Dan fitnah boleh berlaku kepada individu, sesuatu bang­sa atau kepada sesebuah negara. Fitnah ini berupaya mem­­bakar keharmonian dan kesejahteraan si penerima, ma­lah menghanguskan kebaikan pembuatnya. Ia mampu me­ra­nap­kan sebuah negara apabila gagal ditangani secara bi­jak­sana dan tidak berpandukan pesanan agama.

Rasulullah S.A.W yang maksum itupun sentiasa berdoa supaya dilindung daripada fitnah. Begitu juga Imam Al-Bukhari menyebutkan dalam Sahih Bukhari, bab Kitabul Fitan dengan mengingatkan kita kepada pesan Allah, “Dan peliharalah dirimu dari fitnah yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kalian”.

Hal ini demikian kerana fitnah itu terbukti tidak menimpa orang yang zalim sahaja, namun kepada seluruh manusia.

Ledakan kepesatan teknologi komunikasi makin me­nam­bah ruang penyebaran fitnah. Dengan kewujudan media so­sial atas pelbagai nama dengan pelbagai peranti canggih, manusia semakin senang mencipta dan menebar fitnah.

Banyak kes membuktikan media sosial menjahanamkan akhlak manusia kerana menyebarkan sesuatu berita tanpa etika dan adab. Sekiranya dahulu fitnah hanya disampaikan dari mulut ke mulut secara bisikan, namun sekarang ma­nu­sia tidak segan silu menjaja fitnah.

Apatah lagi ia sangat mudah dilakukan. Dengan hanya menaip di papan kekunci, semua orang boleh membaca se­baran fitnah yang disasarkan. Dan mereka yang menjadi ba­han fitnah akan menanggung akibat yang mungkin me­ranapkan sebuah kehidupan.

Fitnah juga merupakan tanda-tanda akhir zaman, di ma­na pada zaman ini amat sukar untuk membezakan antara hak dan batil, sebagaimana ingatan dalam sebuah hadis “Akan datang fitnah, orang yang duduk terhadapnya ketika itu lebih baik dari orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari pada yang berjalan, orang yang berjalan lebih baik dari pada yang berlari”.

Dalam menjelaskan tentang hadis ini, Syaikh Sa’ad bin Nashir Asy Syatsri menyatakan bahawa akibat kesulitan membezakan antara hak dan batil ini, manusia sukar mengenal siapakah pem­be­la al-hak dan siapakah pula pembela kebatilan.

Melatah

Keadaan ini sangat besar ke­­sannya kepada akidah kita kerana kesukaran mengenalpasti yang hak itu boleh mendorong kita ke lorong kesesatan.

Situasi kekaburan serupa ini telah diingatkan oleh Ra­sulullah SAW di mana Baginda berpesan supaya umatnya berpendirian, “Jadilah seperti anak Nabi Adam”.

Maksud Baginda supaya kita mengkaji sirah dan kisah anak-anak Nabi Adam yang ada di surah Al-Maidah dalam menghadapi kemelut fitnah ini. Sikap yang terbaik daripada pemahaman cerita ini ialah tidak membunuh sesama sen­diri kerana suatu pembunuhan akan mengakibatkan pembunuhan yang lain pula.

Baginda menggesa supaya umatnya mengutamakan perkara akhirat, kerana ia akan menambah darjat seseorang yang difitnah dan mendapat kemenangan dalam erti kata yang sebenar.

Justeru itu, apabila difitnah kita hendaklah kembali kepada ajaran agama di mana kita diminta menyerahkan segala sesuatu kepada Allah SWT kerana segala sesuatu itu adalah di dalam kekuasaan-Nya.

Usahlah cepat melatah dan menuduh kepada orang itu dan orang ini kerana ia menampakkan ketidakmatangan seseorang. Kebijaksanan menguruskan fitnah berkait rapat dengan iman seseorang kerana bagi orang yang beriman dan bertakwa, mereka mempercayai hanya Allah yang boleh memberi mudarat kepada hamba-Nya.

Tidak dinafikan ramai yang kecundang dalam menghadapi serangan fitnah, tidak kira kecil atau besar seseorang itu, berpendidikan tinggi, berpangkat atau marhaen.

Kemampuan menghadapi fitnah ini bergantung kepada kekuatan iman dan akhlak seseorang hamba. Setinggi manapun ilmunya, jika dia tidak dapat mengurus emosi, fitnah boleh sahaja menjadi bahan pembakar dirinya.

Ini kerana ilmu hanya untuk menutup kebodohan diri, ma­nakala akhlak pula untuk seseorang itu mengawal emo­si. Orang berilmu tanpa akhlak akan carik maruah dan kewarasannya tatkala dicakar fitnah.

Maka cara menguruskan fitnah ini sangat penting di­pe­lajari supaya kita tidak kehilangan maruah apabila silap bertindak.

Untuk menjadi bijaksana, paling utama ialah dengan meningkatkan akhlak mulia dalam peribadi kita kerana hanya dengan berakhlak mahmudah sahaja dapat membentengkan kita dari akibat buruk fitnah.

Bayangkan apabila seseorang itu hilang akhlak, sudah pasti dia akan menyeranah semula si pembuat fitnah atau membalas dengan suatu fitnah yang lebih buruk kepada musuhnya.

Hal ini sangat bertentangan dengan ajaran agama, di mana kita disarankan supaya membalas kebaikan pada setiap kejahatan, sambil berdoa supaya orang yang zalim dan menzalimi itu berubah kepada kebaikan.

Menyedari bahayanya fitnah, Baginda berpesan kepada kita supaya sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara dengan berdoa setiap kali selepas solat dengan doa, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah semasa hidup, fitnah semasa mati dan fitnah al-Masih Dajjal” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun sekiranya kita tidak dapat mengelak diri daripada difitnah, bijaksanalah menghadapinya berpandukan ajaran agama. Berdiam diri adalah lebih baik tatkala berdepan dengan keadaan difitnah, apatah lagi sekiranya hujah yang diberikan langsung tidak bersandarkan fakta dan ilmu.

Orang yang berkualiti akan bertambah imannya apabila diuji fitnah. Akhlaknya mewangi tatkala tercabar emosi, se­perti mana kata-kata Imam Syafie; ulama itu bagai kayu gaharu, apabila dibakar akan berbau wangi.