Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ilmu dorong Muslim jadi salih, muslih

Posted by epondok di September 2, 2015


Oleh Mazlina Ismail

MANUSIA adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang lemah. Sebab itulah manusia memerlukan sesuatu yang memberi perlindungan dan ketenangan jiwa serta jalan yang membawa mereka kepada kebahagiaan hakiki. Bagi mencapai tujuan itu, manusia perlukan panduan wahyu Tuhan yang Maha Mengetahui. Allah SWT tidak membiarkan hamba-Nya mencari kebenaran itu dengan sendirinya untuk mengenal Tuhan sebenar.
Justeru, Allah SWT mengutuskan Rasul sebagai penyampai risalah kebenaran kepada manusia. Iaitu, Nabi Musa AS yang menerima kitab Taurat, Nabi Daud AS menerima kitab Zabur dan kitab Injil pula diwahyukan kepada Nabi Isa AS. Nikmat terbesar ialah kitab al-Quran yang menjadi panduan hidup sehingga ke hari kiamat kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW. Risalah kebenaran terbahagi kepada dua iaitu al-Quran dan hadis. Biarpun al-Quran diturunkan lebih 1,400 tahun lalu, namun ia panduan hidup yang relevan dan berguna sepanjang masa kepada seluruh bangsa tanpa mengira bangsa, budaya dan tempat tinggal. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: al-Quran dan Sunnah Nabi-Nya.” – (Riwayat Imam Malik).
Rancangan Pesona D’Zahra di Ikimfm pada setiap Isnin jam 10.15 pagi sekali lagi berkongsi ilmu bersama Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dengan tajuk kali ini ‘Saleh Musleh.’
Iman tidak datang sendiri Muhamad berkata syarat menjadi manusia soleh adalah mempunyai iman atau kepercayaan. Iman iaitu percaya adanya Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa, seterusnya beriman kepada al-Quran iaitu kitab panduan paling lengkap diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya melalui wahyu yang disampaikan menerusi Rasul-Nya Muhammad SAW.
Iman tidak datang dengan sendiri tetapi ia perlu dicari dan pencarian itu membawa kepada hidayah Allah SWT. Bagi memperoleh iman yang kukuh, setiap individu Muslim mesti ada ilmu. Iman mesti berdasarkan ilmu. Untuk memahami agama Islam, carilah ilmu yang bermanfaat dan sahih. Seorang Muslim hendaklah sentiasa berhubung dengan orang yang sentiasa bersama ilmu iaitu orang yang perhatiannya sentiasa kepada al-Quran dan Sunah yang sahih serta sentiasa memperbaiki diri. Antaranya golongan alim ulama dan guru. Muliakan mereka, dengar nasihat mereka dan ikuti jejak langkah mereka. Menuntut ilmu mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. Pemahaman pula memastikan kita faham, sedar dan terasa manis melaksanakan ibadat kepada Allah tidak kira ia amal kebaikan kepada manusia dan makhluk yang lain.
Jelasnya lagi, syarat ketiga menjadi soleh adalah kemuliaan akhlak. Akhlak terbahagi kepada empat iaitu akhlak dengan Allah, akhlak dengan diri, akhlak dengan manusia dan akhlak dengan makhluk lain. Iman yang kukuh, ilmu yang menyeluruh dan mantap akan menjadikan seseorang itu salih. Muslim berilmu, berakhlak pedoman warak berdasarkan apa yang difahaminya bukan apa yang diketahuinya. Ilmu yang baik membawa kepada amalan ibadat dengan betul, memahami tujuan ibadat yang diperintahkan, mengetahui ganjaran amal perbuatan baik dan balasan azab perbuatan maksiat dan buruk. Menerima takdir dengan berbaik sangka, tawaduk, memiliki sifat reda, syukur, tawakal dan banyak lagi sifat mahmudah lambang ketinggian dan kefahaman ilmu seorang Muslim. Justeru, akhlak Muslim yang beriman dan berilmu akan menjadikan dia warak. Akhlak juga akan memelihara diri daripada sifat kejahilan, menjaga hati daripada menjadi terlampau bersedih, mudah berasa terhina atas kelemahan atau kekurangan diri. Begitu juga terhadap manusia lain dan makhluk lain. Ia akan sentiasa dijaga kerana khuatir akan menganiayai orang lain yang akan membawa kemudaratan diri sendiri di dunia dan akhirat.
Mengapa perlu menjadi salih dan muslih?
Muhamad berkata seorang Muslim yang salih akan mahu melihat orang lain turut menjadi salih. Usaha perbaiki diri, bantu orang lain Maka, dia akan berusaha memperbaiki diri dan orang lain agar berada pada landasan Islam yang benar. Memahami dakwah Nabi Muhammad SAW, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Seorang muslih akan terpanggil untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan. Kita perlu memainkan peranan bermula dengan diri, ahli keluarga dan masyarakat. Jika tidak mampu dari sudut kewangan, hulurkan tenaga dan masa seperti mengimarahkan masjid, surau dengan menyertai program meningkatkan keimanan. Antaranya kelas atau kuliah agama, serta program untuk anak muda. Semoga usaha ikhlas mencari keredaan Allah SWT dengan amalan salih, kita diberi ganjaran pahala atas asbab kita menyeru kepada kebaikan. Juga pahala berterusan walaupun kita telah tiada di dunia ini kerana ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak salih sahaja akan membantu kita di akhirat nanti. Berusahalah berjihad menjadi salih dan muslih, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan kita untuk menjadi baik dan mengajak orang lain kepada kebaikan

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: