkara termasuk hubungan seksual sehingga berzina dengan rakan mereka?
Bagaimana dengan perubahan sikap serta fizikal, kenapa itu juga gagal dikesan atau diperhatikan orang di sekeliling. Ini antara persoalan pertama ditanyakan apabila terjadi insiden seperti itu. Apabila sudah terjadi, adakah kanak-kanak serta keluarga mendapat perlindungan serta sokongan kejiwaan. Apakah penghakiman kes-kes sebegini wajar dikaji semula dengan peruntukan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pelakunya apabila disabitkan? Soalan demi soalan tidak akan berhenti hingga kita mampu menghasilkan jawapan kerana apabila perkara itu berlaku lagi, kita akan bertanyakan soalan yang sama.
Kes membabitkan kanak-kanak wajar membuka mata masyarakat dan mendorong untuk merenung serta mengambil tindakan secara kolektif. Ibu bapa sebagai orang terdekat mesti mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak dengan menyediakan suasana hidup yang selamat. Ibu bapa tidak wajar membiarkan anak kecil terutama kanak-kanak perempuan berjalan sendirian ke sekolah atau berada di taman permainan tanpa pengawasan orang dewasa. Dengan siapa mereka berkawan dan keluar hendaklah diawasi sebagai sebahagian tanggungjawab ibu bapa. Apabila kanak-kanak mengadu ada lelaki memegang tempat sulit mereka atau merogol mereka, seharusnya ia menimbulkan kecurigaan dan dengan segera membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan. K
Dedah pengetahuan mengenai gangguan seksual Kanak-kanak sekecil empat tahun wajar didedahkan kepada pengetahuan mengenai gangguan seksual dan diajar menjerit atau memberitahu orang dewasa jika diganggu secara seksual. Guru di sekolah wajar mengambil berat dan mengesan kelainan tingkah laku serta perubahan fizikal pada murid mereka. Apabila wujud pendekatan yang prihatin dan mendasar, pihak guru boleh membantu dengan memanggil ibu bapa untuk berbincang. Pihak sekolah juga perlu mengadakan sesi penerangan jenayah rogol dan keselamatan kanak-kanak secara berkala dengan memanggil pihak polis serta pakar kanak-kanak untuk menerangkan situasi itu dalam bahasa yang mudah mereka fahami. Semua ahli masyarakat wajar berubah dan mengamalkan sikap ambil tahu, ambil peduli serta prihatin terutama yang membabitkan kebajikan kanak-kanak walaupun mereka bukan darah daging kita.
Marilah kita menukar sudut pandang kepada lebih positif dan melihat kanak-kanak sebagai permata serta amanah. Menasihati, melaporkan dan memberi bantuan adalah lambang keprihatinan tinggi yang mungkin dapat membantu kanak-kanak menjadi mangsa kepada kes sebegini. Pusat psikologi keluarga Bantuan moral dan psikologi amat diperlukan untuk membetulkan tekanan serta tahap keyakinan diri mangsa. Pihak berwajib wajar membuka ruang dengan menubuhkan lebih banyak pusat psikologi keluarga dan membantu ahli masyarakat yang bermasalah. Pihak berwajib juga disarankan lebih serius menangani filem, buku serta bahan bacaan lucah yang berleluasa dalam masyarakat. Semua bahan itu turut menjadi faktor kepada perkembangan awal kanak-kanak terbabit dengan seks pada usia muda. Kita perlu bersama berganding bahu, menggembleng usaha membina masyarakat yang sejahtera dan selamat untuk didiami semua terutama kanak-kanak yang menjadi aset negara pada masa depan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: